Soalan:
Assalamu'alaikum ustaz. sekitar rumah saya ada 2 masjid dan satu surau yang berdekatan. Mana yang lebih baik untuk saya tunaikan solat tarawih?
Jawapan:
Pilihlah masjid yang paling baik solat tarawihnya dengan menjaga adab-adab solat dan yang paling ramai jemaahnya kerana ramainya jemaah adalah lebih afdhal. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH di dalam Majmu’ al-Fatawa 31/221 berkata:
لأن اجتماع الناس في مسجد واحد أفضل من تفريقهم في مسجدين ; لأن الجمع كلما كثر كان أفضل ; لقول النبي صلى الله عليه وسلم: صلاة الرجل مع الرجل أزكى من صلاته وحده وصلاته مع الرجلين أزكى من صلاته مع الرجل وما كان أكثر فهو أحب إلى الله تعالى. رواه أبو داود وغيره
Maksudnya: “…Ini kerana perhimpunan orang ramai di satu masjid adalah lebih utama dari mereka berselerak di dua masjid. Ini kerana sesuatu himpunan apabila banyak adalah lebih utama berdasarkan sabda Nabi SAW: “Solat seorang lelaki bersama seorang lelaki yang lain adalah lebih banyak pahala (Azka) dari dia solat bersendirian, dan solatnya bersama dua orang lelaki adalah lebih banyak pahala dari solatnya dengan seorang lelaki yang lain. Dan apa-apa yang lebih ramai (jumlah jemaahnya) maka ia adalah lebih disukai oleh Allah Taala.” (Riwayat Abu Daud 554 dan al-Nasa’ie 843. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)
Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Tabarani bahawa Nabi SAW bersabda:
صلاة رجلين يؤم أحدهما صاحبه أزكى عند الله من صلاة ثمانية تترى ، وصلاة أربعة يؤمهم أحدهم أزكى عند الله من صلاة مائة تترى
Maksudnya: “Solat dua orang lelaki, salah seorang mengimamkan sahabatnya adalah lebih banyak pahala di sisi Allah berbanding solat lapan orang yang berselerak (bersendirian). Solat empat orang yang diimam oleh salah seorang daripada mereka adalah lebih banyak pahalanya di sisi Allah berbanding solat seratus orang yang berselerak (bersendirian).”