Syarat penerimaan ibadah dan contoh tiada niat puasa

 

Kesemua ibadah di dalam Islam perlu kepada ilmu. Kata para ulama:

وعبادتنا لله شرط قبولها، موافقة الأحكام في العسر واليسر

Maksudnya: “dan ibadat kita kepada Allah, syarat penerimaannya mestilah bertepatan dengan hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh ALlah dan Rasul sama ada ketika senang mahupun susah.”

 Itulah Islam, hendak ibadat mestlah mengikut hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tuan-tuan sekelian, ibadat puasa dalam bulan Ramadan adalah satu ibadah yang dimaksudkan oleh Allah SWT. Maknanya Allah dan Rasul menghendaki bila masuk Ramadan ada puasa Ramadan. Maka ibadah-ibadah seperti ini ia memerlukan niat atau keazaman untuk melaksanakan  ibadah puasa. Maka niat bagi ibadah puasa Ramadan mesti dilakukan pada malam hari, tempoh waktu boleh berniat puasa Ramadan bermula dari tenggelam matahari sehingga terbit fajar sadiq. Inilah waktu berniat, berdasarkan  hadis Nabi SAW:

من لم يبيت الصيام فلا صيام له

maksudnya: "Sesiapa yang tidak meletakkan keazaman pada malam hari untuk berpuasa esoknya, maka tiada puasa baginya.”

Kerana itu majoriti ulama mengatakan ibadah puasa Ramadan mesti berniat pada setiap malam. Kerana setiap hari Ramadan itu bersendirian, maka dia memerlukan niat pada setiap malam secara berasingan.

Ada orang yang bertanya, apakah ada orang yang berpuasa tiada niat? Kita kata: “Ya, ada”. Contohnya, seorang driver grap. Masuk bulan Ramadan ada orang telepon minta membawanya berulang-alik dari Perlis ke Penang selama tujuh hari dalam bulan Ramadan. Selama tujuh hari itu, pada setiap pagi dia perlu bergerak dari Perlis pada pukul 7:00 pagi untuk ke Penang dan pulang semula ke Perlis pada pukul 5 petang. Driver grap bersetuju.

Hari pertama dan hari kedua, driver grap berpuasa kerana bulan Ramadan. Pada hari ketiga, sampai di Gurun, driver grap rasa mengantuk, lalu dia berbuka puasa kerana bermusafir. Ketika sampai di Perlis pada hari tersebut, driver grap berada dalam keadaan berbelah bagi, apakah keesokan harinya bersamaan 4 Ramadan, dia nak berpuasa atau tidak untuk menghantar pelanggannya ke Penang? Dia kekal berbelah bahagi sehinggalah tertidur keletihan. Pada pukul 6:30 pagi keesokan harinya, beberapa minit setelah masuk waktu SUbuh, baru dia tersedar dari tidur, sedangkan pada malam harinya dia belum menetapkan keazaman atau tidak memiliki niat untuk berpuasa pada hari keempat tersebut. Persoalannya; apakah pada hari keempat tersebut, setelah masuk waktu subuh dia baru terjaga, bolehkan si driver grap tersebut berpuasa? Jawapannya tidak boleh kerana dia telah terlepas waktu berniat puasa Ramadan iaitulah pada malam hari.


Cetak  
Wallahu a'lam