Soalan:
Sy nak tanya pandangan. Pesakit bersalin mengalami komplikasi tumpah darah jadi sampai tahap terpaksa buang rahim. Selepas buang rahim masih ada saki baki darah yang turun dari faraj dan tempat jahit pd pangkal rahim/faraj.
Adakah darah ni darah istihadah?
Jawapan:
1) Hasil semakan saya mendapati para fuqahaa menyatakan, hukum wanita bernifas adalah hukum yang sama dengan wanita yang berhaid pada perkara yang boleh, tidak boleh dan perkara yang digugurkan daripadanya. Ini kerana darah nifas di sisi para fuqahaa adalah darah haid, hanyasanya ia terhalang keluar selama tempoh kandungan untuk membekalkan makanan kepada janin. (Lihat alMausu'ah alFiqhiyyah alKuwaitiyyah 5/114)
Syeikh al-Islam di dalam Syarh alUmdah (1/516) menyatakan:
"Darah nifas adalah darah haid yang terhimpun di dalam rahim, yang berupa lebihan dari makanan bayi. Apabila bayi dilahirkan, rahim terbelah, maka ia (nifas) keluar bersama keluarnya bayi."
2) Atas dasar darah nifas adalah darah haid yang terhalang dari keluar disebabkan kehamilan, untuk berfungsi memberi bekalan makanan kepada bayi. Para fuqahaa juga menyatakan darah haid itu keluar dari dasar atau pangkal rahim (أقصى الرحم).
3) Semakan saya juga mendapati, terdapat keputusan dari Mu'tamar Ketiga Fiqh Perubatan (lihat alHaid, alNifas wa alHaml oleh Dr. Umar alAsyqar, hlmn 35) menyatakan:
أن كل دم مَرَضيٍّ غير سَوِيٍّ يُسمى استحاضة ، وأن أسبابه شتى
Maksudnya: "Bahawa setiap darah penyakit yang tidak seimbang dinamakan istihadhah dan sebab-sebabnya berbeza."
Kata Dr Muhammad Muhammad alHinawi (الحناوي) pula:
بعد استئصال الرحم قد يحدث نزيف لأسباب تتعلق بالمهبل نفسه ، أما في بعض حالات استئصال الرحم جزئياً حيث يترك عنق الرحم ، ففي هذه الحالة فإن أي نزيف يحدث قد يكون نتيجة عنق الرحم أو المهبل
maksudnya: "Setelah dibuang rahim kadang-kala berlaku pendarahan dengan sebab-sebab yang berhubung-kait dengan saluran faraj. Adapun dalam sebahagian keadaan pembuangan rahim berlaku dalam bentuk juz''ie (subtotal) di mana tidak dibuang pintu rahim (عنق الرحم), dalam keadaan ini, apa-apa pendarahan yang berlaku kadang-kala hasil dari pintu rahim itu sendiri atau saluran faraj."
Berdasarkan kenyataan ini, maka pembedahan membuang rahim sama ada secara total (كلي) atau subtotal (جزئي), darah yang keluar tidak mungkin darah haid disebabkan tempat keluar darah haid telah tiada. Justeru darah yang keluar dari pesakit bersalin mengalami komplikasi tumpah darah sehingga terpaksa buang rahim adalah darah Istihadhah.