Kata al-Syeikh Idris al-Marbawi di dalam Bahrul Mazi nukilan dari perkataan al-Imam al-Nawawi RH:
“Dengan hadis yang di dalam masalah 335 itulah menunjukkan zahir bagi mazhab Syafie dan lainnya RA daripada mereka yang berkata dengan najis anjing itu kerana bahawa taharah itu adalah ia daripada hadas atau najis. maka pada bejana di sini tiada ada hadas padanya maka ta’yinlah najis.”
Hadis yang syeikh Idris al-Marbawi letak pada bilangan 335 yang kita baca ini. Iaitulah Nabi SAW memerintahkan:
إذا ولغ الكلب في إناء أحدكم، فليغسله سبع مرات أولاهن بالتراب
Maksudnya: “Apabila seekor anjing menjilat bekas seseorang daripada kamu, maka hendaklah bekas itu dicuci sebanyak tujuh kali, yang pertamanya dengan air beserta tanah.”
Jadi berdasarkan hadis ini, al-Imam al-Nawawi berkata, zahir hadis ini menunjukkan najisnya anjing. Sebab apa? Kerana perintah taharah atau bersuci ada dua sebab. Sama ada perkara itu berkaitan dengan hadas atau perkara itu najis. Dua ini sahaja sebab datangnya perintah bersuci, sama ada disebabkan hadas atau najis. tetapi sekarang, Nabi SAW berkata “basuhlah bekas yang dijilat anjing itu tujuh kali.”
Persoalannya bekas itu ada hadas kah? Jawapannya, tak ada hukum hadas pada bekas. Maka mesti kita faham, perintah basuh itu menunjukkan jilatan anjing itu najis, kerana bekas tiada hukum hadas. Yang ada hanya dapat difahami ia membawa maksud najis, iaitulah berlaku perpindahan najis daripada anjing kepada bekas dengan jilatan yang berlaku. Maka perintah membasuh bekas adalah dalil dan bukti bagi menunjukkan anjing itu adalah najis.