Hukum Meniru Ketika Peperiksaan & Menerima Gaji Hasil Jawatan Yang Disandang  

Wednesday, September 5, 2012

Hukum Meniru Ketika Peperiksaan & Menerima Gaji Hasil Jawatan Yang Disandang

 

Soalan:

Salam...harap ustaz dapat menolong menyelesaikan masalah saya. Saya benar-benar buntu dimana saya takut hendak menggunakan ijazah yang ada untuk memohon pekerjaan kerana saya meniru dalam peperiksaan saya dan akhirnya lulus. Saya sangat-sangat menyesal dengan apa yang telah saya lakukan. Kawan-kawan sering bertanya mengapa saya masih tidak memohon pekerjaan yang lebih baik. Saya sering mencipta alasan. 

Untuk pengetahuan ustaz, saya kini bekerja baru setahun hanya menggunakan diploma saya. 

Soalan saya: Adakah boleh saya gunakan ijazah tersebut ustaz? bagaimana harus saya teruskan hidup ini? Saya sangat mengharap ustaz dapat membantu.. Terima kasih. 

Jawapan: 

Meniru di dalam peperiksaan termasuk di dalam penipuan yang tergolong dari dosa-dosa besar. Wajib bertaubat dari kesalahan tersebut. Adapun tentang gaji bulanan yang diperolehi, selama-mana kerja yang menjadi tanggungjawab dilaksanakan, maka gaji tersebut adalah halal untuknya. Di bawah ini kami terjemahkan fatwa yang boleh dijadikan panduan. 

Pernah ditanya kepada al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz Abdullah bin Baz RH, Mufti Arab Saudi yang lalu tentang seorang pelajar yang memperolehi ijazah dari sebuah universiti, namun ketika peperiksaan dia sering melakukan beberapa bentuk penipuan seperti meniru dari nota atau dari rakannya. Dari  ijazah tersebut dia berjaya mendapatkan pekerjaan, dan sudah tentu dia akan menerima gaji bulanan, persoalannya apakah gaji yang diterimanya itu halal ataupun haram? 

Al-Syeikh Bin Baz menjawab: 

عليه التوبة إلى الله مما فعل والندم، وأما الوظيفة فصحيحة وما أخذه صحيح، ما دام يؤدي المهمة التي أسندت إليه ويقوم بها، والحمد لله، ولكن كما قلنا عليه التوبة إلى الله من هذا العمل السيء المنكر، والتوبة تجبُّ ما قبلها

Maksudnya: “Dia wajib bertaubat kepada Allah dari perbuatan menipu dalam peperiksaan yang telah dia lakukannya itu dan menyesal dari perbuatan tersebut, adapun kerja dan gaji yang diperolehinya adalah halal, selama-mana dia melaksanakan tugas yang dipikulkan ke atasnya, segala pujian untuk Allah. Akan tetapi seperti yang telah kami nyatakan, dia wajib bertaubat kepada Allah dari perbuatan yang buruk dan mungkar itu, dan taubah dapat menghapuskan dosa-dosa yang lalu.”


Cetak  
Wallahu a'lam