Kata dia (Syeikh Idris al-Marbawi di dalam Bahr al-Mazi):
“Kata Nawawi: Dan telah bersalah-salahan ulama pada kaifiat tayammum. Maka pada mazhab kita – yakni pada mazhab Syafie – dan mazhab kebanyakan ulama – bukan setakat mazhab Syafie, bahkan majority ulama – bahawasanya tak dapat tiada daripada dua kali tepuk atau pukul ke tanah kerana mengambil debu – tepukan pada tanah mesti dua kali – sekali kerana menyapu ke muka dan sekali tepuk kerana menyapu dua tangan sampai kedua siku.”
Itu cara tayammum di sisi mazhab Syafie dan berdasarkan perkataan al-Imam al-Nawawi yang dinukilkan oleh syeikh Idris, mazhab Syafie tepuk dua kali . tepuk kali pertama untuk sapu di muka. Tepuk kali kedua untuk sapu pada dua tangan sehingga ke siku.
Sapuan sampai ke siku ini adalah pandangan mazhab Syafie. Siapa yang buat perkara seperti yang dalam mazhab Syafie, dia buat berdasarkan Sunnah seperti yang difahami oleh ulama mazhab Syafie. Kita tak boleh kata tak betul cara tu. Tak boleh. Tak boleh kata tak betul. Kalau kita tak setuju kita kata, kami tak pegang pandangan tu. Kami pegang ulama lain. Itu tak apa. Tapi tak boleh kata salah. Kerana perkara ini perkara ijtihad, tak boleh berlaku salah menyalahkan antara seorang dengan seorang yang lain.
Siapa yang bertayammum seperti cara yang diijtihadkan oleh ulama mazhab Syafie, dia bertayammum menurut bimbingan para ulama dan cara itu adalah telah mematuhi perintah Allah SWT dalam beragama.
Kata al-Imam al-Nawawi:
“Dan setengah daripada mereka yang berkata dengan ini daripada segala ulama ialah ‘Ali bin Abi Talib dan ‘Abdullah bin ‘Amr dan al-Hasan al-Basri dan al-Sya’bi dan Salim bin Abdillah, Ibn ‘Umar dan Sufyan al-Thauri, dan Malik dan Abu Hanifah dan ahli-ahli fikiran lain daripadanya RA.”
Maknanya yang kata tayammum seperti yang ada dalam mazhab Syafie itu, bukan ulama mazhab Sayfie sahaja, bahkan nama-nama yang disebut ini, berapa ramai tu? Ali bin Abi Talib, Abdullah bin ‘Amr dan al-Hasan al-Basri dan al-Sya’bi dan Salim bin Abdillah, Ibn ‘Umar dan Sufyan al-Thauri, dan Malik dan Abu Hanifah.. ramai tu. Beranikah kita kata cara tu salah?