Ujian SWAP Untuk Saringan Covid-19: Perbahasan Berkaitan Rongga

Ujian SWAP Untuk Saringan Covid-19

Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir binSahak

(Dibentang di dalam mesyuarat fatwa Perlis)

Ujian selalunya melibatkan sampel SWAB (kapas kesat) diambil dari hidung dan mulut sama ada batal puasa atau tidak. SWAB poliester kecil mempunyai batang panjang. Petugas kesihatan akan memasukkannya jauh ke dalam mulut anda dan/atau hidung, dan mengikis bahagian kerongkong (back of your throat) atau hidung (pada bahagian yang dikenali sebagai nasofarinks).

            Persoalan yang timbul dari  pengambilan sample SWAB ini ialah apakah ia membatalkan puasa ataupun tidak. Untuk menyelesaikan persoalan ini, perlulah terlebih dahulu dikenal pasti apakah al-Jauf yang seringkali dikaitkan dengan batal puasa ataupun tidak apabila dimasukkan sesuatu ke dalamnya.

PENGERTIAN AL-JAUF

            al-Jauf memiliki pengertian yang amat luas dari sudut bahasa. Melalui pemerhatian terhadap kalam ulama bahasa sekitar al-Jauf, dapati al-Jauf memiliki maksud yang berbagai, namun apabila diitlaqkan ia merujuk kepada setiap sesuatu yang berongga مجوّف. Darinya datang ungkapan جوف الإنسان yang dimaksudkan kepada perut manusia. Manakala الأجوفان dimaksudkan kepada perut dan faraj.[1]

Kata Ibn Faris:

الجيم والواو والفاء، كلمة واحدة، وهي جوف الشيء، يقال هذا جوف الإنسان، وجوف كل شيء

Maksudnya: “Jim – Waw – Fa’, kalimah yang satu, iaitulah Jauf sesuatu, disebut: ini Jauf al-Insan dan jauf setiap sesuatu.”[2]

Kata Ibn Manzhur:

جوف الإنسان بطنه، والأجوفان البطن والفرج لاتساع أجوافهما

Maksudnya: “Jauf al-Insan adalah perutnya, manakala al-Ajwafan adalah perut dan faraj kerana keluasan rongga-rongga kedua-duanya.”[3]

Di dalam Mukhtar al-Sihah 1/50 dinyatakan:

الجوف: الخلاء، وهو مصدر، والجمع أجواف، هذا أصله، ثم استعمل فيما يقبل الشغل والفراغ، فقيل: جوف الدار لباطنها وداخلها

Maksudnya: “al-Jauf adalah al-Khala’ (ruang kosong) ia merupakan kata terbitan, pluralnya Ajwaf, inilah asasnya. Kemudian digunakan terhadap apa-apa yang boleh menerima sesuatu (dipenuhi sesuatu) dan kosong (dari sesuatu). Dikatakan Jauf al-Dar untuk di dalamnya.”[4]

AL-JAUF DI SISI FUQAHA

            Tidak terdapat penetapan jelas dari Syara’ berkaitan makna al-Jauf. Al-Quran[5] dan al-Sunnah[6] ada menggunakan perkataan al-Jauf namun ia tiada kaitan dengan ibadah puasa dan hukum-hakamnya.

Manakala di sisi ahli bahasa al-Jauf memiliki makna yang luas, iaitulah merujuk kepada rongga. Hal ini menjadikan para fuqaha juga meluaskan maknanya dalam menetapkan apakah al-Jauf. Di bawah adalah maksud al-Jauf di sisi fiqaha empat mazhab:

  • Fuqaha Hanafi

Ulama Hanafi tidak meletakkan dhabit tertentu dalam menentukan makna al-Jauf. Majoriti mereka berpada mengatakan al-jauf ialah rongga perut. Dalam masa yang sama beranggapan sesuatu yang masuk ke dalam otak (الدماغ) juga membatalkan puasa, bukan kerana beranggapan ia Jauf yang asal, akan tetapi disebabkan anggapan terdapat saluran dari otak ke rongga perut.

  • Ibn Nujaim:

والمراد بترك الأكل ترك إدخال شيء في بطنه أعم من كونه مأكولا أو غير مأكول، ولا يرد ما وصل إلى الدماغ فإنه مفطر لما أن بين الدماغ والجوف منفذا، فما وصل إلى الدماغ وصل إلى الجوف

Maksudnya:  “dan yang dimaksudkan dengan meninggalkan makan ialah meninggalkan memasukkan sesuatu ke dalam perut, ia lebih umum sama ada yang dimakan atau bukan. Tidak ada dalam takrifan  apa-apa yang sampai ke otak (sebagai makan), sebaliknya ia membatalkan puasa kerana antara otak dan jauf (perut) terdapat saluran. Maka apa-apa yang sampai ke otak akan sampai juga ke jauf (perut).”[7]

  • Kata al-Kasani:

وما وصل إلى الجوف أو إلى الدماغ عن المخارق الأصلية كالأنف والأذن والدبر بأن استعط أو احتقن أو أقطر في أذنه فوصل إلى الجوف أو إلى الدماغ فسد صومه، أما إذا وصل إلى الجوف فلا شك فيه لوجود الأكل من حيث الصورة. وكذا إذا وصل إلى الدماغ لأنه له منفذ إلى الجوف فكان بمنزلة زاوية من زوايا الجوف

Maksudnya:  “Dan apa-apa yang sampai ke jauf atau ke otak dari jalan-jalan asal seperti hidung, telinga dan dubur, dengan memasukkan ke dalam hidung atau mencucuk atau menitiskan ke dalam telinga, sehingga sampai ke jauf atau ke otak, rosaklah puasanya. Adapun apabila sampai ke jauf, maka tidak diragukan (membatalkan puasa) kerana ada gambaran makan. Demikian juga apabila sampai ke otak kerana ia memiliki laluan ke jauf, ia berada pada kedudukan penjuru dari penjuru-penjuru al-Jauf.”[8]

  • Kata Ibn ‘Abidin:

والتحقيق أن بين جوف الرأس وجوف المعدة منفذا أصليا فما وصل إلى جوف الرأس يصل إلى جوف البطن

Maksudnya:  “dan berdasarkan al-Tahkik bahawa antara jauf kepala dan jauh maidah terdapat laluan asal. Maka apa-apa yang sampai ke jauf kepala akan sampai juga ke jauf perut.”[9]

            Berdasarkan nukilan ini menunjukkan para ulama Hanafi berpandangan yang memberi kesan ialah apa-apa yang sampai ke jauf perut. Apa-apa yang sampai ke otak juga memberi kesan kerana keadaannya yang merupakan laluan ke rongga perut.

Namun al-Syarkhasi beranggapan otak merupakan salah satu jauf sama seperti jauf perut. Dengan hanya sampai ubat ke otak, ia membatalkan puasa. Beliau berkata:

والإقطار في الأذن كذلك يفسد، لأنه يصل إلى الدماغ، والدماغ أحد الجوفين

Maksudnya: “Dan menitikkan (ubat) ke telinga demikian juga, ia suatu yang membatalkan puasa, kerana ia sampai ke otak, dan otak itu salah satu jauf.”[10]

            Selain itu ulama Hanafi berbeza pandangan dalam persoalan memasukkan ubat ke dalam al-Ihlil (saluran zakar) dan apa-apa laluan yang boleh masuk ke jauf bukan al-Makhariq al-Asliyyah (laluan asal). Kata al-Kasaniy:

وأما الإقطار في الإحليل فلا يفسد في قول أبي حنيفة وعندهما يفسد

Maksudnya: “Adapun memasukkan ubat ke dalam saluran zakar, tidak membatalkan puasa pada pandangan Abu Hanifah, manakala di sisi mereka berdua (Muhammad bin al-Hasan dan Abu Yusuf) membatalkan puasa.”[11]

            Kata al-Samarqandi:

وأما الجائفة والآمة إذا داواهما: فإن كان الدواء يابسا فلا يفسد، لأنه لا يصل إلى الجوف، أما إذا كان رطبا: فيفسد عند أبي حنيفة، وعندهما لا يفسد، فأبو حنيفة اعتبر ظاهر الوصول بوصول المغذي إلى الجوف حقيقة، وهما يعتبران الوصول بالمخارق الأصلية لا غير، ويقولون: في المخارق يتيقن الوصول، فأما في المخارق العارضة فيحتمل الوصول إلى الجوف، ويحتمل الوصول إلى موضع آخر، لا إلى محل الغذاء والدواء، فلا يفسد الصوم مع الشك والاحتمال، وأبو حنيفة يقول: الوصول إلى الجوف ثابت ظاهرا، وكفى لوجوب القضاء احتياطا

Maksudnya: “Adapun luka yang tembus ke dalam badan atau luka di kepala sehingga ke dalamnya, apabila diubati, jika ubat itu kering maka tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak sampai ke jauf. Adapun jika basah, maka membatalkan puasa di sisi Abu Hanifah, tidak batal di sisi mereka berdua. Abu Hanifah mengambil kira zahir sampai dengan sampainya sesuatu yang memberi zat ke jauf secara hakikat. Manakala mereka berdua mengambil kira sampai melalui laluan asal[12] tidak laluan lainnya. Mereka berkata: pada al-Makhariq yang pasti sampai (makanan). Adapun al-Makhariq yang baru terjadi (المخارق العارضة), ada kemungkinan sampai ke jauf ada kemungkinan juga sampai ke tempat lain bukan di tempat makanan dan ubat, maka ia tidak membatalkan puasa kerana ada keraguan sampai dan kebarangkalian. Manakala Abu Hanifah berkata: sampai ke jauf adalah thabit dan suatu yang zahir, maka cukup untuk mewajibkan qadha sebagai berhati-hati.”[13]

Nukilan ini menunjukkan ada perbezaan pendapat antara Abu Hanifah dengan dua sahabatnya berkaitan sesuatu yang masuk ke dalam saluran zakar, demikian juga yang masuk ke jauf bukan melalui al-Makhariq al-Asliyyah.

Selain itu ulama Hanafi juga mensyaratkan sesuatu yang masuk ke dalam jauf itu mestilah menetap di dalamnya. 

Kata al-Kasani:

ولو طعن برمح فوصل إلى جوفه أو إلى دماغه فإن أخرجه مع النصل لم يفسد وإن بقي النصل فيه يفسد. وكذا قالوا فيمن ابتلع لحما مربوطا على خيط ثم انتزعه من ساعته، إنه لا يفسد وإن تركه فسد وكذا روي عن محمد في الصائم إذا أدخل خشبة في المقعدة، إنه لا يفسد صومه إلا إذا غاب طرف الخشبة وهذا يدل على أن استقرار الداخل في الجوف شرط فساد الصوم

Maksudnya: “dan jika ditikam dengan anak panah sehingga sampai ke jauf atau ke otak, jika dikeluarkannya bersama dengan mata anak panahnya, maka tidak batal puasa. Jika mata anak panah kekal di dalam jauf, maka batal puasa. Demikian juga mereka berkata pada sesiapa yang menelan daging yang terikat dengan tali kemudian menariknya pada waktu itu juga, ia tidak membatalkan puasa, jika ditinggalkannya, ia merosakkan puasa… ini menunjukkan tetapnya sesuatu yang masuk ke jauf itu menjadi syarat batalnya puasa.”[14]

            Nukilan ini menunjukkan majoriti ulama mazhab Hanafi berpandangan al-Jauf itu hanya al-Tajwif al-Batni التجويف البطني atau rongga perut. Otak pula diambil kira ia merupakan laluan ke perut, mestilah pula laluan itu melalui al-Makhariq al-Asliyyah dan sebahagian mereka mengambil kira juga al-Makhariq al-‘Aridhah sebagai memberi kesan kepada puasa.

            Berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama mazhab Hanafi kerana ketiadaan pembatas jelas menerangkan hakikat al-Jauf dari nas-nas syara’, disebabkan al-Jauf bukanlah illah yang dinaskan. Allah dan rasul juga tidak mengaitkan batal puasa dengan al-Jauf melalui sebarang nas yang qat’ie mahupun zhanni. 

  • Fuqaha Maliki.

Majoriti ulama mazhab Maliki berpandangan al-Jauf ialah halkum (الحلق), perut (المعدة), usus (الأمعاء) dan apa-apa saluran yang sampai kepadanya seperti dubur dan faraj wanita (kerana beranggapan sedemikian). Di kalangan mereka pula ada yang mengambil kira apa-apa yang masuk ke otak juga membatalkan puasa.

Majoriti Maliki juga berpandangan saluran yang sampai ke rongga perut dan memberi kesan kepada puasa mestilah saluran yang biasa المنافذ المعتادة, kerana mereka tidak mengambil kira luka الجائفة. 

  • Kata Sahnun:

قلت لابن القاسم عن قول مالك في الكحل فقال: قال مالك: إذا دخل حلقه – أي الكحل – وعلم أنه قد وصل الكحل إلى حلقه فعليه القضاء

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Ibn al-Qasim berkaitan perkataan Malik tentang celak, lalu beliau menjawab: “Berkata Malik: “Apabila celak masuk ke halkum dan seseorang itu tahu celak telah sampai ke halkumnya, maka wajib dia qadha.”[15]

Teks ini adalah bukti pandangan Imam Malik, permulaan al-Jauf adalah halkum.[16]

  • Kata al-Khurashi:

وما وصل الأمعاء – أي من الدبر – من طعام حصل به فائدة الغذاء، فإن الحقنة تجذب من المعدة، ومن سائر الأمعاء عند الأطباء، فصار ذلك من معنى الأكل

Maksudnya:  “Dan apa-apa yang sampai ke usus – iaitulah dari dubur – dari makanan, terhasillah dengannya faedah makanan.”[17]

  • Kata al-Qarafi:

لا يفطر ما وصل إلى الدماغ، خلافا للأئمة

Maksudnya:  “Tidak membatalkan puasa apa-apa yang sampai ke otak, berbeza dengan pandangan para imam.”[18]

  • Kata al-Dasuqi:

ما وصل للمعدة من منفذ عال موجب للقضاء، سواء كان ذلك المنفذ واسعا أو ضيقا بخلاف ما يصل للمعدة من منفذ سافل فإنه يشترط فيه كونه واسعا كالدبر، وقبل المرأة والثقبية، لا كإحليل وجائفة وهي الخرق الصغير جدا الواصل للبطن، وصل للمعدة أو لا 

Maksudnya: “apa-apa yang sampai ke perut dari saluran atas mewajibkan qadha, sama ada saluran itu luas atau sempit, berbeza dengan apa-apa yang sampai ke perut dari saluran bawah. Ia disyaratkan luas seperti dubur, qubul wanita dan pundi kencing, tidak seperti saluran zakar dan luka yang merupakan saluran terlalu kecil, yang sampai ke dalam apakah sampai ke perut ataupun tidak.”[19]

            Majoriti ulama mazhab Maliki tidak beranggapan otak sebagai al-Jauf dan tidak beranggapan apa-apa yang sampai kepada otak dapat memberi kesan kepada puasa. Pandangan mereka ini berbeza dengan mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hambali.

Sebahagian ulama Maliki juga berpandangan faraj wanita tidak termasuk saluran ke jauf dan bahkan tiada sambungan antara faraj dan jauf.

 Kata al-Sawi:

فرج المرأة وفيه نظر بل هو كإحليل – أي غير معتبر -

Maksudnya: “Faraj wanita pandangan tentangnya perlukan pemerhatian, bahkan ia seperti saluran zakar – iaitulah tidak dikira saluran ke jauf -.”[20]

 

  • Fuqaha Syafi’ie

Mazhab al-Syafi’ie merupakan mazhab yang paling luas dalam membicara berkaitan batas al-Jauf. Penjelasan dari al-Imam al-Nawawi menunjukkan terdapat dua pandangan ulama mazhab al-Syafi’ie dalam masalah ini.

  • Kata al-Nawawi:

وضبط الأصحاب الداخل المفطر بالعين الواصلة من الظاهر إلى الباطن في منفذ مفتوح عن قصد مع ذكر الصوم وفيه قيود (منها) الباطن الواصل إليه وفيما يعتبر به وجهان (أحدهما) أنه ما يقع عليه اسم الجوف (والثاني) يعتبر معه أن يكون فيه قوة تحيل الواصل إليه من دواء أو غذاء قال والأول هو الموافق لتفريع الأكثرين

Maksudnya: “(Kata al-Rafi’ie) para ashab meletakkan dhabit bagi yang masuk yang membatalkan puasa ialah benda yang sampai dari luar ke dalam pada saluran terbuka dengan diniatkan dan ingat sedang berpuasa. Padanya terdapat beberapa quyud: antaranya: bahagian dalam yang sampai kepadanya dan apa yang diambil kira. Terdapat dua wajah: salah satunya hendaklah (bahagian dalam itu) adalah al-Jauf. Kedua: hendaklah memiliki kekuatan mencernakan apa-apa yang sampai kepadanya darii ubat atau makanan. Dan yang pertama menepati tafri’ kebanyakan (ashab).”[21]

Nukilan al-Nawawi ini menunjukkan ada khilaf di kalangan Ashab. Namun kebanyakan Ashab tidak mensyaratkan jauf memiliki kemampuan mencerna.  

  • Kata Zakaria al-Ansari:

دخول (عين) من الظاهر وإن لم تؤكل عادة كحصاة (جوفا له) لخبر البيهقي بإسناد حسن، أو صحيح عن ابن عباس قال: إنما الفطر مما دخل وليس مما خرج أي الأصل ذلك.  (ولو) كان الجوف (سوى محيل) للغذاء، أو الدواء (كباطن الأذن) وإن كان لا منفذ منه إلى الدماغ؛ لأنه نافذ إلى داخل قحف الرأس، وهو جوف (أو) باطن الإحليل) وإن لم يجاوز الداخل فيه الحشفة كما يبطل بالواصل إلى حلقه وإن لم يصل إلى معدته، والمحيل كباطن الدماغ، والبطن، والأمعاء، والمثانة

Maksudnya: “Masuk ain sesuatu dari luar, sekalipun bukan suatu yang dimakan pada kebiasaannya seperti batu ke dalam jauf… sekalipun jauf itu tiada kemampuan mencerna makanan atau ubat seperti dalam telinga sekalipun ia tidak memiliki saluran ke otak, kerana ia merupakan saluran ke dalam tengkorak kepala, dan ia adalah jauf atau saluran zakar sekalipun belum melepasi hasyafah sepertimana benda yang masuk membatalkan puasa dengan sampai di halkum sekalipun belum sampai ke perut. Al-Muhil (yang mencerna) seperti otak, perut, usus dan pundi kencing.”[22]

  • Kata al-Ghamrawi الغمراوي:

وشرطه أيضا الإمساك عن وصول العين وإن قلت إلى ما يسمى جوفا، وقيل يشترط مع هذا أن يكون فيه أي الجوف قوة تحيل الغذاء أي المأكول والمشروب

Maksudnya: “Dan syaratnya juga menahan dari sampainya ain sekalipun sedikit ke bahagian yang dinamakan jauf, dikatakan juga disyaratkan pada jauf itu memiliki kemampuan mencerna makanan dan minuman.”[23]

  • Kata al-Syarbini

وَالَّذِي يفْطر بِهِ الصَّائِم عشرَة أَشْيَاء) الأول (مَا وصل) من عين وَإِن قلت كسمسمة (عمدا) مُخْتَارًا عَالما بِالتَّحْرِيمِ (إِلَى) مُطلق (الْجوف) من منفذ مَفْتُوح سَوَاء أَكَانَ يحِيل الْغذَاء أَو الدَّوَاء أم لَا كباطن الْحلق والبطن والأمعاء (و) بَاطِن (الرَّأْس) لِأَن الصَّوْم هُوَ الْإِمْسَاك عَن كل مَا يصل إِلَى الْجوف

Maksudnya: “dan yang membatalkan puasa seseorang ada 10, pertama apa-apa yang sampai terdiri dari sesuatu ain sekalipun sedikit seperti suatu yang kecil secara sengaja, dengan pilihan dan tahu hukum haramnya ke jauf dari saluran terbuka sama ada ia boleh mencerna makanan dan ubat atau tidak boleh seperti dalam halkum, perut, usus dan dalam kepala, kerana puasa ialah menahan dari sampai setiap benda ke jauf...”[24]

Nukilan-nukilan ini menunjukkan al-Jauf di sisi ulama mazhab Syafi’ie merangkumi setiap yang berongga كل مجوف seperti dalam telinga, dalam tengkorak kepala, ke dalam halkum sekalipun belum sampai ke perut, dalam saluran zakar bersama ada khilaf apakah mesti sampai ke pundi atau tidak semestinya.

Ulama mazhab Syafi’ie juga tidak mensyaratkan al-Jauf itu memiliki kemampuan mencerna makanan. Inilah pandangan kebanyakan mereka. Manakala pandangan minoriti mensyaratkan al-Jauf hendaklah memiliki kemampuan mencerna makanan dan ubat atau saluran yang menghubung ke al-Jauf yang ada kemampuan mencerna. Adapun selain dari itu, tidak memberi kesan kepada batal puasa.[25]

            Seperti yang dinyatakan di awal, ulama mazhab Syafi’ie merupakan ulama yang paling luas membataskan al-Jauf dengan perbezaan yang ada antara mereka.

Perbezaan yang berlaku di antara ulama ini dengan sebab yang telah dijelaskan sebelum ini iaitulah ketiadaan nas dari al-Quran dan al-Sunnah yang menjadikan al-Jauf sebagai illah berlegarnya hukum batal puasa ataupun tidak.[26] Ia berupa Illah Mustanbatah yang tidak terdapat bukti, Allah dan Rasul menjadikannya sebagai satu sebab batalnya puasa.

 

  • Fuqaha Hambali

Sepertimana mazhab lain, ulama mazhab Hambali juga berbeza pandangan dalam menentukan maksud dan batas al-Jauf. Namun pandangan ulama mazhab Hambali hampir dengan pandangan ulama mazhab al-Syafi’ie. Sebahagian mereka berpandangan dengan pandangan majoriti ulama Syafi’ie, manakala sebahagian lain berpandangan dengan pandangan minoriti ulama mazhab al-Syafi’ie.

Ditegaskan sekali lagi bahawa sebab perbezaan ini berlaku sekalipun dalam mazhab yang sama ialah kerana keberadaan al-Jauf sebagai satu illah tidak dapat dibuktikan daripada nas al-Quran mahupun al-Sunnah.

SEBAB AL-JAUF DIJADIKAN ILLAH BATAL PUASA DI SISI FUQAHA

Di dapati para fuqaha empat mazhab ketika berbicara persoalan Illah batal puasa dan panduan yang diletakkan dalam membataskan al-Jauf memiliki perbezaan pandangan sesama mereka sekalipun dalam mazhab yang sama. Sebabnya kerana illah al-Jauf merupakan Illah Mustanbatah yang mana Allah dan Rasul tidak mengaitkannya dengan batal dan rosaknya puasa. Sebaliknya ia adalah hasil istinbath yang bersandarkan kepada maklumat yang ada di sisi mereka seperti:

  • Otak dianggap sebagai Jauf yang memberi kesan berdasarkan anggapan otak merupakan rongga yang boleh menerima dan dipenuhi sesuatu dan dikosongkan (يقبل الشغل والفراغ).

Namun anggapan ini ternyatakan bertentangan dengan penemuan moden.

  • Anggapan otak memiliki kekuatan al-Muhilah (mencernakan) makanan dan ubat.

Anggapan ini juga bertentangan dengan penemuan moden.

  • Anggapan adanya saluran atau laluan (منفذ) antara otak dan halkum.

            Penemuan moden membutikan tiada laluan tersebut kerana terhalang dengan dinding yang menghalang antara otak dengan rongga hidung.

  • Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud:

أنه أمر بالإثْمِدِ المُرَوَّح عند النوم، وقال لِيَتَّقِه الصائمُ

Maksudnya:  “Bahawa baginda memerintahkan dikenakan celak Ithmid yang diwangikan dengan kasturi, dan bagainda bersabda: hendaklah dijauhi oleh seorang yang berpuasa.”[27]

Beranggapan larangan ini kerana bimbangkan sampainya sesuatu ke otak. Namun hadis ini lemah. Hadis ini juga bertentangan dengan hadis Anas bin Malik RA yang berkata:

جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: اشتكت عيني أفأكتحل وأنا صائم؟ قال: نعم

Maksudnya: “Datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata: “Mataku sakit, apakah boleh aku bercelak sedangkan aku berpuasa? Jawab baginda: “Boleh.”

Namun hadis ini juga dhaief. al-Tirmizi mengatakan Isnad hadis ini tidak kuat dan tiada sesuatu yang sahih dalam bab ini. Ibn Ma’ien pula menilai hadis ini sebagai Mungkar. Dalam sanad hadis ini terdapat Abi ‘Atikah أبو عاتكة yang bernama Tarif bin Salman طريف بن سلمان yang dikatakan oleh al-Bukhari sebagai: Mungkar al-Hadis dan al-Nasai’e sebagai: Bukan seorang yang thiqah, manakala al-Razi sebagai: Zahib al-Hadis.[28]

            Kedua-dua hadis ini lemah, maka kedua-duanya gugur untuk dijadikan sebagai dalil. Jika diandaikan hadis Abu Daud di atas tadi sahih sekalipun, ia tetap tidak boleh dijadikan dalil bagi membuktikan otak memiliki rongga yang memberi kesan kepada puasa kerana penemuan moden membuktikan tiada sebarang laluan antara mata dan otak.

  • Anggapan kebanyakan fuqaha terhadap larangan bersungguh-sungguh al-Istinsyaq di dalam hadis Laqith bin Saburah kerana bimbang air akan masuk ke hidung dan terus ke otak.

Istidlal sebegini juga tidak tepat kerana penemuan moden membuktikan tiada saluran antara hidung dan otak, sebaliknya memiliki saluran ke halkum.

  • Anggapan saluran zakar sebagai jauf kerana menyangka apa-apa yang masuk melaluinya akan masuk ke organ penghadaman.

Anggapan ini juga tertolak berdasarkan penemuan moden yang membuktikan tiada saluran antara organ air kencing dengan organ penghadaman. Sebaliknya apa-apa ubat yang dimasukkan melalui saluran zakar akan sampai ke pundi kencing sahaja sama ada lelaki mahupun perempuan.

  • Anggapan sebahagian fuqaha mazhab Syafi’ie dan Hambali bahawa faraj (vagina) dan rahim merupakan Jauf yang memiliki laluan ke organ penghadaman.

Namun anggapan ini bertentangan dengan penemuan moden.

  • I’timad kepada kaedah الفطر مما دخل وليس مما خرج kerana berdalilkan dengan hadis:

إنما الإفطار مما دخل

Maksudnya: “Hanya yang membatalkan puasa itu dari apa-apa yang masuk.”[29]

Juga berdasarkan athar Ibn ‘Abbas yang berkata:

إنما الفطر مما دخل وليس مما خرج

Maksudnya: “Hanya yang membatalkan puasa itu dari apa-apa yang masuk bukan yang keluar.”

Dari athar ini, para fuqaha beranggapan apa-apa مجوف di tubuh merupakan Manath (مناطا) batalnya puasa dengan sampainya sesuatu kepadanya. Namun anggapan ini tertolak dengan alasan-alasan berikut:

  • Hadis marfu’ di atas adalah lemah. Selain al-Zaila’ie menilainya sebagai lemah, al-Haithami juga dengan katanya: “Ia diriwayatkan oleh Abu Ya’la dan padanya terdapat rawi yang tidak aku kenali.” Demikian al-Qari disebabkan al-Maulah yang adalah dalam sanad seorang yang tidak thabitkan oleh sebahagian ahli hadis.
  • Athar Ibn ‘Abbas tidak boleh dijadikan bukti untuk meluaskan mafhum jauf, kerana khitab syar’ie berbicara dari sudut yang ghalib, manakala yang nadir tidak dijadikan hukum. Jika diandaikan athar Ibn ‘Abbas itu مرفوع حكما, ia dalah kefahaman dari firman Allah SWT:

وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَيۡطُ ٱلۡأَبۡيَضُ مِنَ ٱلۡخَيۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِۖ ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيۡلِۚ

Maksudnya: “…dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam…” (al-Baqarah: 187)

Perkataan Ibn ‘Abbas ini umum dan memiliki makna syar’ie, lalu diberikan maksud kepadanya menurut maksud syar’ie. Iaitulah yang beliau maksudkan ialah makan dan minum yang biasa difahami seperti yang dinyatakan di dalam ayat. Sekalipun kemungkinan boleh difahami dengan maksud lain, namun maksud syar’ie adalah yang lebih rajih dan lebih ghalib yang dikehendaki.

  • Pendalilam ulama mazhab Syafi’ie dengan keumuman athar Ibn ‘Abbas ini bertentangan dengan pandangan mereka yang ijmak mengatakan apa-apa yang masuk dari rongga kulit (مسام الجلد) tidak membatalkan puasa. Demikian juga sebagian ulama mazhab Syafi’ie menafikan batalnya puasa dengan masuk sesuatu melalui saluran zakar selama tidak sampai ke perut. Ini menunjukkan athar Ibn ‘Abbas itu tidak memaksudkan umum. Jika dikecualikan dua persoalan dengan I’tibar-I’tibar tertentu, maka persoalan lain juga boleh dikecualikan dengan I’tibar-I’tibar yang lain pula. Justeru istidlal dengan athar Ibn ‘Abbas ini tidak dapat diterima.

Ini menunjukkan athar Ibn ‘Abbas “Hanya yang membatalkan puasa itu apa-apa yang masuk” memaksudkan masuk dari saluran atau laluan biasa (mulut) ke tempat yang biasa (perut) seperti yang diterdapat di dalam ayat al-Quran yang berupa larangan memasukkan sesuatu ke dalamnya.

Dhabith al-Mufattir Yang Masuk ke Tubuh

            Di bawah ini Dhabith al-Mufattir yang masuk ke dalam tubuh seperti yang dinyatakan oleh Dr. ‘Abd al-Razzaq bin ;Abd Allah bin Ghalib al-Kindi:  

Setiap yang masuk ke perut melalui halkum dari makan atau minum sama ada ia dijadikan makanan oleh badan atau tidak. Dan setiap sesuatu yang masuk dari saluran lain dan dijadikan makanan oleh badan.

Atau ia adalah setiap sesuatu yang masuk ke perut melalui jalan halkum dari makan dan minum sama ada manusia mengambil manfaat darinya ataupun tidak. Atau yang masuk itu, dari saluran mana sekalipun yang mengambil peranan makan dan minum.

Atau ia adalah makan dan minum melalui jalan halkum dan apa-apa yang semakna atau memiliki gambaran makan dan minum.  

--------------------------------------

[1] Al-Mufattirat al-Tibbiyyah al-Mu’asarah, 99

[2] Mu’jam Maqayis al-Lughah 1/495

[3] Lisan al-‘Arab 11/41

[4] Al-Razi di dalam Mukhtar al-Sihah 1/50

[5] Seperti ayat keempat dari surah al-Ahzab: وما جعل الله لرجل من قلبين في جوفه

[6] Seperti hadis: لَأن يمتلئ جزف أحدكم قيحا، خير له من أن يمتلئ شعرا

[7] Al-Bahr al-Ra’iq 2/279

[8] Bada’i’ al-Sana’i’ 2/93

[9] Hasyiah Radd al-Mukhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar 2/403

[10] Al-Mabsuth: 3/67

[11] Bada’i’ al-Sana’i’ 2/93

[12] Al-Makhariq al-Asliyyah di sisi mereka ialah mulut, hidung, telinga dan faraj wanita. Lihat al-Mabsuth oleh al-Sarkhasi 3/68

[13] Tuhfah al-Fuqaha’ 2/356

[14] Bada’I’ al-Sana’I’ 2/93

[15] Al-Mudawwanah al-Kubra 1/197

[16] Al-Mufattirat al-Tibbiyyah 105

[17] Syarh Mukhtasar Khalil 2/249

[18] Al-Zakhirah fi Furu’ al-Malikiyyah 2/505

[19] Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir 1/524

[20] Bulghah al-Salik li Aqrab al-Masalik 1/451

[21] Al-Majmu’ 6/321

[22] Al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah 2/213

[23] al-Siraj al-Wahhaj ‘ala Matn al-Minhaj 1/138

[24] Al-Iqna’ 1/237

[25] Al-Mufattirat al-Tibbiyyah al-Mu’asarah 110

[26] Al-Mufattrat al-Tibbiyyah al-Mu’asarah 111

[27] Riwayat Abu Daud dan beliau berkata: “Berkata kepadaku Yahya bin Ma’ien: “Hadis ini mungkar.

[28] al-Tahkik fi Ahadith al-Khilaf oleh Ibn al-Jauzi 2/90

[29] Riwayat Abu Ya’la al-Musili di dalam Musnadnya. Namun hadis ini lemah seperti yang dinyatakan oleh al-Zaila’ie di dalam Nasb al-Rayah 2/453


Cetak  
Wallahu a'lam