SDI 0695: Kedudukan Makmum Seorang Dalam Solat Jemaah

Soalan: 
 
Ustaz, ada ustaz sunnah kata makmum kalu seorang dia berdiri sebaris di sebelah kanan imam. Tidak perlu ke belakang walau sedikit. Apa pandangan ustaz?
 
Jawapan: 
 
Persoalan ini ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Seorang makmum apakah berdiri sebaris dengan imam dalam ertikata tumitnya sebaris dengan tumit imam atau makmum yang seorang itu perlu ke belakang sedikit tumitnya dari tumit imam. Sebahagian ulama berpdangan tumit makmum tersebut hendaklah sama dengan tumit imam, iaitulah mereka berdiri sebaris, tiada yang terkehadapan dan terkebelakang. Seperti pandangan ustaz yang anda dengar tersebut. Mereka berdalilkan dengan hadis Ibn ‘Abbas yang pernah solat bersama Nabi SAW pada malam hari, di mana pada awalnya beliau berdiri di belakang Nabi SAW, lalu Nabi SAW menarik beliau dan menjadikan beliau berdiri setentang dengan baginda SAW. Di dalam hadis dinyatakan:
 
فأخذ بيدي فجرني حتى جعلني حذاءه
 
Maksudnya: “Baginda mengambil tanganku, dan menarikku hingga menjadikan aku berada separas dengan baginda.” Berdasarkan hadis ini, para ulama dari golongan ini berkata محاذاة yang diterjemahkan sebagai separas itu membawa maksud tumit makmum yang seorang berada dalam kedudukan sebaris dengan tumit imam. 
 
Manakala sebahagian ulama lain pula berpandangan, yang lebih kuat dan sahih ialah makmum yang seorang itu hendaklah terkebelakang sedikit berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim:
 
إنما جعل الإمام ليؤتم به
 
Maksudnya: “Hanyasanya diadakan imam itu adalah untuk diikuti.” 
 
Jumhur ulama berdalilkan dengan hadis ini untuk mengatakan haram bagi seorang makmum terkehadapan dari imam. Buktinya ialah sabda baginda di atas iaaitulah ليؤتم به imam itu adalah untuk diikuti, iaitulah diikuti perbuatannya, didengari bacaannya, diikuti pergerakan-pergerakan rukun, wajib-wajibnya, demikian juga diikuti pada kedudukan dan keadaannya. Maka orang yang diikuti hendaklah terkehadapan dari orang yang mengikuti. Oleh itu jika seorang makmum berdiri setentang dengan imam, tumitnya sebaris dengan tumit imam, dia tidak dinamakan mengikuti imam pada kedudukan dan keadaannya. Sedangkan pada asalnya seseorang yang diikuti itu perlulah berada terkehadapan dari orang yang mengikuti. 
 
Imam bahasa ‘Arab, Ibn al-Manzur di dalam Lisan al-‘Arab berkata:
 
والإمام بمعنى القدام، وفلان يؤم القوم: يقدمهم
 
Maksudnya: "Imam dengan makna yang terkehadapan. (bila dikatakan) orang itu mengimamkan satu kaum, iaitulah terkehadapan dari mereka.” Beliau juga berkata:
 
مَعْنَى قَوْلِهِمْ يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَيْ يَتَقَدَّمُهُمْ ، أُخِذَ مِنَ الْأَمَامِ . يُقَالُ : فُلَانٌ إِمَامُ الْقَوْمِ ; مَعْنَاهُ هُوَ الْمُتَقَدِّمُ لَهُمْ
 
Maksudnya: “Makna perkataan mereka: “(dia) menjadi imam kepada sesuatu kaum iaitulah yang terkehadapan dari mereka semua. Diambil dari perkataan Amam. Dikatakan orang itu imam kepada kaum tersebut. Maknanya orang itu terkehadapan bagi mereka semua.” 
 
Kerana itu jumhur ulama berpandangan seorang imam semestinya berada terkehadapan, hadis Anas di atas wajib difahami maksudnya iaitulah imam mestilah terkehadapan dan diikuti. Selain itu, peristiwa Nabi SAW solat bersama dengan seorang sahabat tidak berlaku melainkan dalam beberapa peristiwa yang terhad sahaja. Justeru sepatutnya kita berpegang kepada zahir hadis Anas di atas dan memahami hadis Ibn 'Abbas dalam bentuk tidak bersalahan dengannya.
 
Soalan: 
 
Kalau separuh tumit imam? Sbb yg tu saya buat. Atau lebih baik belakang tumit?
 
Jawapan: 
 
Jarak sekadar membelakangkan tumit dari tumit imam . Tidak perlu jauh kebelakang kerana bimbang termasuk dalam tegahan Nabi SAW agar seorang makmum jangan solat bersendirian di dalam saf, yang dianggap boleh membatalkan solat di sisi sebahagian ulama.
 

Cetak  
Wallahu a'lam