Mustahadhah (1): al-Mubtada-ah al-Mumayyizah

Apabila darah yang datang kepada seseorang wanita melepasi tempoh maksimum haid iaitulah 15 hari, maka wanita tersebut dinamakan wanita mustahadhah المستحاضة. Terdapat tujuh keadaan wanita mustahadhah:

  1. al-Mubtada-ah al-Mumayyizah (المُبْتَدَأة المُمَيِّزَة)

al-Mubtada-ah adalah wanita yang kali pertama mengalami darah haid. Manakala al-Mumayyizah pula adalah seorang wanita yang dapat membezakan sifat darah yang dialaminya itu, seperti mendapati di peringkat awal darah yang dialaminya bewarna kehitaman, setelah beberapa hari darah berubah menjadi kemerahan. Maka dalam situasi ini, darah memiliki ciri-ciri kuat (kehitaman) adalah darah haid. Manakala darah yang  memiliki ciri-ciri lemah (kemerahan) adalah istihadhah. Demikian juga jika yang dialami dipermulaan haid darah bewarna kemerahan (ciri kuat berbanding kecoklatan, kekuningan dan kekeruhan), setelah itu berubah menjadi kecoklatan, maka yang kemerahan itu adalah haid dan kecoklatan itu adalah istihadhah dan demikianlah seterusnya menurut tertib warna darah haid kuat dan lemah. 

Perkara yang sama dilakukan jika perbezaan darah yang datang dapat dibezakan melalui bau. Darah yang beserta dengan bau darah haid (ciri kuat) dianggap darah haid. Manakala darah yang berbau darah biasa (ciri lemah) dianggap istihadhah. Barangkali juga perbezaan darah dapat dikenal melalui kepekatan. Maka darah yang lebih pekat (ciri kuat) dianggap darah haid, manakala yang lebih cair (ciri lemah) adalah darah istihadhah.

Jika perbezaan darah yang dialami berlaku antara darah kehitaman tanpa ada bau darah haid dan tidak pekat dengan darah kemerahan bersama bau darah haid tanpa kepekatan atau bersama kepekatan tanpa ada bau darah haid, atau yang dialami adalah darah kehitaman bersama kepekatan tanpa bau, atau bersama bau tanpa kepekatan dengan warna kemerahan bersama salah satu ciri di atas, atau darah yang dialami adalah darah kehitaman pekat antara darah kehitaman berbau atau antara darah kemerahan pekat dengan darah kemerahan berbau atau darah kemerahan pekat atau berbau bersama darah kehitaman semata-mata, maka darah haid adalah darah yang bersama ciri-ciri yang dinyatakan yang lebih dahulu dialaminya.

Seperti yang dinyatakan di atas, mubtada-ah mumayyizah dikira sebagai seorang Mustahadhah ketika mengalami darah yang memiliki ciri-ciri lemah. Sekalipun ciri-ciri itu berterus dialaminya tanpa ada batas maksimum. Darah yang dialami dikira darah haid ketika mengalami darah yang memiliki ciri-ciri kuat, dengan syarat ciri-ciri kuat darah itu tidak kurang dari tempoh minimum haid iaitulah sehari semalam dan tidak melebihi tempoh maksimum darah haid iaitulah 15 hari bersambungan. 

Demikian juga, darah yang dialami oleh seseorang wanita bersama dengan ciri-ciri lemah darah boleh dikira sebagai darah istihadah jika ia bersambungan (ولاءً) tidak kurang dari tempoh minimum suci antara dua haid iaitulah 15 hari. Jika yang dialami darah kehitaman sehari (ciri kuat), dua hari berikutnya darah kemerahan (ciri kelemahan), kemudian sehari kehitaman pula (ciri kuat), kemudian dua hari kemerahan pula (ciri kelemahan). Atau darah kehitaman dialami selama 16 hari, kemudian darah kemerahan pula selama 14 hari. Maka wanita seperti ini adalah dalam kumpulan wanita yang kehilangan syarat dapat membezakan darah yang dialaminya, dia termasuk dalam kategori al-Mubtada-ah Ghair al-Mumayyizah yang akan dijelaskan selepas ini iaitulah keadaan mustahadhah yang kedua. 

Jika seseorang wanita mengalami haid yang terhimpun padanya ciri-ciri qawiy (kuat), dhaief (lemah) dan adh‘af (lebih lemah), maka darah yang bersama ciri-ciri qawiy dan dhaief adalah darah haid dengan tiga syarat:

(1) qawiy mendahului dhaief dan saling bersambungan.

(2) Kedua-duanya (qawiy dan dhaief) berhak dianggap darah haid, iaitulah gabungan kedua-duanya tidak boleh melebihi tempoh maksimum haid. Contoh, lima hari awal darah kehitaman, kemudian lima hari berikutnya darah kemerahan, kemudian hari berikutnya darah yang datang berterusan bewarna kekuningan. Maka darah kehitaman dan kemerahan (10 hari) adalah darah haid, kerana kedua-duanya memiliki ciri-ciri kuat (qawiy) berbanding dengan warna kekuningan.

(3) Jika darah (qawiy) kehitaman dialami selama 10 hari, kemudian dituruti dengan enam hari darah (dhaief) kemerahan (jumlah qawiy dan dhaief melebihi tempoh maksimum haid), kemudian berterusan darah kekuningan (adh‘af). Atau dhaief mendahului qawiy seperti darah yang mula dialami adalah darah kemerahan selama lima hari, kemudian darah kehitaman lima hari, kemudian darah kekuningan berterusan sehingga melepasi tempoh 15 hari. Atau darah dengan ciri dhaief itu datang kemudian selepas darah dengan ciri qawiy, akan tetapi darah dengan ciri dhaief tidak bersambungan dengan darah yang berciri qawiy, seperti lima hari awal darah kehitaman, kemudian lima hari berikutnya kekuningan, setelah itu baru darah kemerahan dan berterusan. Maka darah haid adalah ketika darah kehitaman (qawiy) sahaja.  Inilah pandangan yang dijelaskan oleh al-Ruyani, dinilai sahih oleh penulis (al-Khatib al-Syirbini) dan para syurah kepada kitab al-Hawi al-Saghir.

Akan tetapi al-Nawawi di dalam al-Majmu’ sama seperti pandangannya di dalam Raudhah al-Talibin yang menjadikan bahagian yang ketiga ini sama seperti apabila darah bercirikan dhaief berada di pertengahan antara darah bercirikan qawiy. Maka jika seseorang mubtada-ah mendapati darah yang dialaminya pada permulaan kehitaman (qawiy), kemudian kemerahan (dhaief), kemudian kehitaman (qawiy) semula, di mana kesemuanya datang selama tujuh hari (menjadikan jumlah keseluruhan selama 21 hari). Maka darah haid adalah darah kehitaman (qawiy) yang pertama dan darah kemerahan (dhaief) kedua.


Cetak  
Wallahu a'lam