SDI 0875: Hukum Makan Buah Dari Pokok Yang Tumbuh di Kawasan Awam

Soalan: 

Assalamualaikum. Ust macam mana dgn pokok buah yg ditanam di kawasan tanah wakaf, boleh tak sesiapa shj yg ambil buahnya? Yg menanam tu org lain.

Jawapan:

BOLEH makan buah dari tanah wakaf dengan syarat tidak dalam bentuk Khubnah iaitu tidak diisi di dalam beg untuk dibawa balik.

Huraian:

Hal ini berdasarkan keizinan dari Nabi SAW bagi seseorang yang melalui sesuatu kebun yang tidak berpagar sekalipun bertuan, untuk orang itu ambil buah tersebut sekadar untuk dia dan bukan untuk dibawa balik (majoriti hanya membenarkan buah yang gugur sahaja). Ini kerana kawasan pokok buah-buahan yang tidak dipagar adalah tanda tuannya mengizinkannya, jika ini menjadi uruf setempat. Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَرَّ أَحَدُكُمْ بِحَائِطٍ فَلْيَأْكُلْ وَلا يَتَّخِذْ خُبْنَةً

Maksudnya: "Apabila seseorang daripada kamu melalui sesuatu kebun (tidak berpagar), maka (boleh) dia makan buahnya, namun jangan dia ambil sebagai bekal." (Hadis dinilah Sahih oleh alAlbani di dalam Sahih alTirmizi dan Ibn Majah)

Namun jika pokok tersebut dipagar atau dimaklumi tuannya tidak mengizinkannya, seperti ada papan tanda melarang atau suatu yang sedia dimaklumi (uruf) tidak boleh atau tuannya tidak mengizinkan, maka ia kembali kepada hukum asal TIDAK BOLEH.

Jika buah yang bertuan, dibenarkan untuk orang yang melaluinya mengambil dan memakan buah tersebut, maka sudah tentu (من باب الأولى) pokok buah yang ditanam di tanaf wakaf lebih dibolehkan.

Ibn Qudamah di dalam alMughniy 9/332 ada menukilkan pandangan Imam Ahmad yang mengatakan, yang boleh dimakan itu adalah buah yang gugur di bawah pokok, jika tidak jangan memakan buah-buahan milik orang lain dalam keadaan kita tidak memerlukannya. Jangan juga dibaling dengan batu atau seumpamanya kerana perbuatan ini akan merosakkan pokok dan buah.

Perlu diketahui juga, pandangan majoriti mengatakan keharusan ini hanya di zaman awal Islam.


Cetak  
Wallahu a'lam