Masjid Dan Hukum-Hakam Yang Berkaitan Dengannya (2): Halaman Masjid Tidak Mengambil Hukum Masjid dan Ia Bukan Masjid

 
Halaman masjid yang dimakasudkan adalah Rahbah alMasjid . alRahbah ialah tanah (bumi) yang luas. Dalam bahasa Arab disebut sebagai الرحبة dengan fathah huruf "ra" dan sukun huruf "ha". Apabila dinyatakan رحبة المكان maka ia merujuk kepada halaman dan padang yang luas. 
 
Para ulama berbeza pandangan apakah ia dalam kategori masjid atau tidak, secara ringkasnya:
 
Pertama: Jika ia bersambungan dengan masjid dan di dalam pagar masjid. Maka ia dikira sebagai masjid. Jika ia tidak bersambung dengan masjid, tiada dalam lingkungan pagar masjid, maka ia tidak dikira masjid. Inilah pandangan ulama mazhab syafie dan satu riwayat dr ahmad.
 
Kata alNawawi: "Yang dimaksudkan dengan alRahbah, (iaitulah) apa-apa yang disandarkan kepada masjid dipagari kepadanya, maka ia adalah masjid. alSyafie telah naskan akan sahnya iktikaf di dalamnya..." 
 
Manakala alMardawi pula berkata: "Rahbah alMasjid bukan masjid berdasarkan pandangan alSahih dari mazhab... dan salah satu riwayat dari Ahmad mengatakan ia masjid... alQadhi mentaufiqkan antara dua riwayat tersebut dan berkata: "jika ia dipagari maka ia masjid, jika sebaliknya tidak..."
 
Dalil mereka ialah ayat alQuran surah alBaqarah: 187.
 
Kedua: Ia bukan masjid. Inilah pandangan masyhur di sisi ulama mazhab Maliki dan pandangan alSahih di sisi ulama mazhab Hambali. Antara dalil mereka:
 
1) Perkataan 'Aisyah RA:
 
"Mereka (para wanita dahulunya) beriktikaf, apabila mereka berhaid Rasulullah SAW mengarahkan dikeluarkan mereka dari masjid dan agar merrka mendirikan khemah di rahbah masjid sehingga mereka suci." (Ibn Muflih nyatakan dalam alFuru' riwayat ini oleh Ibn Battah dan beliau berkata: Isnadnya Jayyid. Ia juga diriwayatkan oleh Abu Hafsh al'Ukbariy)
 
Riwayat ini menunjukkan Rahbah Masjid (halaman masjid) tidak mengambil hukum masjid kerana baginda keluarkan para wanita yang berhaid ke kawasan tersebut, kerana bimbang akan mengotorkan masjid.
 
2) Umar RA pernah membuat Rahbah Masjid di penjuru (luar) masjid dan beliau menamakannya sebagai alButaiha' البطيحاء dan berkata: "sesiapa yang hendak berbual kosong atau bersya'ir atau meninggikan suara, maka hendaklah dia keluar ke Rahbah ini." (Riwayat Imam Malik dalam alMuwattha')
 
alButaiha' berbentuk binaan yang diangkat di atas bumi ditambah dari sehasta dan dilengkongkan dinding rendah sekitarnya, diluaskan seperti bentuk Rahbah diletakkan batu-batu kecil, sebagai tempat berhimpun dan duduk. (alMuntaqa: 1/312)
 
Riwayat ini menunjukkan Rahbah bukan masjid dan tidak mengambil hukum masjid. Peristiwa ini berlaku tanpa bantahan dari mana-mana sahabat, menunjukkan seperti berlaku ijmak dalam kalangan mereka.
 
3) Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya meriwayatkan daripada Zurarah bin Awfa bahawa Abu Hurairah mendatangi beberapa orang lelaki sedang duduk di Rahbah, beliau berkata: "Masuklah kamu semua ke dalam masjid, kerana sesungguhnya tiada Jumaat melainkan di dalam masjid."
 
Ini jelas menunjukkan Rahbah bukan masjid.
 
Selain itu memilih pandangan yang mengatakan Rahbah alMasjid adalah masjid akan mendatangkan kesempitan kepada umat Islam. Demikian juga jika ia dikira sebagai masjid kerna berada di atas tanah yang diwakafkan untuk masjid dan berada dalam pagar masjid. Ini bermakna kebanyakan tandas perlu dirobohkan kerana ia dibina di dalam masjid. Atau ia akan tetap membebankan umat kerana pihak pentadbiran masjid dipikul tanggungjawab membeli tanah lain untuk dibina tandas agar ia diluar dari kawasan masjid.
 

Cetak  
Wallahu a'lam