Bilangan jemaah yang ramai untuk menyembahyangkan jenazah memberi kebaikan kepada jenazah. Ini yang saya maksudkan dalam siri-siri penjelasan saya berkaitan pengurusan jenazah. Kita dalam bab menyembahyangkan jenazah ini jangan kelam-kabut.
Saya hairan, kenapa masyarakat kita bila ada kematian, kita suka kebumi jenazah pukul 11 pagi, kenapa? Lebih malang lagi, jika jenazah itu meninggal hari Jumaat. Katakan jenazah meninggal Khamis malam Jumaat, sepatutnya bila jenazah itu patut dikebumikan? Jangan pukul 11 pagi. Sebaliknya tangguh seketika sehingga jenazah itu dapat disolatkan selepas solat Jumaat, kerana mengharapkan kelebihan jemaah solat yang ramai. Tengak hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi SAW bersabda:
ما من رجل مسلم يموت فيقوم على جنازته أربعون رجلا لا يشركون بالله شيئا إلا شفعهم الله فيه
Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang meninggal dunia, lalu ditunaikan solat ke atas jenazahnya seramai 40 orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, melainkan Allah akan menjadikan mereka dapat memberi syafaat kepadanya.”
Maksudnya semua permohonan yang diminta dalam solat jenazah itu akan dimustajabkan oleh Allah. Apa yang kita minta di dalam solat jenazah? Iaitulah اللهم اغفر له وارحمه، وعافه واعف عنه iaitulah “Ya Allah berilah keampunan kepada jenazah, berilah rahmat kepadanya, berilah kemaafan dan keafiatan kepadanya...”
Kita minta perkara-perkara ini dan lainnya untuk jenazah. Kalau yang menyembahkan jenazah itu 40 orang yang tidak mensyirikkan ALlah, jenazah itu pasti akan dapat permohonan-permohonan ini.
oleh itu, mana lebih baik? solat jenazah pada pukul 11 pagi pada hari Jumaat atau tangguh seketika untuk disolatkan selepas Jumaat dengan jumlah jemaah yang lebih ramai?
Cuba tengak di Mekah dan Madinah. Bila solat jenazah dilakukan? bukankah selepas setiap solat fardhu? Apakah kita menyangka di Mekah dan Madinah, orang-orang yang meninggal dunia, semuanya pilih waktu dekat-dekat nak solat Jemaah? Tidak… sebaliknya pihak pengurusan yang atur, supaya jenazah itu dapat disolatkan selepas solat fardhu.
Nanti ada orang tanya pula, bukankah kita dituntut menyegerakan pengurusan jenazah? Betul, kita dituntut menyegerakan pengurusan jenazah. Di sini pentingnya pengajian fekah, agar kita tahu hukum setiap perkara.
Apa hukum menyegerakan pengurusan jenazah?
Kata para ulama, melewatkan pengurusan jenazah yang ditegah ialah melewatkannya sehingga jenazah itu berubah baunya atau seumpamanya. Akan tetapi jika dilewatkan buat seketika kerana ada perkara lain yang utama, kita pula pasti tempoh dilewatkan itu tidak akan menjadikan jenazah berubah, perkara ini dibenarkan.
Maka tuntutan menyegerakan pengurusan jenazah dalam ertikata jangan kita dilewatkan sehingga jenazah itu berubah. Tetapi jika kita lewatkan kerana ada keperluan dan kelewatan itu tidak menjadikan jenazah berubah, maka perkara itu tak ada masalah.
Contoh jenazah meninggal dunia pada lewat malam hari, lalu disolatkan pada waktu Zohor keesokan harinya, agar jenazah dapat disolatkan oleh jemaah solat Zohor, kita pula pasti dalam tempoh tersebut jenazah tidak akan rosak. Tapi jika pasti jenazah akan rosak, maka wajib disegerakan. Ini yang dimaksudkan dalam penerangan saya ini.
Maksud para pendakwah dahulu yang melarang ditangguhkan pengurusan jenazah, bukan bermaksud pengurusan jenazah dilakukan secara tergesa-gesa sehingga kita menafikan hak jenazah untuk dapat disolatkan seramai mungkin jemaah yang mampu.