Bacaan Dari al-Mufassal Fi Ahkam al-Mar'ah Wa Bait al-Muslim (2)

Ketujuh: Babi dan Anjing

‘Ain babi adalah najis. Haram menggunakan bulunya dan seluruh bahagian anggotanya. Adapun berkaitan dengan anjing sebahagian ulama berpandangan ainnya najis. Manakala sebahagian ulama lain berpandangan ain anjing tidak najis. Ia sama seperti haiwan-haiwan lain yang tidak boleh dimakan dagingnya selain babi.

Kelapan: Haiwan yang tidak boleh dimakan dagingnya sekalipiun disembelih.

Haiwan-haiwan yang diharamkan memakan dagingnya, sekalipun disembelih ia kekal diharamkan dan ia najis. Dalil dalam perkara ini ialah hadis Anas bin Malik RA yang berkata:

“Kami memperolehi daging kaldai pada hari peperangan Khaibar. Tiba-tiba wakil Rasulullah SAW menyeru dengan berkata: “Sesungguhnya Allah dan Rasul melarang kamu semua dari memakan daging kaldai kerana ia rujsun atau najisun (najis).”

 

Kesembilan: Air lebihan minuman (سؤر / أسآر)

  1. Air lebihan yang diminum oleh manusia adalah suci, sama ia seorang muslim atau kafir di sisi kebanyakan para ulama (عامة أهل العلم).
  2. Air lebihan yang diminum oleh haiwan yang halal dagingnya adalah suci. Perkara ini termasuk dalam perkara yang telah berlaku Boleh bersuci dengan air lebihan tersebut seperti untuk berwudhu.
  3. Air lebihan yang diminum oleh kucing (السِّنَّور) dan seumpamanya dengannya seperti tikus adalah suci dan harus menggunakannya seperti untuk berwudhu tanpa ada hukum makruh. Inilah pandangan kebanyakan ulama dari kalangan para sahabat dan tabi‘ien. Di dalam hadis Nabi SAW, ‘Aisyah RA mengatakan baginda SAW bersabda tentang kucing:

 إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنْ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing tidak najis, ia adalah haiwan yang sering berlegar sekeliling kamu semua.” Seterusnya beliau menyambung:

 رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ بِفَضْلِهَا

Maksudnya: “Aku pernah melihat Rasulullah SAW berwudhu dengan lebihan air minum kucing.” (HR al-Arba‘ah dan dinilai Sahih oleh al-Tirmizi dan Ibn Khuzaimah)

  1. Air lebihan yang diminum oleh anjing dan babi adalah najis. Inilah pandangan mazhab Hambali, Syafi‘ie dan Abu Hanifah. Manakala Malik, al-Auza‘ie dan Daud al-Zahiri berpandangan air lebihan yang diminum oleh anjing dan babi adalah suci. Boleh digunakan untuk berwudhu dan minum. Jika kedua-duanya menjilat makanan, tidak diharamkan memakannya.[1]
  2. Air lebihan yang diminum oleh binatang buas[2] termasuk burung yang memburu, kaldai dan baghal. Maka air lebihan yang diminum oleh kumpulan binatang ini adalah najis sepertimana yang diriwayatkan daripada al-Imam Ahmad bin Hanbal yang berkata tentang baghal dan kaldai:

إذا لَمْ يَجِدْ غَيْرَ سُؤْرِهِما، تَيَمَّمَ

Maksudnya:  “Apabila tidak didapati (air) selain air lebihan yang diminum baghal dan kaldai, maka lakukan tayamum.”

            Sebahagian ulama lain berkata: “Tidak mengapa dengan air lebihan minuman binatang buas. Ini kerana ‘Umar bin al-Khattab RA pernah berkata tentang binatang buas:

تَرِدُ عَلَيْنا ونَرِدُ عَلَيْها

Maksudnya: “Binatang buas mendatangi air lebihan yang kita dan kita mendatangi air lebihan binatang buas.”

            Ada diriwayatkan juga bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang bersuci dari takungan-takungan air yang berada di antara Mekah dan Madinah yang didatangi oleh binatang-binatang buas, anjing dan kaldai. Baginda SAW menjawab:

لَها ما حَمَلَتْ فِي بُطُونِها، ولَنا ما غَبَرَ طَهُورٌ

Maksudnya: “Untuk binatang-binatang buas itu apa yang diminumnya, dan untuk kita apa-apa yang berbaki adalah suci dan menyucikan.” Kerana sekumpulan ulama telah memberi keringanan menggunakan air lebihan yang diminum oleh binatang buas. Antara mereka seperti al-Hasan, ‘Atha’, al-Zuhri, Yahya al-Ansari, Rabi‘ah, Malik, Syafi‘ie dan selainnya.

---------------------------------------- 

[1] Lihat al-Mufassal oleh Dr. ‘Abd al-Kariz Zaidan 130

[2] Kecuali kucing dan haiwan yang lebih kecil darinya.


Cetak  
Wallahu a'lam