Para ulama berbeza pandangan tentang kenajisan anjing seperti berikut:
Pertama: Anjing termasuk dalam kumpulan haiwan yang suci, termasuk air liurnya. Inilah asal mazhab Maliki dan sebahagian riwayat dari ulama Hanafi.
Dalil mereka:
- Firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللّهُ فَكُلُواْ مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُواْ اسْمَ اللّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Maksudnya: “Mereka menanyakan kepadamu: "Apakah yang dihalalkan bagi mereka?". Katakanlah: "Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatih nya untuk berburu; kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu melepaskannya). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya.” (al-Maidah: 4)
Ayat ini tiada perintah tempat gigitan anjing. Ia menunjukkan kesucian anjing. Di samping itu terdapat kebenaran melatih anjing sehingga dapat diambil manfaat darinya untuk berburu dan memakan buruannya. Anjing juga termasuk dalam kumpulan al-Jawarih yang dibenarkan diambil manfaat dengannya sekalipun tiada dharurah, sekaligus menunjukkan kesuciannya.
- Hadis Ibn ‘Umar RA, di dalamnya terdapat pernyataan:
كانَتْ الكِلابُ تُقْبِلُ وتُدْبِرُ فِي مَسْجِدِ رَسُولِ اللَّهِ - ﷺ - ولَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِن ذَلِكَ
Maksudnya: “Dahulunya anjing-anjing datang dan pergi di masjid Rasulullah SAW, dan mereka tidak merenjiskan air sedikitpun disebabkan perkara itu.” (al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan kesucian anjing.
- Diriwayatkan daripada ‘Umar dan ‘Amr bin al-‘Ash sampai di sebuah telaga. Lalu ‘Amr bin al-‘Ash berseru: “Wahai pemilik telaga, apakah siba’ ada datang minum dari telagamu ini? Kata ‘Umar:
يا صاحِبَ الحَوْضِ، لا تُخْبِرْنا، فَإنّا نَرِدُ عَلى السِّباعِ وتَرِدُ عَلَيْنا
Maksudnya: “Wahai pemilik telaga, jangan beritahu kepada kami, kerana kami mendatangi lebihan binatang buat, dan mereka juga mendatangi lebihan kami.”
Mula ‘Ali al-Qari di dalam Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih menyatakan: “Dan yang azhar dipikul perkataan ‘Umar: “Jangan beritahu kami” menghendaki ketiadaan menjadi najis (dengan kehadiran binatang buas) dan kekal asal kesucian air tersebut.” (2/457-458)
Anjing ada dari kumpulan al-Siba’.
Dalil-dalil ini dibantah:
- Ayat surah al-Maidah: 4, dijawab dengan mengatakan kewajipan membasuh buruan yang diburu oleh anjing ada perbezaan pendapat di kalangan ulama mazhab Syafie. Manakala ulama mazhab Hambali, mewajibkan membasuh tempat mulut anjing (gigitan). Kewajipan membasuh ini diambil dari dalil yang lain iaitulah hadis yang terdapat perintah membasuh bekas jilatan anjing. Maka perintah ini diumumkan termasuk apa sahaja yang terkena gigitan anjing. Jika diterima pandangan sebahagian ulama yang mengatakan tidak perlu dibasuh, maka ia termasuk dalam perkara معفو عنه.
- Hadis Ibn ‘Umar pula menggambarkan apa yang berlaku di zaman awal Islam dan sebelum datangnya perintah membasuh jilatan anjing. Boleh juga difahami kesan-kesan kehadiran anjing tersembunyi dan tidak nyata.
Kedua: Anjing adalah haiwan najis mughallazah, termasuk bulu dan air liurnya. Inilah pandangan ulama mazhab Syafi‘ie dan Hambali. Demikian juga sebahagian ulama Hanafi dan sebahagian ulama mazhab Maliki seperti Suhnun, Ibn al-Majisyun dan Abu ‘Umar.
Dalil mereka:
- Hadis Abu Hurairah RA berkaitan menyuci bekas dari wulugh al-Kalb. Terdapat beberapa bentuk pendalilan dari hadis ini:
- Dalam sebahagian riwayat dinyatakan طهور إناء أحدكم di mana lafaz طهور tidak dilakukan selain ia menunjukkan hadas atau Tidak mungkin ia merujuk kepada bekas, sebaliknya apa-apa yang berbaki di dalam bekas iaitulah bekas jilatan anjing.
- Dalam riyawat Muslim terdapat perintah mencurahkan baki minuman anjing dari Nabi SAW: فَلْيُرِقْه. Ini menunjukkan jika air bekas minuman anjing itu suci sudah tentu baginda tidak akan memerintahkan mencurahnya, kerana perbuatan itu mensia-siakan harta.
- Hadis wulugh al-Kalb berkaitan membersihkan kesan jilatan, jilatan itu dengan lidah di mulut yang merupakan anggota paling baik (أطيب), maka anggota lain adalah lebih aula dikatakan najis.
Dalil-dalil ini dibantah dengan mengatakan:
Perintah membersihkan atau membasuh tidak semestinya menunjukkan kenajisan. Sebaliknya adalah li al-Ta‘abbud dan ia dikuatkan dengan penetapan bilangan basuhan sebanyak tujuh kali, sedangkan menghilangkan najis memadai dengan basuhan kurang dari itu yang dapat menghilangkan kesannya. Selain itu perintah ini berupa ta‘abbud dikuatkan lagi dengan terdapat juga perintah menggunakan tanah. Demikian juga lafaz طهور tidak menunjukkan kenajisan, lebih-lebih lagi untuk difahami ia menunjukkan najis berat, sedangkan najis tahi dan air kencing adalah lebih berat dari air liur anjing dan ia tidak perlu dibasuh sehingga tujuh kali.
al-Tarakkhus bi Masa-il al-Khilaf
Dalam situasi yang ada keperluan, dianjurkan kepada mereka yang terbabit seperti anggota polis muslim di dalam Unit Anjing Pengesan untuk bertaqlid kepada pandangan mazhab Maliki yang mengatakan anjing tidak najis, bahkan seluruh tubuh-badannya termasuk air liur anjing adalah suci.
Pandangan air liur dan anjing tidak najis adalah pandangan masyhur di sisi mazhab Maliki. Di dalam Hasyiah al-Khurashi ‘ala Mukhtasar Khalil dinyatakan:
يعني أن الكلب سواء كان منهيا عن اتخاذه أو مأذونا فيه واحدا أو متعددا إذا ولغ في إناء ماء أي شرب منه فإنه يستحب أن يراق الماء المولوغ فيه ويستحب أن يغسل الإناء سبع مرات تعبدا على المشهور لطهارة الكلب
Maksudnya: “Iaitulah bahawa anjing sama ada yang ditegah memeliharanya atau yang diizinkan, seekor atau banyak, apabila menjilat bekas air iaitulah anjing itu minum air dari bekas tersebut, maka disunatkan dibuangkan airnya yang dijilat tersebut dan disunatkan juga dibasuh bekas tersebut sebanyak tujuh kali kerana ta‘abbudan berdasarkan pandangan masyhur yang mengatakan kesucian anjing.” (1/219, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut Lebanon)
Di dalam Mawahib al-Jalil Fi Syarh Mukhtasar Khalil ketika menerangkan maksud basuhan tujuh kali itu ta‘abbudan menyatakan:
يَعْنِي أَنَّ الْغَسْلَ الْمَذْكُورَ تَعَبُّدٌ وَهَذَا هُوَ الْمَشْهُورُ مِنْ الْمَذْهَبِ
Maksudnya: “iaitulah basuhan tujuh kali itu ta‘abbudan, dan inilah pandangan masyhur dari mazhab.” (1/177)
Dalam masa yang sama dinasihatkan agar disediakan tempat khas untuk anjing bagi mengelak ia berkeliaran dan mengotorkan tempat solat. Demikian juga jika dapat dielak dari anjing pengesan masuk ke dalam rumah atau menggunakan kelengkapan khas seperti sarung tangan ketika menguruskannya adalah lebih baik bagi keluar dari khilaf.