SDi 1260: Betulkah Haram Pengerusi Masjid Memberikan Peluangnya Kepada Jemaah Lain Untuk Hadir Solat Jumaat Di Musim PKP?

 
Soalan: Ustaz betul ker pengerusi masjid haram bagi peluang kpd org lain melaksanakan jumaat?
 
Jawapan: Bagaimana boleh jadi begitu?
 
 Penyoal: Dr. Syed Shahridzan dalam video ni:
 
Jawapan:
 
Asasnya begitulah kaedah yang disebut oleh fuqaha. Namun pada saya Ustaz Dr. Syed Shahridzan Ben-Agel tidak memaksudkan seperti yang ditanya, sebaliknya lebih kepada individu yang telahpun mendapat kupon solat Jumaat, lalu memberi peluang kepada orang lain. Ini apa yang saya faham setelah mengulangi huraian daripada beliau.
 
Namun perlu juga untuk saya jelaskan di sini, jika ada yang memahami dari huraian tersebut membawa maksud pengerusi masjid HARAM lepaskan peluang solat Jumaat kepada orang lain di musim PKP, maka kefahaman tersebut salah pada pandangan saya. Salah kerana ia tidak termasuk dalam kumpulan الأشباه والنظائر bagi kaedah yang dinyatakan, iaitulah: اﻹﻳﺜﺎر ﻓﻲ اﻟﻘﺮب ﻣﻜﺮوﻩ وﻓﻲ ﻏﻴﺮﻫﺎ ﻣﺤﺒﻮب yang bermaksud: "Melebihkan (orang lain) dalam perkara ibadat adalah perbuatan yang tidak disukai, manakala dalam perkara selain ibadat adalah perkara yang disukai." 
 
Kenapa saya kata begitu?
 
1. Setakat kefahaman saya, contoh-contoh yang disebut oleh fuqaha di bawah kaedah ini, ia tertumpu kepada sesuatu qurbah atau ibadah yang telah menjadi hak dan milik kita, seperti:
 
i. Air wudhu milik kita tidak boleh diberikan kepada orang lain jika perbuatan itu menjadi sebab kita tidak dapat berwudhu lagi.
ii. Keberadaan di saf pertama bagi sesiapa yang mendapatkannya.
iii. Memiliki kain yang hanya memadai untuk menutup aurat sendiri, tidak boleh diserahkan kepada orang lain untuk menutup auratnya, dan seumpamanya.
 
Hak-hak melakukan qurbah atau ketaatan atau ibadah yang telah dimiliki ini tidak boleh lagi diberikan kepada org lain. Hal ini kerana tujuan sesuatu amalam qurbah dan ibadah adalah mengagung dan memuliakan ALlah SWT. Maka sesiapa yang melebihkan orang lain bermakna dia telah meninggalkan pengagungan kepada Allah SWT.
 
Bagi situasi hak Jumaat untuk pengerusi masjid berbeza. Di mana pengerusi masjid dengan jawatannya belum boleh dikatakan secara automatik berhak mendapat peluang mendirikan Jumaat dan haram melepaskannya kepada org lain. Hal ini kerana dengan jawatan pengerusi tidak bermakna dia memiliki hak Jumaat. Demikian juga hak untuk berada di saf pertama dan lainnya. Jika ini pandangan yang dipegang, saya bimbang nanti timbul fenomena pengerusi dan AJK masjid siap tanda kawasan mereka di saf hadapan, sekalipun mereka lambat, atas alasan kaedah yang dinyatakan. Maka mustahil untuk kita katakan inilah maksud yang dikehendaki oleh fuqaha.
 
2. Pengerusi yang memberi peluang juga kepada jemaah lain untuk hadir Jumaat lebih dapat menjinakkan hati para jemaah dan merapatkan hubungan ahli qaryah dengan pihak pengurusan masjid. Bukankah telah terbukti berlaku buruk sangka dan perbalahan antara ahli qaryah dengan AJK masjid dalam isu mendapat peluang solat Jumaat?. Ini bertepatan dengan hukum bolehnya makmum yang keseorangan di belakang saf menarik jemaah yang berada di saf hadapan untuk bersamanya. Di kalangan fuqaha ada yang mengatakan situasi ini termasuk dalam mustathnayat bagi kaedah اﻹﻳﺜﺎر ﻓﻲ اﻟﻘﺮب ﻣﻜﺮوﻩ وﻓﻲ ﻏﻴﺮﻫﺎ ﻣﺤﺒﻮب atas alasan terluputnya kelebihan berada dì saf pertama dapat ditampung dengan kelebihan alMu'awanah 'ala alBirr wa alTaqwa seperti yang diisyaratkan oleh alHaitami di dalam Fath alJawad
 
3. Saya bersetuju dengan Ygbhg Ustaz Dr. Syed Shahridzan Ben-Agel yang mengatakan, sesiapa yang mendapat kupon giliran solat Jumaat, lalu tanpa alasan syar'ie memberikannya kepada orang lain, ia adalah suatu perbuatan yang haram.
 

Cetak  
Wallahu a'lam