HUKUM
Para ulama bersepakat, tidak halal sesuatu haiwan[1] yang boleh dimakan dagingnya melainkan hendaklah terlebih dahulu disembelih atau apa-apa yang semakna dengan sembelih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging hewan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya.” (al-Maidah: 3)[2]
SYARAT-SYARAT SEMBELIHAN
Untuk menjadikan sesuatu sembelihan halal dari sudut syara’, maka ia hendaklah memenuhi beberapa syarat. Secara umumnya syarat tersebut terbahagi kepada lima:
SYARAT PERTAMA (أهلية الذابح): Bagi Tukang Sembelih perlu memenuhi dua syarat:
- Berakal[3]
Inilah pandangan yang ditarjihkan oleh Dr. Musfir bin ‘Ali al-Qahtani di dalam bukunya Ahkam al-Tazkiah al-Mu’asarah, halaman: 27. Beliau menyebut:
“Yang rajih bahawa disyaratkan berakal untuk tukang sembelih demikian juga mumayyiz. Ini kerana pada sembelihan terdapat sejenis pengibadatan kepada Allah. Dibaca Bismillah, maka sesuatu ibadah mestilah berserta niat. Hal ini tidak akan terjadi melainkan tukang sembelih mestilah seorang yang berakal dan mumayyiz. Demikian juga sembelihan memiliki beberapa syarat, maka tidak mungkin seorang yang tidak berakal dapat memenuhinya. Akan tetapi (ia berbeza) dalam situasi sembelihan dengan alatan automatik, maka individu yang mengaktifkan pisau automatik berada pada kedudukan tukang sembelih dan dia mampu mengucapkan bismillah, melaksanakan Sunnah-sunnah dan tidak menyalahi akidah ketika menggunakan peralatan tersebut. Peralatan itu juga berfungsi dengan kehendak individu yang mengaktifkan alat dan perbuatannya, dia yang menguasai dan mnguruskan peralatan tersebut.”[4]
Kata al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin RH:
“Hendaklah penyembelih dalam kalangan orang yang dapat berniat untuk melakukan sembelihan, iaitulahlah mestilah seorang yang mumayyiz lagi berakal. Tidak halal apa-apa yang disembelih oleh seorang kanak-kanak yang belum mumayyiz demikian juga orang tua yang telah hilang kewarasannya. Tamyiz ialah memahami percakapan dan dapat menjawab soalan dengan betul. Maka tidak halal apa-apa yang disembelih oleh seorang gila, mabuk dan pengidap penyakit Mubarsam (مبرسم)[5] dan seumpamanya disebabkan ketiadaan kemampuan untuk berniat.[6]
Syarat memiliki kehendak melakukan sembelihan ini diambil dari Firman Allah:
إِلَّا مَا ذَكَّيۡتُمۡ
Maksudnya: “…kecuali apa-apa yang sempat kamu sembelih…” (al-Maidah: 3)
Di dalam ayat ini Allah SWT menyandarkan perbuatan sembelihan kepada penyembelih, ia pada zahirnya menunjukkan kepada maksud hendak melakukan sembelihan. Oleh itu sesiapa yang tidak mungkin memiliki maksud dari sesuatu perbuatan, tidak mungkin memiliki kehendak.[7]
- Beragama Samawi, samada seorang muslim atau Ahli Kitab.
Al-Imam Ibn Qudamah berkata: “Kesimpulannya bahawa setiap orang yang boleh sembelih dari kalangan umat Islam dan Ahli Kitab, apabila dia menyembelih, halal memakan sembelihannya, samada dia seorang lelaki, perempuan, sudah baligh atau masih kanak-kanak , merdeka atau hamba. Tidak kami ketahui ada perbezaan dalam persoalan ini.”[8]
Ahli kitab ialah mereka yang dinisbahkan kepada agama Yahudi dan Nasara (Kristian). Adapun orang Islam, apa-apa yang disembelihnya adalah halal, sekalipun orang Islam itu seorang fasiq, ahli bid’ah yang tidak sampai ke tahap menjadi kafir, seorang kanak-kanak yang sudah mumayyiz mahupun seorang perempuan berdasarkan keumuman dalil dan ketiadaan sesuatu yang mengkhususkan (hanya untuk orang lelaki). Kata Ibn Qudamah di dalam al-Mughniy daripada Ibn al-Munzir yang berkata:
أجمع كل من نحفظ عنه من أهل العلم، على إباحة ذبيحة المرأة والصبي. وقد روي أن جارية لكعب بن مال، كانت ترعى غنما بسلع، فأصيبت شاة منها، فأدركتها فذكتها بحجر، فسأل النبي صلى الله عليه وسلم فقال: كلوها
Maksudnya: “Telah Ijmak setiap (ulama) yang kami menghafaz ilmu dari mereka akan keharusan sembelihan seorang perempuan dan kanak-kanak yang mumayyiz.” Beliau juga berkata: “Dan telah diriwayatkan bahawa terdapat seorang jariah (hamba perempuan) milik Kaab bin Malik yang mengembala kambing di Sil’in (kawan bukit di Madinah). lalu salah seekor dari kambing itu ditimpa sesuatu bencana, sihamba itu pula sempat mendapatkan kambing itu (sebelum kambing itu mati) lalu menyembelihnya dengan batu tajam. Perkara itu ditanyakan kepada Nabi SAW. Baginda bersabda: “makanlah sembelihan itu.”[9]
Dalil bolehnya memakan sembelihan Ahl al-Kitab ialah berdasarkan firman Allah SWT:
ٱلۡيَوۡمَ أُحِلَّ لَكُمُ ٱلطَّيِّبَٰتُۖ وَطَعَامُ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ حِلّٞ لَّكُمۡ وَطَعَامُكُمۡ حِلّٞ لَّهُمۡۖ … ٥
Maksudnya: “pada hari ini telah dihalalkan kepada kamu semua perkara-perkara yang baik, dan makanan orang-orang yang diberi Kitab itu juga halal bagimu, dan makanan kamu juga halal buat mereka…” (al-Maidah: 5)
Kalimah الطعام yang ada di dalam ayat diterjemahkan sebagai makanan. Pada asalnya ia adalah kata nama yang merujuk kepada apa-apa yang dimakan dan yang disembelih. (Lihat Tafsir al-Qurtubi)
Selain itu para ulama Salaf tiada yang berbeza yang dimaksudkan dengan الطعام di sini ialah binatang-binatang yang disembelih. Al-Imam al-Bukhari berkata: “Kata Ibn ‘Abbas: “Makanan mereka ialah sembelihan-sembelihan mereka.”[10] perkara ini telah disepakati oleh para ulama dimana sembelihan Ahl al-Kitab adalah halal untuk umat Islam memakannya.
Di dalam Keputusan Fatwa dari Majma’ al-Fiqhi al-Islami al-Dauli. Mesyuarat ke-10, Jeddah Mekah, 23-28 Safar 1418H bersamaan 28/5 – 3/6 1997M dinyatakan:
“Perkara kedua:
Disyaratkan bagi sahnya sesuatu sembelihan ialah:
- Penyembelih hendaklah seorang baligh (cukup umur) atau mumayyiz, seorang muslim atau seorang ahli kitab (Yahudi) atau (Nasrani). Tidak boleh dimakan sembelihan penyembah berhala, orang-orang yang tiada agama, orang-orang ateis, orang-orang majusi, orang-orang murtad dan seluruh orang kafir selain ahli kitab…”
SYARAT KEDUA: Syarat yang berkaitan dengan alat penyembelihan. Terdapat dua syarat:
- Tajam dan dapat memotong dengan ketajamannya, bukan dengan beratnya.
- Bukan gigi dan kuku.
Jika alat yang digunakan untuk sembelihan memiliki dua syarat ini. Maka sembelihan tersebut adalah halal, samada digunakan besi, batu, kayu mahupun kaca berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Rafi’ bin Khadij (رَافِعِ بْنِ خَدِيجٍ) RA yang berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ لَنَا مُدًى[11]فَقَالَ مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ لَيْسَ الظُّفُرَ وَالسِّنَّ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah: “kami tidak memiliki pisau.” Baginda bersabda: “Apa-apa yang menumpahkan darah dengan banyak dan disebut nama Allah ke atasnya, maka makanlah, selagi bukan dengan gigi dan kuku.” (HR al-Bukhari dan Muslim)[12]
Demikian juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ka’ab bin Malik RA daripada bapanya:
أَنَّ امْرَأَةً ذَبَحَتْ شَاةً بِحَجَرٍ فَسُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ فَأَمَرَ بِأَكْلِهَا
Maksudnya: “Bahawa seorang wanita telah menyembelih seekor biri-biri dengan batu (yang tajam), ditanya kepada Rasulullah SAW tentang perkara itu, lalu baginda menyuruh memakan sembelihan itu.”[13]
Di dalam hadis ini Nabi SAW menggunakan perkataan أنهر yang berasal dari perkataan نهر yang bermaksud sungai. Ia bermaksud mengalirkan dan menumpahkan darah dengan banyak, baginda mengumpamakan dengan mengalirnya air di dalam sungai.[14]
Kata Ibn Rusyd:
Maksudnya: “Ulama telah Ijma’ bahawa setiap yang boleh menumpahkan darah dan membelah urat-urat, terdiri dari besi, batu atau kayu, menggunakannya untuk sembelih adalah harus.”[15]
SYARAT KETIGA: Memotong apa-apa yang wajib dipotong ketika sembelihan.
Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang apa yang perlu diputuskan dan sifat pemotongan. Penjelasannya adalah seperti berikut:
- Para ulama bersepakat (Ijma’) bahawa kawasan atau tempat penyembelihan ialah di Halkum atau di Labbah. Tidak boleh dilakukan sembelihan selain dari kawasan ini. Hal ini adalah Ijma’.[16]
Dikususkan sembelihan dilakukan di kawasan ini kerana kedua-duanya merupakan kawasan himpunan urat. Apabila dipotong ia dengan segera menumpahkan darah dengan banyak dan segera mati. Hal ini lebih baik untuk daging yang elok dan lebih memberi keringanan dan tidak menyeksa haiwan. Perkara yang wajib dipotong ketika penyembelihan ada empat:
- Al-Halkum; iaitulah laluan nafas keluar dan masuk.
- Al-Mari’ (المَرِيْء); iaitulah laluan makanan dan minuman, berada di bawah halkum.
- Al-Wadjan (الودجان); Dua urat di dua belah muka tengkuk yang melingkari halkum. Dikatakan juga yang melingkari Mari’. Keempat-empat urat ini dinamakan al-Awdaj al-Arba’ah الأَوْدَاجُ الْأَرْبَعَةُ. Kesemua fuqaha bersepakat sembelihan yang memutuskan dengan sempurna keempat-empat urat ini adalah sembelihan yang halal dimakan. Mereka berbeza pandangan dalam persoalan:
- Jika yang terputus hanya sebahagian. Para ulama berbeza pandangan tentang sembelihan tersebut:
- Mesti memustuskan keempat-empat urat, tidak memadai hanya sebahagian sahaja. Pandangan ini diriwayatkan daripada Imam Malik dan satu riwayat daripada Imam Ahmad[17] berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA yang berkata:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ شَرِيطَةِ الشَّيْطَانِ زَادَ ابْنُ عِيسَى فِي حَدِيثِهِ وَهِيَ الَّتِي تُذْبَحُ فَيُقْطَعُ الْجِلْدُ وَلَا تُفْرَى الْأَوْدَاجُ ثُمَّ تُتْرَكُ حَتَّى تَمُوتَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah melarang sembelihan Syaritah al-Syaitan.” Ibn ‘Isa menambah dalam hadisnya: “iaitulah sembelihan yang mengoyakkan kulit tetapi tidak memutuskan semua urat, kemudian ditinggalkan sehingga mati.” (HR Abu Daud)[18]
- Memadai dengan memutuskan sebahagian urat sahaja. Ini kerana sembelihan yang dilakukan di bahagian yang betul, tidak menjadikan haiwan itu kekal hidup. Maka hal ini sama jika memutuskan keempat-empat urat. Inilah pandangan Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafie, pandangan kedua bagi Imam Malik dan riwayat kedua daripada Imam Ahmad berdasarkan sabda Nabi SAW:مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ Maksudnya: “Apa-apa yang menumpahkan darah dengan banyak dan disebut nama Allah ke atasnya, maka makanlah.” Hadis ini menunjukkan memadai dengan mengalir atau menumpahkan darah. Ia terlaksana dengan memutuskan beberapa urat Awdaj.
Tarjih: Pandangan yang lebih kuat dalam masalah ini ialah pandangan yang kedua iaitulah tidak wajib memutuskan semua urat Awdaj. Sebaliknya memadai sebahagiannya sahaja. Inilah tarjihan yang dilakukan oleh Dr. Musfir bin ‘Ali al-Qahtani, beliau berkata:
“Yang Rajih ialah pandangan kedua. Hadis yang dipegang oleh ulama dalam mensyaratkan mesti dipotong kesemua urat Awdaj, dijawab dengan mengatakan bahawa asal hadis tersebut tiada menyebut urat-urat Awdaj, sebaliknya sebutan urat Awdaj itu adalah huraian dari periwayat hadis. Selain itu dapat dikatakan juga bahawa yang dimaksudkan dengan awdaj di dalam riwayat tersebut ialah sebahagiannya bukan kesemua urat awdaj. Ini kerana huruf “Lam Ta’rif” dalam percakapan orang Arab, kadang-kala boleh memaksudkan sebahagian. Dan dengan pandangan ini terlaksananya kaedah gabungan antara dua hadis.”[19]
- Jika memadai dengan memotong sebahagian urat Awdaj, maka urat yang manakah yang wajib dipotong?
Para ulama berbeza pandangan seperti berikut:
Pandangan Pertama: Memadai memotong tiga urat sahaja tanpa ditetapkan urat manakah yang tiga itu. Ini kerana memotong tiga urat dikira telah memotong kebanyakan urat, maka kaedah menyatakan: Bagi kebanyakan itu mengambil hukum keseluruhan pada apa-apa yang dibina di atas memberi keluasan dalam Usul Syara’. Maka sembelihan dibina di atas memberi keluasan.Inilah pandangan Abu Hanifah.[20]
Pandangan Kedua: Wajib memotong tiga urat tertentu iaitulah: Dua urat Wadjan dan Halqum. Tidak memadai kurang daripada itu. Inilah pandangan yang masyhur daripada Imam Malik. Ini kerana dua urat Wadjan merupakan urat aliran darah. Manakala Halkum pula aliran pernafasan. Maka tidak memadai memotong dua wadjan dengan meninggalkan urat Halqum. Dengan memotong selain dari Halqum tidak terhasil maksud yang dikehendaki.
Pandangan Ketiga: Wajin memotong tiga urat tertentu iaitulah: al-Mari’ yang merupakah saluran makanan, Halqum yang merupakan saluran pernafasan dan salah satu urat Wadjan. Dimana urat Wadjan merupakan urat saluran darah, apabila dipotong salah satu daripadanya, terhasillah maksud memotong kedua-duanya.
Pandangan Keempat: Wajib memotong dua urat yang tertentu iaitulah: al-Mari’ dan Halqum. Inilah pandangan al-Sahih al-Mansus ‘Alaih dari mazhab al-Syafi’iyyah, juga mazhab al-Hanabilah kerana telah berhasil maksud sembelihan dan hilangnya nyawa dengan terpotong kedua-dua urat ini.
Tarjih:
Dr. Musfir bin ‘Ali al-Qahtani, ketika melakukan tarjihan berkata:
“Dan yang rajih dari pandangan-pandangan ini berdasarkan dalil-dalil yang ada ialah pandangan pertama, iaitulah wajib memotong tiga urat tanpa ditentukan urat yang mana satu. Dimana mestilah tiga urat ini ialah dua urat Wadjan bersama dengan Halqum ataupun dua urat Wajdan bersama dengan al-Mari’. Atau salah satu urat wadjan bersama dengan halqum dan al-Mari’. Dengan ini terhasilnya tumpahan darah, kerehatan kepada binatang sembelihan dan dengan pantas keluarnya nyawa. Inilah maksud yang dikehendaki dari sembelihan. Ini kerana, dua urat wadjan ialah saluran darah. Maka memotong kedua-duanya atau salah satunya lebih sempurna berbanding memotong tanpa kedua-duanya untuk menumpahkan darah. Maka mewajibkan memotong dua urat wadjan seperti pandangan kedua tiada keperluan, kerana telah terhasil dengan memotong salah satunya apa-apa yang dihasilkan dengan memotong kedua-duanya terdiri dari keluarnya darah. Demikian juga mewajibkan memotong Mari’ dan Halqum seperti dalam pandangan ketiga tiada dalilnya dari satu sudut. Dari sudut yang lain pula ia tiada keperluan. Ini kerana maksud yang dikehendaki dari sembelihan ialah memberi kerehatan kepada haiwan dan memperelokkan dagingnya dengan keluarnya darah yang kotor. Hal ini terhasil dengan memotong salah satu samada halqum atau Mari’ bersama dengan kedua-dua urat wadjan atau memotong samada halqum dan Mari’ bersama salah satu urat wadjan. Selain itu, memadai memotong urat Mari’ dan Halqum seperti pandangan keempat, mengurangkan pemotongan walau salah satu urat wadjan yang merupakan saluran perjalanan darah – sedangkan keluarnya darah lebih tercapai dengan terpotong kedua-dua atau salah satu urat wadjan berbanding memotong Halqum dan Mari’ sahaja. Mengeluarkan darah itu adalah maksud atau tujuan sembelihan yang paling besar. Wallahu a’lam.”[21]
SYARAT KEEMPAT: Menyebut nama Allah atau membaca Basmalah untuk sembelihan. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) Yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya. dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) Yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa Yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa Yang kamu terpaksa memakannya? dan Sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan Dengan hawa nafsu mereka Dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang melampaui batas.dan tinggalkanlah kamu dosa Yang nyata dan Yang tersembunyi. kerana Sesungguhnya orang-orang Yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas Dengan apa Yang mereka telah lakukan. dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) Yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana Sesungguhnya Yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa); dan Sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan Yang haram itu), Sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.” (al-An’am: 118-121)
Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan para hambaNya yang beriman memakan haiwan-haiwan sembelihan yang disebut nama Allah SWT. Ayat ini memberi faham tidak dibenarkan memakan haiwan sembelihan yang tidak disebut nama Allah. Setelah itu Allah menggalakkan memakan sembelihan yang disebut nama Allah di dalam firmanNya:
Maksudnya: “dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) Yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa Yang diharamkanNya atas kamu,” (al-An’am: 119)
Ayat ini dengan jelas menerangkan pensyariatan menyebut nama Allah ke atas sembelihan. Hal ini telah disepakati oleh para ulama.[22] Ijma’ disyariatkan ini berlegar diantara apakah hukkumnya sunat ataupun wajib. Di bawah ini dinyatakan perbezaan pendapat di kalangan ulama, Terdapat tiga pandangan ulama
Pandangan Pertama: Wajib menyebut nama Allah (membaca Basmalah) untuk sembelihan secara mutlak. Tidak dihalalkan tanpa membacanya. Inilah pandangan sekumpulan ulama dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. Pandangan ini juga menjadi pilihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH.
Pandangan Kedua: Wajib ketika ingat, jika terlupa tidak mengapa. Maka diharuskan apa-apa yang disembelih tanpa menyebut nama Allah ke atasnya kerana terlupa bukan disengajakan. Inilah pandangan para ulama mazhab Hanafi, Maliki dan yang masyhur di dalam mazhab Ahmad.
Pandangan Ketiga: Sunat secara mutlak dan ia bukanlah menjadi satu syarat. Inilah pandangan para ulama dari mazhab al-Imam al-Syafie dan satu riwayat daripada Imam Ahmad.
Tarjih: Kata Dr. Musfir bin ‘Ali al-Qahtani:
“Dan yang rajah, Wallahu a’lam adalah pandangan majoriti ulama dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, Mazhab Malik, dan yang masyhur di sisi para ulama mazhab Hambali iaitulah menyebut nama Allah atau membaca basmalah adalah wajib ketika ingat berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: “dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) Yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana Sesungguhnya Yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa);” (al-An’am: 121)
Jika tidak membaca Basmalah kerana terlupa, tidak mengapa memakan sembelihan tersebut berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau kenakan hukuman kepada kami jika kami terlupa atau tersalah.” (al-Baqarah: 286)
Demikian juga berdasarkan sabda Nabi SAW:
إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَتِيْ الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوْا عَلَيْهِ
Maksudya: “Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku kesalahan yang dilakukan kerana tersilap dan terlupa.”[23]
Adapun jika telah disembelih tanpa menyebut nama Allah, maka tidak boleh memakan sembelihan tersebut. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang Yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang Yang disembelih kerana Yang lain dari Allah,” (al-Maidah: 3)
---------------------------------------------
[1] Kecuali Ikan dan Belalang.
[2] Lihat al-Majmu’ oleh al-Nawawi dan al-Syarh al-Kabir oleh Ibn Qudamah
[3] Inilah pandangan yang dinyatakan oleh para ulama Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali (al-Mubdi’ Syarh al-MUqni’ oleh Ibn Muflih 9/188, Bada’I’ al-Sona’I’ oleh al-Kasani 5/45). Hal ini demikian kerana penyembelihan memerlukan maksud dan tujuan sebagai satu ibadah. Justeru orang yang tidak berakal tidak sah sembelihannya seperti seorang budak yang belum mumayyiz, atau orang gila, orang mabuk dan seumpamanya. Namum yang Azhar di sisi ulama Mazhab al-Syafie ialah tukang sembelih tidak disyaratkan berakal. Maka halal sembelihan kanak-kanak yang belum mumayyiz, orang gila dan orang mabuk, kerana mereka semua pada dasarnya memiliki kehendak dalam melakukan sesuatu perbuatan. Cuma dihukumkan sebagai makruh kerana bimbang mereka menyembelihnya di tempat lain, bukan di tempat sembelihan yang sebenarnya. (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin ‘Ala al-Durr al-Mukhtar 5/188. Nihayah al-Muhtaj 8/106 dan al-Mughniy 8/581)
[4]Ahkam al-Tazkiah al-Mu’asarah, Halaman: 27.
[5] Mubarsam ialah orang yang mengidap penyakit al-Birsam (البرسام). Kata Imam al-Nawawi RH: “Dan adapun al-Birsam iaitulah dengan kasrah huruf Ba’ ia adalah sejenis (penyakit) kecacatan akal, diitlakkan kepada (penyakit) kebengkakan kepala dan dada. Asalnya kalimah luar yang dijadikan kalimah Arab, asalnya dari bahasa Suryaniah.” (al-Minhaj 11/156)
[6] Ibn ‘Uthaimin, Ahkam al-‘Udhiyyah Wa al-Zakah 56
[7] Lihat Ibid, 56
[8] Al-Mughni oleh Ibn Qudamah 11/55
[9] Al-Mughniy: 7/321.
[10] Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah oleh Ibn al-Qayyim 1/502. Athar ini diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya secara ta’lik. Namun dikeluarkan secara bersambung sanadnya oleh al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra 9/282, Kitab al-Dhahaya – Bab Ma Ja’a Fi To’aam Ahl al-Kitab. Kata al-Albani: Sahih. Lihat al-Irwa’: 2528.
[11]مُدًىkata plural untukمُدْيَةiaitulah pisau. Dinamakan مدى kerana ia menamatkan umur haiwan. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani 12/457-458)
[12] Sahih al-Bukhari – Kitab al-Syarikah – Bab Qasmah al-Ghanam. Muslim – Kitab al-Adhahi – Bab Jawaz al-Zabh Bi Kulli Ma Anhara al-Dam Illa al-Sin Wa al-Zufur.
[13] Sahih al-Bukhari beserta Fath al-Bari – Kitab Zaba’ih wa al-Said – Bab Zabihah al-Mar’ah Wa al-Amah. Hadis bilangan 5185.
[14] Bidayah al-Mujtahid wa NIhayah al-Muqtasid oleh Ibn Rushd 1/445
[15] Bidayah al-Mujtahid wa NIhayah al-Muqtasid oleh Ibn Rushd 1/447
[16] Lihat al-Majmu’ oleh al-Nawawi 9/99. Juga Bada’I’ al-Sona’I’ oleh al-Kasani 5/41
[17] Lihat Bidayah al-Mujtahid Wa Nihayah al-Muqtasid 1/445
[18] Kata al-Munziri: “Dalam Isnadnya terdapat periwayat bernama ‘Amr bin ‘Abdillah al-San’aniy, beliau dinamakan sebagai ‘Amr bin Barraq. Telah membincangkan tentang beliau ini ramai dari kalangan ulama.”Lihat ‘Aun al-Ma’bud – Kitab al-Dhohaya – Bab Fi al-Mubalaghah Fi Zabh. Hadis bilangan 2826. Al-SYeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani menghukum hadis ini sebagai Dhoief (Lemah) di dalam Dhoief Abi Daud 491 dan di dalam Irwa’ al-Ghalil 2531. Selain itu ungkapan: “iaitulah sembelihan yang mengoyakkan kulit tetapi tidak memutuskan semua urat, kemudian ditinggalkan sehingga mati” adalah huraian dari perawi atau periwayat hadis bukan dari perkataan Nabi SAW. Ini kerana dahulunya masyarakat ‘Arab Jahiliyyah ketika sembelihan hanya memotong sebahagian halqum haiwan, setelah itu mereka membiarkannya sehingga mati. (lihat Ahkam al-Tazkiah al-Mu’asarah, 297.
[19] Lihat Ahkam al-Tazkiah al-Mu’asarah, 30.
[20] Lihat Bada’I’ al-Sona’I’ Fi Tartib al-Syara’I’, 5/43 oleh Abu Bakr Mas’ud bin Ahmad al-Kasaniy. Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1406H/1986M.
[21] Lihat Ahkam al-Tazkiah al-Mu’asarah 299-300.
[22] Lihat Nail al-Awthor oleh al-Syaukani 8/103
[23] Dikeluarkan oleh Ibn Majah di dalam Sunannya. Kata al-Albani: Sahih.