Soalan dari Arsyad Khalid yang bertanya: “Apa hukum menyebarkan gambar atau video yang mempunyai muka atau tubuh badan mangsa kemalangan maut atau mangsa bunuh atau kes bunuh diri di media social?”
Jawapan:
Perbuatan ini tidak boleh dilakukan, perbuatan menyebar gambar video orang yang kemalangan sama ada orang yang telah meninggal dunia, mangsa bunuh dan dalam kes bunuh dan seumpamanya disebarkan di media social, perkara ini adalah perkara yang tertegah, perkara ini perkara yang ditegah, perkara ini termasuk dalam perbuatan yang haram kerana termasuk di dalam perbuatan mencemarkan kemuliaan seseorang manusia.
Cuba kita tanya pada diri kita, kalau kita yang ditimpa kemalangan orang ambil gambar kita kemudian orang sebarkan di media social, kita setuju atau tak setuju, kita rela ataupun tidak? Jika kita tidak rela maka bagaimana mungkin kita boleh melakukan hal yang sama kepada orang lain? Kerana itu perbuatan menyebar gambar bersama dengan muka mangsa-mangsa kemalangan, mangsa-mangsa kematian, sama ada dibunuh atau lainnyadi media social, perbuatan itu adalah ditegah dalam agama dan termasuk di dalam perbuatan yang haram. Kerana itu jika kita tengak ada berlaku kes kematian termasuk di dalam sunnah Nabi sallallahu alaihi wasallam untuk kita menyelimutkan jenazah dengan apa-apa yang ada, menutup muka dia atau seumpamanya. Kerana itu termasuk di dalam sunnah, orang yang meninggal dunia, kita menyelimutkan dia demikianlah yang dilakukan kepada jenazah Rasulullah seperti yang disebut di dalam hadis:
سجي ببرد حبرة
Maksudnya: “Jenazah Baginda diselimutkan dengan kain Burdah hibarah.”
Nabi diselimutkan, ketika baginda wafat, diselimutkan dengan kain burdah. Hadis ini menunjukkan orang meninggal dunia tidak disebarkan gambar dia, sama ada dia meninggal secara biasa mahupun meninggal secara kemalangan. Demikian juga orang yang terbabit dengan kemalangan, sekalipun dia masih hidup, kita tidak boleh menyebarkan gambar dia kerana perbuatan itu mencemar ataupun menceroboh hak peribadi ataupun privasi seseorang. Apa yang berlaku di jalan raya, sekadar orang yang berada sekitar itu sahaja. Siapa yang mampu membantu dia bantu. Bukan untuk mengambil kesempatan untuk mendapat like yang banyak di Facebook dan seumpamanya. Perkara ini adalah ditegah dalam agama.