Memberus Gigi dan Menggunakan Ubat Gigi Ketika Berpuasa

Soalan:

Apakah hukum bersiwak bagi orang yang berpuasa, terutamanya bersiwak dengan menggunakan ubat gigi ?

Jawapan:

Siwak sebelum tergelincir matahari adalah sunat sepertimana biasa, adapun selepas tergelincir matahari para fuqaha telah berbeza pendapat, sebahagian memakruhkan orang yang berpuasa bersiwak selepas tergelincir matahari. Hujah mereka kerana Nabi saw telah bersabda :

(maksudnya) : "Demi diriku yang berada dalam genggamannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah berbanding bau kasturi." (H.R. al-Bukhari)

Maka ulama yang memakruhkan berpendapat bau yang lebih baik dari kasturi itu tidak wajar dihilangkan atau makruh dihilangkannya oleh seorang muslim (dengan bersiwak), kerana bau itu disukai di sisi Allah (swt), maka hendaklah orang yang berpuasa mengekalkannya dan jangan menghilangkannya. Ini sepertimana darah... (iaitu) darah orang yang mati syahid, sepertimana sabda Nabi saw kepada para syuhada': "Selimutkan mereka dengan pakaian dan darah mereka, kerana sesungguhnya mereka akan dibangkitkan dalam keadaan itu pada hari kiamat di hadapan Allah, warnanya warna darah dan baunya dengan bau kasturi."
 
Kerana itu orang yang syahid dikekalkan darah dan bajunya, tidak dibasuh dan dihilangkan kesan darah tersebut. Mereka (ulama yang memakruhkan siwak selepas zawal) mengqiyaskan situasi orang syahid ini dengan orang yang berpuasa.
 
(Akan tetapi) yang benarnya tidak boleh diqiyaskan situasi orang syahid dengan orang berpuasa. Ini kerana orang yang berpuasa ada hukum yang khusus, kerana sesungguhnya sebahagian sahabat meriwayatkan:
 
"Saya melihat Nabi saw sering bersiwak, sedang baginda berpuasa."
 
Maka (ini menunjukkan) bersiwak ketika berpuasa sunat pada mana-mana waktu, samaada di awal hari atau diakhir hari, seperti mana siwak itu sunat sebelum puasa dan selepas puasa... Bersiwak itu sunnah, yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah saw dengan sabda baginda :

"Bersiwak itu membersihkan mulut dan diredhai oleh Allah." (H.R. al-Nasaie, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban dan beliau mensahihkannya),
 
Tidak perlu dibezakan antara puasa dengan yang bukan puasa (dalam bab siwak).

Adapun tentang ubat gigi, maka sewajarnya berhati-hati ketika menggunakannya, agar ia tidak masuk sesuatu daripadanya ke perut. Ia termasuk membatalkan puasa bagi kebanyakan ulama, kerana itu yang lebih utama seorang muslim untuk menjauhi ubat gigi dan lewatkan penggunaannya sehingga selepas berbuka. Akan tetapi jika digunakannya dan berjaga-jaga dan berhati-hati, akan tetapi jika masuk juga sesuatu ke perutnya, maka dia termasuk dimaafkan. Allah swt berfirman :

(Maksudnya): "Tidak menjadi kesalahan atas kamu, apa yang kamu tersilap melakukannya, akan tetapi (yang berdosa itu) apa-apa yang disengajakan oleh hati kamu." (al-Ahzab : 5)

Nabi saw bersabda: "Diangkat dari umatku kesilapan dan lupa dan apa yang terpaksa atasnya." wallahu a'lam.

(sumber : Fatawa al-Muasarah al-Qaradhawi. m.s. 342)

Cetak  
Wallahu a'lam