Ramai di kalangan ulama yang menukilkan telah berlaku ijma’ non muslim mukhatabun dengan perintah-perintah asas dan prinsip syariat seperti keimanan, kenabian dan seumpamanya[1][2]. Mereka juga bersepakat:
- Non Muslim tidak dituntut melakukan furu’ syari’ah dalam keadaan kafir.
- Furu’ syari’ah tidak sah, tidak diterima dan tidak diganjari pahala melainkan memiliki keimanan. Antara dalilnya:
Firman Allah SWT:
وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٖ فَجَعَلۡنَٰهُ هَبَآءٗ مَّنثُورًا ٢٣
Maksudnya: “Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.” (al-Furqan: 23)
- Seorang non musim apabila memeluk Islam tidak dituntut qadha ibadat-ibadat yang tidak dilakukannya ketika kafir, kerana pengislamannya menghapuskan dosa-dosa yang lalu.
Pandangan Ulama Dan Dalil Mereka
Pandangan pertama: al-Kuffar mukallafun dengan furu’ syari’ah, termasuk semua perintah dan tegahan. Inilah pandangan majoriti ulama.[11]
Dalil:
- Perintah syara’ adalah mutlak, merangkumi semua makhluk yang berakal.
- Zaman kufur adalah tempoh waktu taklif bukan zaman terlaksananya perkara yang ditaklifkan (أن زمن الكفر ظرف للتكليف لا لوقوع المكلف به). Sepertimana waktu hadas adalah masa taklif bukan masa terlaksana ibadah selagi belum menghilangkan hadas.
- Keberadaan nusus syari’ah yang memerintahkan non muslim melakukan furuk syari’ah. Antaranya ialah firman Allah SWT:
مَا سَلَكَكُمۡ فِي سَقَرَ ٤٢ قَالُواْ لَمۡ نَكُ مِنَ ٱلۡمُصَلِّينَ ٤٣ وَلَمۡ نَكُ نُطۡعِمُ ٱلۡمِسۡكِينَ ٤٤ وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ ٱلۡخَآئِضِينَ ٤٥ وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤٦
Maksudnya: "Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)? Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan shalat. dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin. dan adalah kami membicarakan yang bathil, bersama dengan orang-orang yang membicarakannya. dan adalah kami mendustakan hari pembalasan.” (al-Muddatthir: 42-46)
Firman Allah di dalam ayat ini: “dan adalah kami dahulunya mendustakan hari pembalasan” membuktikan yang golongan yang ditanya tersebut adalah golongan kafir. Maka ayat ini menunjukkan antara sebab mereka masuk ke dalam neraka adalah kerana tidak menunaikan solat, tidak memberi makan orang-orang miskin dan membicarakan perkara batil yang kesemuanya termasuk di dalam furu’ syari’ah dan mereka diazab kerana meninggalkan perintah dan tegahan furu’ syari’ah. Ia meninjukkan mereka mukhatabun atau mukallafun dengannya. Abu Ishak al-Juwaini mengatakan inilah dalil yang paling jelas dalam persoalan ini.[12]
Bantahan yang ditimbulkan:
- Maksud ayat ialah: kami bukan dari kalangan orang yang beri’tiqad dan memperakui kewajipan solat.[13]
Jawapan: Hakikat ancaman yang terdapat di dalam ayat ialah perbuatan tidak menunaikan solat dan tidak memberi makan kepada orang miskin. Bukan kerana tidak beri’tikad dan tidak memperakuinya. Justeru memahami hakikat ayat adalah lebih utama. Di samping itu balasan berkaitan I’tikaq telah disebut dalam ayat yang sama iaitulah; “Dan kami dahulu mendustakan hari pembalasan.” Ini menunjukkan balasan yang dimaksudkan dari ayat: “Kami bukan dari kalangan orang yang menunaikan solat” adalah kerana meninggalkan perbuatan atau tidak mengerjakan solat bukan kerana tidak beri’tiqad akan kewajipan solat.[14]
- Ayat berbentuk hikayat percakapan ahli neraka. Padanya tiada bentuk penghujahan.[15]
Jawapan: hikayat itu bertujuan menghalang dan mencegah orang lain dari jadi seperti mereka. Jika ia tidak boleh dijadikan hujah, tidak boleh juga berperanan menghalang dan mencegah, juga jika ia satu pernyataan yang tidak benar, semestinya disusuli dengan suatu bentuk pengingkaran. Demikian juga ia berupa firman Allah SWT yang mustahil diucapkan hanya semata-mata penghikayatan.
- Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم بِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ كَٰفِرُونَ ٧
Maksudnya: “(yaitu) orang-orang yang tidak menunaikan zakat dan mereka kafir akan adanya (kehidupan) akhirat.” (al-Fussilat: 7)
Ayat ini menunjukkan adanya ancaman kepada musyrikin kerana kesyirikan mereka dan tidak membayar zakat. Ia menunjukkan mereka diperintahkan atau dihalakan perintah agar meninggalkan kesyirikan dan menunaikan zakat.
Bantahan yang ditimbulkan:
- Sama seperti di atas.
- Tidak membayar zakat itu ialah merujuk kepada sifat orang musyrikin. Ia seperti bermaksud: “Kecelakaan bagi orang-orang musyrikin yang tidak melaksanakan zakat. فويل للمشركين الذين لا يؤتون الزكاة.
Jawapan: Musyrik dan tidak membayar zakat itu kedua-duanya adalah sifat. Justeru ancaman dikenakan ke atas kedua-dua sekali.
- Ayat berkaitan tegahan (المنهيات), tidak boleh dijadikan dalil untuk ditujukan perintah kepada non muslim melakukan perintah furu’ syariat.
Jawapan: ayat tersebut berupa ancaman kerana tidak melaksanakan perintah mengeluarkan zakat. Maka ia termasuk dalam kategori perintah bukan tegahan.
- Firman Allah SWT:
فَلَا صَدَّقَ وَلَا صَلَّىٰ ٣١ وَلَٰكِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ ٣٢
Maksudnya: “Dan ia tidak mau membenarkan (Rasul dan Al Quran) dan tidak mau mengerjakan shalat. tetapi ia mendustakan (Rasul) dam berpaling (dari kebenaran).” (al-Qiyamah: 31-31)
Di dalam ayat ini terdapat celaan dari Allah SWT terhadap orang kafir yang tidak mengeluarkan sedekah dan tidak menunaikan solat sepertimana celaan kepada orang kafir yang mendustakan seruan para rasul dan berpaling dari tauhid. Ia menunjukkan non muslim mukhatab dengan furu’ syariah.
- Berlaku Ijma’ orang kafir dihukum atas kesalahan membunuh para nabi dan mendustai para rasul[16].
- Non muslim mukhatab agar memeluk Islam yang merupakan syarat penerimaan ibadah. Maka sesiapa yang dikenakan perintahkan melakukan syarat, dia juga diperintahkan melakukan al-Masyruth seperti seorang yang diperintahkan bersuci, kerana ia diperintahkan menunaikan solat.
- Seperti mana Non muslim dikenakan khitab melakukan perintah. Mereka juga dikenakan tegahan syara’. Kerana itu seorang kafir zimmi secara umumnya dikenakan hukuman had jika melakukan zina dan mencuri. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah dinyatakan:
Maksudnya: “Tiada khilaf di kalangan fuqaha pada hukuman had tidak dikenakan melainkan ke atas mukallaf… adapun (syarat) islam, maka pada asalnya di sisi Abu Hanifah hudud dilaksanakan ke atas kafir zimmi dan tidak ke atas kafir musta’man, melainkan hukum had qazaf, di mana ia dikenakan ke atasnya dengan kesepakatan fuqaha Hanafi, dan tidak dikenakan hukum had minum khamar ke atas seorang kafir di sisi mereka (fuqaha Hanafi). Berkaitan had zina terdapat perincian. Berkata Abu Hanifah: Jika seorang harbi musta’man berzina dengan seorang perempuan zimmiyyah, dikenakan had ke atas perempuan zimmiyyah tidak dikenakan had ke atas lelaki harbi musta’man. Jika seorang lelaki zimmi berzina dengan seorang perempuan mustaa’manah, dikenakan had ke atas lelaki zimmi tidak ke atas perempuan musta’manah. Kata Abu Yusuf kedua-dua mereka dikenakan hukuman had. Muhammad (bin Hasan al-Syaibani) berkata berkaitan gambaran kes pertama: “tidak dikenakan juga had ke atas perempuan zimiyyah. Kerana seorang perempuan adalah tabi’ah kepada lelaki, apabila terhalang had dikenakan ke atas al-Asl, maka demikianlah al-Far’… fuqaha Maliki pula berpandangan seorang kafir dilaksanakan ke atasnya had qazaf, mencuri dan membunuh, tidak digugurkan juga darinya dengan keislamannya. Adapun had zina, ia diberi pengajaran dengan kesalahan tersebut dan tidak dikenakan hukuman had, melainkan jika dia merogol wanita Muslimah, maka dia dijatuhkan hukuman bunuh disebabkan perlanggaran janji. Demikian juga jika dia melakukan kesalahan liwat, dia direjam. Tidak dikenakan hukuman had ke atasnya dengan meminum arak. Kata fuqaha Syafi’ie: “disempurnakan (hukuman had) ke atas seorang zimmi sekalipun dalam kes zina atau memotong tangan pencuri. Tidak dikenakan hukuman had meminum khamar disebabkan kekuatan beberapa dalil kehalalannya dalam keyakinan mereka. Tidak disyaratkan juga seorang muslim untuk dilaksanakan hukuman rejam bagi penzina muhsan. Tidak dilaksanakan hukuman had zina ke atas kafir musta’man berdasarkan pandangan al-Masyhur di sisi fuqaha syafi’ie. Dikenakan hukuman had qazaf ke atas kafir zimmi dan mu’ahad… Di sisi fuqaha Hanbali, jika diangkat kes kepada pemerintah, dari kalangan kafir zimmi yang melakukan perkara yang diharamkan haram yang dikenakan hukuman dari apa-apa perkara yang juga haram di dalam agama mereka seperti zina, mencuri, qazaf, dan membunuh, maka hendaklah pemerintah laksanakan hukuman had ke atasnya. Jika seorang muslim dan seorang kafir zimmi mengangkat kes kepada pemerintah, wajib pemerintah melaksanakan hukuman ke atas mereka tanpa ada khilaf di kalangan ulama. dipotong tangan kafir zimmi dengan kesalahan mencuri demikian juga al-Musta’man. Kata Ibn Hamid: Tidak dipotong tangan kafir al-Musta’man. Terdapat nas dari Ahmad yang mengatakan tidak dilaksanakan had zina ke atas kafir al-Musta’man….” (17/142-143)
Bantahan yang ditimbulkan: Non muslim dibiar dan tidak dikenakan hukuman di atas perbuatan meminum arak, menunjukkan mereka bukan mukhatab bi al-Furu’.
Jawapan: dibiar dan tidak dikenakan hukuman tidak boleh dijadikan bukti mereka bukan mukhatabun bi Furu’ al-Syari’ah. Ia sama seperti mereka dibiar dan tidak dikenakan hukuman atas mengimani I’tikad kufur[17].
Pandangan Kedua: Kuffar Ghair mukhatabin dengan furu’ syariah. Inilah pandangan majoriti ulama mazhab Hanafi, Ibn Khuwaiza Mandad (خويز منداد)[18] dari kalangan ulama mazhab Maliki, Abu Hamid al-Isfarayini dari kalangan ulama mazhab Syafi’ie dan satu riwayat dari Ahmad bin Hanbal.
Dalil:
- Firman Allah SWT:
لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ
Maksudnya: “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)…” (al-Baqarah: 256)
Ayat ini menafikan paksaan dalam agama menunjukkan tiada paksaan memeluk agama Islam dan tiada taklif kepada non muslim.
Namun pandangan ini dibantah dengan mengatakan bahawa ketiadaan al-Ikrah tidak semestinya ketiadaan al-Khitab. Bahkan ayat ini terdapat bukti halaan ucapan secara tidak langsung (خطاب ضمني) kepada non muslim untuk memeluk islam, di mana dijelaskan selepasnya akibat terus kekal di dalam kekufuran dengan firman-Nya:
قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦
Maksudnya: “…sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah: 256)
- Ketika Nabi SAW mengutus Mu’az ke Yaman baginda bersabda:
إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ أَهْلِ كِتَابٍ فإذا جئتم فادعهم إلى شهادة أن لا إله إلا الله فَإِن هم أجابوك فأعلمهم أَنَّ اللَّهَ افَترَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي اليَوْمِ الليلة...
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau akan bertemu dengan kaum ahli kitab. Apabila kamu mendatangi mereka, maka serulah mereka untuk bersyahadah tiada tuhan sebenar-benarnya melainkan Allah. Jika mereka menerimanya, maka beritahukan kepada mereka bahawa Allah telah menfardhukan solat lima waktu sehari semalam…”
Hadis ini menunjukkan jika furu’ syariat dihalakan perintah ke atas non muslim sudah tentu perintah solat beriringan dengan perintah syahadah.
Bantahan:
- Baginda tidak memerintahkan sedemikian kerana perlakuan solat tidak sah bagi non muslim ketika kafir. Maka baginda memulakan perintah kepada mereka dengan suatu yang sah jika mereka lakukan dan kunci penerimaan amalan lainnya iaitulah syahadah.
- Baginda meraikan الأهم فالأهم.
- Tertib yang ditunjukkan dalam berdakwah yang terdapat di dalam hadis tidak menunjukkan terhenti atau ketiadaan taklif terhadap furu’ syari’ah.
- Sambungan hadis juga menunjukkan kefardhuan zakat selepas kefardhuan solat. Ia bukanlah bermaksud zakat tidak diwajibkan melainkan setelah menunaikan solat bagi hak mereka yang telah beriman.
- Nabi SAW pernah memberi pakaian sutera kepada ‘Umar bin al-Khattab. Setelah itu ‘Umar memberikannya kepada saudaranya, seorang musyrik di Mekah berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari bilangan 886 dan Muslim bilangan 2068.
Riwayat ini menunjukkan ‘Umar RA memberi kain sutera tersebut kepada saudaranya seorang musyrik menunjukkan non muslim tidak dikenakan perintah furu’ syariah.
Jawapan:
Pemberian ‘Umar tidak semestinya difahami memakaikan saudaranya yang musyrik itu dengan kain sutera. Sebaliknya pemberian ‘Umar kepadanya boleh difahami pemberian dengan makna menjadikan sutera itu dimiliki oleh saudaranya yang musyrik tersebut untuk saudaranya menjual atau memberikan kepada isterinya. Kata al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini:
وفيه جواز إهداء ثياب الحرير إلى الرجال لأنها لا تتعين للبسهم , وقد يتوهم متوهم أن فيه دليلا على أن رجال الكفار يجوز لهم لبس الحرير , وهذا وهم باطل , لأن الحديث إنما فيه الهدية إلى كافر ، وليس فيه الإذن له في لبسها , وقد بعث النبي صلى الله عليه وسلم ذلك إلى عمر وعلي وأسامة رضي الله عنهم , ولا يلزم منه إباحة لبسها لهم , بل صرح صلى الله عليه وسلم بأنه إنما أعطاه لينتفع بها بغير اللبس , والمذهب الصحيح الذي عليه المحققون والأكثرون أن الكفار مخاطبون بفروع الشرع , فيحرم عليهم الحرير كما يحرم على المسلمين
Maksudnya: “Pada hadis ini ada keharusan menghadiahkan pakaian sutera kepada orang-orang lelaki kerana ia tidak semestinya mereka pakai. Terkadang ada yang menyangka bahawa pada hadis ini ada dalil yang menunjukkan orang lelaki kafir boleh memakai sutera. Kefahaman ini adalah sangkaan yang batil. Ini kerana hadis yang menyebut memberi hadiah kepada orang kafir, tiada padanya bukti keizinan untuk mereka memakainya. Nabi SAW pernah memberikan pakaian sutera kepada ‘Umar, ‘Ali dan Usamah RA, tidak semestinya difahami dari itu, keharusan memakai sutera kepada orang lelaki kafir. Bahkan dengan jelas baginda menyatakan pemberian itu adalah untuk diambil manfaat daripadanya selain dari memakainya. Maka berdasarkan mazhab yang benar menurut para pentahkik dan kebanyakan ulama bahawa orang-orang kafir adalah diperintahkan dengan furu’ syariat dan diharamkan kepada mereka sutera sepertimana diharamkan ke atas orang-orang lelaki muslim.” (Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi 14/39, cetakan pertama 1349H/1930M, al-Matba’ah al-Misriyyah bi al-Azhar)
- Seorang kafir tidak sah jika melakukan furu’ syariat ketika masih di dalam kekufuran. Jika dia lalukan solat sebagai contoh solatnya tidak diterima. Dia juga tidak perlu qadha apa-apa yang tidak dilakukannya ketika kafir.
Jawapan:
Tidak sah melakukan ibadah tidak semestinya bermakna tiada perintah. Bahkan jalan untuk menjadikan ibadahnya sah telah disediakan iaitulah dengan memeluk Islam. Tidak perlu qadha solat dan qadha furu’ syariat yang lain apabila memeluk Islam tidak boleh dijadikan alasan orang kafir tidak diperintah melakukannya. Bahkan tidak perlu qadha itu adalah kerana keislaman itu menghapuskan dosa-dosa yang lalu sebagai satu galakan memeluk Islam dan mewajibkan qadha menjadikan non muslim lebih menjauhkan diri dari memilih Islam.
- Perintah melaksanakan ibadah adalah bagi yang berkeahlian melakukannya sedangkan seorang kafir bukan seorang yang berkeahlian melakukannya. Jika dia melakukannya juga ibadah tersebut adalah sia-sia seperti firman Allah SWT:
وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٖ فَجَعَلۡنَٰهُ هَبَآءٗ مَّنثُورًا ٢٣
Maksudnya: “Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.” (al-Furqan: 23)
Oleh itu perintah menunaikan furu’ ibadah tidak dikenakan kepada mereka.
Jawapan:
Seorang kafir diperintahkan memeluk Islam, mereka bukan ahlan bagi Islam. Sama sepertimana seorang fasiq diperintahkan agar bertaqwa namun dia bukan ahlan bagi taqwa. Demikianlah tiada keahlian melakukan furu’ syariat akan tetapi mereka diperintahkan melakukannya.
Pandangan ketiga: non muslim mukallafun dengan al-Nawahi tidak dengan al-Awamir. Inilah pandangan sebahagian ulama mazhab Hanafi dan pandangan Ahmad bin Hanbal dalam satu riwayat dari beliau.
Dalil pandangan ketiga ini adalah dengan alasan mungkin boleh meninggalkan tegahan, kerana itu boleh diterima mereka mukhatabun meninggalkan tegahan. Manakala al-Awamir tidak dianggap sah jika mereka lakukannya, maka mereka tidak diperintahkan melakukannya.
Jawapan:
Seorang kafir, sama ada ia melakukan ketaatan atau meninggalkan tegahan, perkara itu berlaku pada gambarannya namun tetap tidak dikira sebagai satu ketaatan. Hakikatnya perintah dan tegahan adalah sama di mana salah satunya berupa perintah melaksanakan manakala yang satu lagi perintah meninggalkan.
Pandangan keempat: Non muslim diperintahkan (mukhatabun) dengan semua furu; syariah melainkan jihad. Kerana jihad khas untuk orang-orang yang beriman sahaja. Pandangan ini disebut oleh al-Qurtubi[19] dan al-Zarkashi pula menisbahkan pandangan ini kepada sebahagian ulama mazhab Syafi’ie.[20]
Pandangan kelima: Murtad mukhatab dengan furu’ syariah berbeza dengan asal non muslim. Inilah pandangan yang disebut oleh sebahagian ulama.[21] al-Tufi mendatangkan dalil untuk mereka dengan mengatakan seorang murtad mukhatab kerana kewajipan yang pernah dikenakan kepadanya berbeza dengan seorang yang asal non muslim.[22]
Pandangan keenam: Kafir zimmi mukhatabun dengan furu’ syariah berbeza dengan kafir harbi. Alasannya ialah wujudnya perbezaan hukum-hakam antara zimmi dan harbi. Pandangan ini disebut oleh al-Zarkashi.[23]
Tarjih:
Pandangan yang rajih dalam persoalan ini ialah non muslim mukhatabun dengan furu’ syariah berdasarkan alasan-alasan dan kekuatan dalil yang menjadi sandaran. Demikian juga sanggahan yang dapat diberikan terhadap dalil-dalil pandangan yang berbeza.
Berdasarkan tarjihan ini, maka keterlibatan dalam terlaksananya sesuatu pelanggaran perintah dan tegahan agama sama ada di pihak muslim atau non muslim adalah termasuk dalam al-Ta’awun ‘ala al-Ithm wa al-‘Udwan yang diharamkan.
---------------------------------------
[1] Dakwaan ijmak disebut antaranya di dalam al-Fusul 2/156 dan 158, Ihkam al-Fusul 1/118, al-Talkhis, Usul al-Sarkhasi 1/73, Mizan al-Usul 190, Syarh Tanqih al-Fusul 162, Kasyaf al-Asrar ileh al-Nasafi 1/138, al-Ibhaj 1/177 dan al-Bahr al-Muhith 1/397
[2] Antara dalilnya ialah firman Allah di dalam surah al-A’raf: 158, Saba’: 28, al-An’am: 19 dan lain-lain yang menunjukkan keumuman pengutusan Nabi SAW kepada seluruh manusia. Demikian juga di dalam hadis baginda bersabda: وكان النبي يبعث إلى قومه خاصة وبعثت إلى الناس عامة (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Demikian juga berdasarkan suatu yang termasuk dalam perkara al-Ma’lum min al-Din bin al-Dharurah, Nabi SAW diutuskan untuk manusia keseluruhannya.
[11] Al-Usul wa al-Furu’ oleh Dr. Sa’ad bin Nasir al-Syathariy
[12] Al-Talkhis 112
[13] Mizan al-Usul 198
[14] Al-‘Uddah 2/362
[15] Al-Wusul 1/95 dan Syarh al-Minhaj 1/151
[16] Ihkam al-Fusul 1/119
[17] Lihat al-Tamhid 1/305 dan al-Ibhaj 1/183
[18] Beliau ialah Muhammad bin Ahmad bin Khuwaizamandad, hidup di penghujung kurun ke-4 Hijri. Seorang faqih Maliki, mufassir dan usuli. Kata al-Qurtubi di dalam al-Jami; li Ahkam al-Quran 12/229:
وقد قال ابن خويز منداد من علمائنا: إن المرأة إذا كانت جميلة وخيف من وجهها وكفيها الفتنة فعليها ستر ذلك...
Maksudnya: “Telah berkata Ibn Khuwaiza mandad yang merupakan salah seorang dari kalangan ulama kita bahawa jika seseorang wanita itu seorang yang cantik dan dibimbangi fitnah dari kecantikan wajah dan dua tangannya. Maka wajib dia menutupnya…”
[19] Syarh Tanqih al-Fusul 166
[20] Al-Bahr al-Muhith 1/402
[21] Syarh Tanqih al-Fusul 166
[22] Lihat Syarh Mukhtasar al-Raudhah 1/206
[23] Al-Bahr al-Muhith 1/403