Setiap Amalan Menurut Niat (الأعمال بالنيات)
Huraian Kaedah
Amalan yang dimaksudkan di sini merangkumi perkataan dan perbuatan. Niat pula bermaksud kehendak, ia merangkumi keazaman, tujuan dan keinginan terhadap sesuatu. Kaedah ini membawa maksud bahawa, setiap amalan mukallaf samada perkataan atau perbuatan hanya berhak memperolehi pahala berdasarkan niat dan tujuannya. Oleh itu dari sudut hukum, sesuatu amalan adalah berupa gadaian dengan niat yang kadang-kala mendorong amalan itu dilakukan bertepatan dengan syara’ iaitulah ikhlas, dan kadang-kala mendorong sesuatu amalan itu dilakukan bertentangan dengan syara’. Jika disebutkan niat secara itlaq oleh para fuqaha’, ia memaksudkan kepada maksud ini terutamanya dalam bab ibadat. Kerana itu para fuqaha’ mensyaratkan bagi sahnya sesuatu amalan keseluruhannya mestilah ia memiliki niat yang ikhlas kepada Allah SWT. Manakala niat yang bertentangan dengan kehendak syarak membatalkan niat yang dikehendaki oleh syara’ dan dijadikan syarat penerimaan. Justeru niat seseorang mukallaf memberi kesan kepada amalan yang dilakukannya. Niat pada nisbah amalan sama seperti ruh bagi jasad.
Kaedah ini menyatakan bahawa niat dan tujuan seseorang mukallaf menjadi ukuran dalam menetapkan hukum bagi sesuatu amalan yang dilakukan dan menjadi penentu balasan pahala atau dosa untuknya. Oleh yang demikian niat seseorang mukallaf wajib bertepatan dengan kehendak syara’. Ini kerana jika niat tersebut bertentangan dengan kehendak syara’, ia akan membatalkan amalan kerana niat yang salah itu telah membatalkan niat yang dituntut supaya bertepatan dengan kehendak syara’.
Para Fuqaha’ telah membahagikan niat dari sudut peranan dan tujuannya kepada 2 bahagian:
1. Niat pembeza (نية التمييز) dalam perkara-perkara ibadah dan yang semaknanya. Ia terbahagi kepada 2 keadaan:
i. Membezakan antara ibadat dengan adat. Contohnya puasa barangkali dilakukan dengan niat mentaati perintah Allah. Barangkali juga dilakukan bagi tujuan menjaga kesihatan. Demikian juga dengan toharah. Barangkali dilakukan bagi tujuan bersiap untuk solat dan mematuhi perintah Allah dan barangkali juga dilakukan bagi tujuan semata-mata membasuh atau menyejuk dan menyegarkan badan.
ii. Membezakan antara sesuatu ibadat dengan ibadah yang lain seperti membezakan ibadah fardhu dengan ibadah sunat. Demikian juga membezakan ibadat fardhu tertentu dengan fardhu yang lain seperti membezakan solat zohor dengan solat Asar.
Bagi kedua-dua keadaan ini, jika niat itu berada pada kedudukan sebagai pembeza, maka niat itu tidak diperlukan. Para fuqaha’ telah meletakkan satu kaedah yang berbunyi:
لَا نِيَّةَ فِيْ مُتَعَيِّنٍ
Maksudnya: “Tidak perlu niat pada perkara yang jelas.”
Namun tidak dinafikan kadang-kala niat ibadat juga memasuki bahagian ini apabila seseorang mukallaf melakukan sesuatu amalan dalam bahagian ini bagi tujuan mendapatkan pahala.
2. Niat beribadat (نية التقرّب). Iaitulah seseorang mukallaf melakukan sesuatu amalan dengan niat mentaati Allah dan mengharapkan keredhaanNya. Kedudukannya adalah untuk semua amalan seseorang mukallaf terdiri daripada ibadat, adat mahupun muamalat. Di mana seseorang mukallaf itu tidak akan diberi pahala melainkan jika diniatkan untuk beribadat atau mendekatkan diri kepada Allah sepertimana yang dinyatakan di dalam kaedah yang berbunyi:
لَا ثَوَابَ إِلَّا بِالنِّيَّةِ
Maksudnya: “Tiada pahala melainkan berdasarkan niat.”
Kaedah yang lebih khusus lagi iaitulah:
لَا عِبَادَةَ إِلَّا بِالنِّيَّة
Maksudnya: “Tiada (dikira) satu ibadah melainkan berdasarkan niat.”
Adapun perkara-perkara yang berkaitan adat dan muamalat, jika digandingkan perlakuannya dengan niat beribadah atau mendekatkan diri kepada Allah, maka kesemuanya dikira sebagai ibadah dan diberi pahala ke atas pelakunya sepertimana yang dibuktikan melalui kaedah yang berbunyi:
اَلْعَادَاتُ تَنْقَلِبُ عِبَادَاتٌ بِالنِّيَّاتِ الصَّالِحَاتِ
Maksudnya: “Perkara-perkara adat akan berpindah menjadi ibadat berdasarkan niat yang betul.”
Niat beribadat pula kadang-kala diberi pahala hanya kerana niat tersebut, jika wujud keuzuran dan melaksanakan amalan yang diniat hendak dilakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Inilah yang dinyatakan di dalam kaedah yang berbunyi:
نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ
Maksudnya: “Niat seorang yang beriman lebih baik dari amalannya.” Ini menunjukkan niat (keazaman) melakukan sesuatu maksiat juga akan dikira sebagai berdosa, dengan perincian yang menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Kaedah menyebut:
اَلْعَزْمُ عَلَى الشَّيِءِ هَلْ يَكُوْنُ بِمَنْزِلَةِ ذَلِكَ الشَّيْء
Maksudnya: “Keazaman (niat) melakukan sesuatu perkara, apakah dikira sama dengan perkara yang diniatkan itu?”
Syarat Niat
1. Tahu apa yang diniatkan. Niat tidak akan berfungsi pada perkara-perkara yang tidak diketahui. Di dalam kaedah dinyatakan:
النية تتبع العلم
Maksudnya: “Niat itu menuruti ilmu.”
2. Perbuatan mengiringi niat atau niat itu mendahului perbuatan dalam tempoh yang sedikit. Di dalam kaedah dinyatakan:
الأصل مقارنة النية للفعل أو تقدمها عليه بزمن يسير
Maksudnya: “Asalnya adalah beriringan niat bagi perbuatan atau mendahuluui niat atau perbuatan dalam tempoh yang seketika.”
3. Niat tidak disertai dengan perasaan berbelah-bahagi. Melainkan jika niat itu disokong dengan sesuatu asas yang mu’tabar di sisi syara’, maka ketika itu perasaan berbelah-bahagi tidak memberi kesan. Di dalam kaedah dinyatakan:
النية لا تصح مع التردد
Maksudnya: “Niat tidak sah jika disertai dengan perasaan berbelah-bahagi.”
4. Niat tidak didahului paksaan. Ini kerana niat adalah kehendak dan tujuan. Ia menuntut pilihan dan menafikan paksaan. Di dalam kaedah dinyatakan:
الإكراه يسقط أثر التصرف فعلا كان أم قولا
Maksudnya: “Paksaan menggugurkan kesan perbuatan mahupun perkataan.”
5. Niat berterusan pada kedudukannya tanpa ada pemutus atau pembatalnya dengan sesuatu niat lain yang bertentangan dengan niat asal. Sesiapa yang pada pagi hari Ramadhan berazam untuk berbuka puasa, maka batal puasanya pada hari tersebut sekalipun dia tidak makan dan minum. Kaedah menyatakan:
الواجب استصحاب حكم النية دون حقيقتها
Maksudnya: “Yang wajib adalah mengekalkan hukum niat selain hakikatnya.”
6. Perkara yang diniatkan (المنوي) mestilah perkara yang mungkin diniatkan. Jika perkara yang diniatkan itu tidak memungkinkan dilakukan, seperti kecenderongan niat untuk masa yang telah lalu, atau meletakkan niat ke atas perbuatan orang lain atau seumpamanya yang termasuk dalam kaedah:
لا نية فيما هي فيه ممتنعة
Maksudnya: “Tiada niat pada perkara yang niat itu padanya terhalang.”
Oleh itu kaedah “Setiap amalan menurut niat-niatnya” adalah kaedah yang telah disepakati oleh para fuqaha yang berlegar padanya kebanyakan furu’ agama. Kaedah ini dinyatakan di dalam hadis Sahih. Imam al-Suyuthi telah menukilkan dari para imam fiqh yang menyatakan kaedah ini menrangkumi satu pertiga ilmu. Imam al-Baihaqi menerangkan maksud 1/3 ilmu itu dari sudut perbuatan seseorang hamba. Dimana sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang hamba semestinya mengandungi niat di dalam jantung hatinya, ungkapan pada lidahnya dan perlaksanaan dengan anggota badannya. Maka niat salah satu dari tiga perkara ini dan adalah yang terpenting. Para ulama hadis pula berpandangan hadis yang menyatakan tenrang kaedah ini adalah salah satu dari tiga hadis utama yang terbina di atasnya usul Islam. Namun dalam kalangan mereka ada perbezaan pendapat apakah baki 2 hadis lain.
Dalil Kaedah
1. Firman Allah SWT:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
Maksudnya: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya…” (al-Bayyinah: 5)
2. Firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ
Maksudnya: “…Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya.” (alZumar: 2)
Ikhlas yang dimaksudkan di dalam ayat-ayatt al-Quran ini adalah seperti yang telah dijelaskan sebelum ini iaitulah niat. Sesuatu ibadah tidak diambil kira pada bentuk dan rupanya. Sebaliknya yang dikira adalah niat atau keikhlasan dan benar maksudnya kepada Allah Taala dan mengharapkan keredhaanNya. Ayat-ayat al-Quran ini membawa maksud: “Kamu semua adalah diperintahkan melakukan ibadah dengan ikhlas.” Kata Imam Ibn Hazm tentang ayat al-Quran ini:
فأمرنا بشيئين كما ترى: العبادة وهي العمل, والإخلاص وهو النية, فلا يجزئ أحدهما دون الآخر
Maksudnya: “Maka kita diperintah dengan dua perkara seperti yang anda perhatikan: Ibadah iaitulah amalan dan ikhlas iaitulah niat. Tidak memadai salah satunya tanpa yang satu lagi.”
3. Firman Allah SWT:
عِندَهُ مِن نِّعْمَةٍ تُجْزَىٰ (19) إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الْأَعْلَىٰ (20) وَلَسَوْفَ يَرْضَىٰ
Maksudnya: “Padahal tidak ada seseorangpun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, 20. tetapi (dia memberikan itu semata-mata) karena mencari keridhaan Tuhannya yang Maha tinggi. 21. dan kelak Dia benar-benar mendapat kepuasan.” (al-Lail: 19-21)
Ayat ini menerangkan infaq yang layak dianugerahkan pahala adalah infaq yang dilakukan kerana mengharapkan keredhaan Allah. Selain ayat-ayat ini, demikian juga ayat-ayat dari surah al-Nisa: 100, 114 dan al-Fath: 18 yang kesemuanya menunjukkan niat penentu balasan diberikan di atas sesuatu amalan yang dilakukan dan amalan dinilai berdasarkan niat.
4. Hadis daripada ‘Umar bin al-Khattab RA, Nabi SAW bersabda:
إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته إلى دنيا يصيبها أو إلى امرأة يتزوجها فهجرته إلى ما هاجر إليه
Maksudnya: “Hanyasanya setiap amalan itu berdasarkan niat-niatnya, dan hanya bagi setiap orang apa-apa yang dia niatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya akan memperolehi Allah dan Rasulnya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang hendak dimilikinya atau perempuan yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya adalah kerana apa-apa yang dihijrahkan.”
5. Hadis daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda:
لا عمل لمن لا نية له, ولا أجر لمن لا حسبة له
Maksudnya: “Tiada amalan bagi sesiapa yang tiada niat baginya, dan tiada pahala bagi sesiapa yang tidak mengharapkannya.”
6. Hadis daripada ‘Ubadah bin al-Somit, daripada Nabi SAW yang bersabda:
من غزا في سبيل الله ولم ينو إلا عقالًا فله ما نوىه
Maksudnya: “Sesiapa yang berperang pada jalan Allah, tiada yang diniatkannya melainkan untuk mendapatkan ‘Iqal (sebahagian dari harta rampasan), maka baginya apa yang dia niatkan.”
7. Hadis Jabir RA daripada Nabi SAW yang bersabda:
يحشر الناس على نياتهم
Maksudnya: “DIbangkitkan manusia menurut niat-niat mereka.”
Semua hadis ini menunjukkan niat adalah timbangan amalan, ia menjadi asas sesuatu amalan samada diterima atau ditolak, diberi pahala atau dikira berdosa.
Tatbiq Kaedah
1. Tidak boleh gopoh menghukum kafir atau murtad akan sesuatu perbuatan samada perkataan atau amalan yang memiliki kesamaran. Melainkan jika perkataan atau perbuatan kafir itu dilakukan dengan sengaja atau dengan niat dan maksud. Sipelakunya pula sedia mengetahui perkataan dan perbuatan tersebut adalah suatu kekufuran. Sebagai contoh: Sesiapa yang rukuk kepada selain Allah. Boleh jadi perbuatan tersebut dilakukan dengan niat beribadat kepada selain Allah, maka ia adalah satu kekufuran. Boleh jadi juga ia dilakukan dengan niat pengagungan sahaja, maka ia bukan satu kekufuran, bukan juga satu kemurtadan.
2. Basuhan anggota wudhu bagi tujuan menyejukkan badan tidak dikira sebagai satu ibadah dan wudhu. Demikian juga menahan diri dari makan dan minum bagi tujuan menjaga kesihatan tidak dikira sebagai ibadah dan puasa. Sama halnya dengan semua ibadah lain, tidak dikira sebagai ibadah melainkan mesti diniatkan kerana Allah SWT. Iaitulah dilakukan kerana mentaati perintah Allah dan mendekatkan diri kepadaNya.
3. Sesiapa yang mengelilingi kaabah bukan bertujuan melaksanakan amalan haji atau umrah. Tawafnya itu tidak dikira sebagai tawaf haji mahupun umrah. Demikian juga sa’ie antara Safa dan Marwah tidak dikira melainkan apabila disertai dengan niat untuk haji atau umrah.
4. Jika seorang pemburu melepaskan alat buruannya bagi memburu seseekor binatang buruan. Tiba-tiba alat buruannya itu kena pada binatang yang lain. Maka binatang itu tidak boleh dimakan. Ini kerana sembelihan memerlukan niat, maka ia wajib dita’yinkan niatnya.
5. Seorang suami yang menyetubuhi isterinya, sekalipun pada asalnya adalah bertujuan melempiaskan syahwat. Akan tetapi jika disertai niat bagi menjauhkan yang haram dan mengharap dikurniakan anak bagi meramaikan umat Islam. Maka mereka berdua berhak memperoleh pahala dari sisi Allah SWT.
6. Wanita yang dalam tempoh berkabung kerana kematian suami, bercelak kerana merawat matanya adalah dibolehkan. Ini kerana celak yang dikenakan itu adalah bagi tujuan perubatan bukan bertujuan berwangi-wangian.
7. Tidak boleh pemilik kebun anggur menjual anggurnya bagi tujuan dibuat arak.
8. Seseorang penjenayah dilihat apakah jenayah yang dilakukannya itu dengan sengaja atau niat. Jika jenayah yang berlaku secara tidak sengaja dan bukan dengan niat. Maka kesalahan yang dilakukan secara tidak sengaja dan bukan dengan niat adalah lebih ringan berbanding jenayah yang dilakukan dengan niat adalah lebih berat.
9. Perkataan yang diucapkan ketika mabuk tidak memberi kesan sama seperti perkataan seorang gila. Ini kerana seorang yang mabuk, sekalipun perbuatannya meminum arak itu satu dosa namun dia tidak menyedari apa-apa yang dicakapkannya. Oleh yang demikian percakapan yang dilontarkannya bukan dengan maksud dan tujuan yang sebenarnya.
Pengecualian
1. Seorang mabuk yang melafazkan akad nikah, talak dan rujuk adalah terlaksana, Ia dikira seperti seorang yang mengangkapkannya secara bersungguh dan dengan niat, sekalipun ketika itu dia mabuk, atau mendakwa dia mengungkapkannya secara bergurau. Pengecualian ini berdalilkan hadis Nabi SAW:
ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والرجعة
Maksudnya: “Tiga perkara jika bersungguh ia dikira bersungguh, jika bergurau ia tetap dikira bersunggu: Nikah, Talak dan Ruju’.”
2. Jual-beli yang dilakukan secara bergurau adalah terlaksana. Tidak bergantung kepada maksud dan niat. Bahkan yang dikira adalah apa yang diucapkan.
3. Tidak disyaratka pada perbuatan yang menjadi sebab kepada al-Dhoman (gentian) memerlukan niat. Bahkan dhoman (tuntutan ganti rugi) terlaksana dari perbuatan yang dilakukan tanpa niat dan maksud.