Thursday, January 30, 2014
Fiqh Semasa: Cucian Dengan Wap Air
Oleh: al-Syeikh Dr. Sa’ad bin Turki al-Khathlan (سعد بن تركي الخثلان)
Anggota Lujnah Fatwa Arab Sa'udi dan Pensyarah Universiti Imam Muhammad Sa'ud
Sumber: http://islamselect.net/mat/60633
Fatwa: Cucian Menggunakan Wap
Penterjemah: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak (http://binsahak.com)
Cucian dengan menggunakan wap atau yang dinamakan sebagai cucian kering (dry cleaning). Kami nyatakan bahawa, sebahagian pakaian seperti pakaian bulu, dan pakaian-pakaian dari jenis yang akan rosak jika dibasuh dengan air, maka ia dibasuh dengan wap. Seperti yang telah diketahui bahawa basuhan dengan wap bukan basuhan dengan air, sebaliknya hanya dengan wap. Maka apakah basuhan dengan wap dikira memadai untuk menghilangkan najis yang terdapat pada pakaian? Kami nyatakan, yang pertama: Cucian dengan wap atau yang dinamakan dengan cucian kering iaitulah dimaksudkan kepada menghilangkan najis dan kotoran dengan cecair bukan air kemudian baru menggunakan wap air. Caranya ialah dengan meletakkan sebahagian sebatian kimia ke atas pakaian yang hendak dibasuh untuk menghilangkan kotoran atau najis, setelah itu dicuci dengan wap air dalam bentuk tidak menitiskan air, sebaliknya hanya dengan wap sahaja. Cara sebegini tidak dinamakan cara cucian dengan air seperti yang sedia maklum, kerana ia tidak melalui proses basuhan dengan air sehingga menitiskan air.
Persoalan ini dapat dikembangkan dari persoalan apakah wajib menggunakan air untuk menghilangkan najis? Atau bukan satu kewajjipan menggunakan air untuk menghilangkan najis kerana najis adalah kotoran yang mendatang, apabila ia hilang dengan apa jua cara, maka najis tersebut dikira telah tiada disebabkan telah hilang zat najis tersebut. Maka jika ada pakaian yang tidak boleh disuci dengan air maka ia boleh disucikan dengan wap untuk menghilangkan najis tersebut. Antara ulama semasa yang berfatwa boleh menggunakan cucian wap ini ialah al-Syeikh Muhammad bin Uthaimin RH.
Namun ada masalah lain juga yang boleh dikembangkan dari persoalan ini. iaitulah berkaitan benda-benda yang terkena najis, dan boleh rosak jika dibasuh dengan air. Kami bawakan contoh dengan wang-wang kertas bernilai 500 ringgit yang terkena najis. Andaikan wang tersebut terjatuh dari anda ketika berada di dalam tandas, lalu terkena najis, maka apa yang perlu anda lakukan? Kalau dibasuh ia akan merosakkan wang tersebut, atau anda tinggalkannya sahaja, maka ia termasuk dalam perbuatan mensia-siakan harta?
Contoh lain seperti dokumen-dokumen penting jika terjatuh di dalam tandas dan anda yakin ia terkena najis, maka bagaimana hendak menghilangkan najis tersebut?
Kami nyatakan bahawa: Persoalan ini, dapat dikembalikan kepada kaedah yang disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH, bahawa benda-benda yang boleh musnah jika digunakan air (dibasuh dengan air), memadai padanya dengan sapuan. Kaedah ini diperakui oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH iaitulah memadai dengan sapuan dan tidak memastikan basuhan.
Berdasarkan perkara ini, kami nyatakan untuk wang-wang kertas atau seumpamanya terdiri dari surat-surat penting, jika terkena najis, jika dibasuh dengan air akan merosakkannya, maka ketika itu memadai dengan hanya sapuan. Sapuan ini dapat menghilangkan najis. Ini yang dapat diambil dari perkataan para ulama dalam persoalan ini. Kami kembangkannya berdasarkan kaedah yang disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH, maka kami katakan: Bahawa sapuan adalah memadai untuk menghilangkan najis dalam situasi ini. Buktinya seperti yang telah kami nyatakan bahawa, sesuatu najis apabila telah hilang dengan apa-apa cara menghilangkannya, maka najis itu dikira tiada, ia mungkin boleh dihilangkan dengan cara sapuan.