Fiqh Semasa: Hukum Cucian Kering / Dry Cleaning

FEQH SEMASA

Tajuk: HUKUM CUCIAN KERING / التنظيف الجاف / DRY CLEANING

Penterjemah: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak 

(http//:binsahak.com)

 

Fatwa Dari Web Islamweb.net

Soalan:

Apakah hukum baju yang dibersihkan di dobi-dobi yang menggunakan alat cucian kering sebagai menggantikan air. Apakah cucian ini dapat menghilangkan najis dan sahkan solat menggunakan baju tersebut?

 

Jawapan:

Menghilangkan najis dengan tanpa menggunakan air adalah perkara yang menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Kebanyakan mereka berpandangan mesti menggunakan air untuk menghilangkan najis melainkan dalam perkara yang diberi keringanan oleh agama seperti menghilangkan najis yang terdapat pada kasut, labuhan kain wanita (ذيل المرأة), dan istinja dengan batu.

Al-Imam al-Nawawi telah menyebut di dalam al-Majmu’:

 أن رفع الحدث وإزالة النجس لا يصح إلا بالماء المطلق، وقال:هذا مذهبنا، وبه قال جماهير السلف والخلف من الصحابة ومن بعدهم.

Maksudnya: “Bahawa menghilangkan hadas dan najis tidak sah melainkan dengan air mutlak. Inilah mazhab kami (al-Syafie), dan inilah pandangan kebanyakan ulama al-Salaf dan al-Khalaf dari kalangan para sahabat selepas mereka.”

Abu Hanifah pula berpandangan harus menghilangkan najis dengan menggunakan apa-apa cecair yang suci yang boleh menghilangkan najis tersebut.

Bagi Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, beliau memiliki pandangan yang hampir dengan pandangan Abu Hanifah ini, bahkan dalam bab ini beliau lebih luas lagi. Hal ini ketikamana beliau berkata:

في إزالة النجاسة بغير الماء ثلاثة أقوال: أحدها: المنع كقول الشافعي، وهو أحد القولين في مذهب مالك وأحمد. والثاني: الجواز كقول أبي حنيفة، وهو القول الثاني في مذهب مالك وأحمد. القول الثالث: في مذهب أحمد أن ذلك يجوز للحاجة.

Maksudnya: “Menghilangkan najis tanpa menggunakan air ada 3 pandangan: 1) TIDAK BOLEH seperti pandangan al-Syafie. Ia juga merupakan salah satu dari 2 pandangan dalam mazhab Malik dan Ahmad. 2) HARUS seperti pandangan Abu Hanifah. Ia juga merupakan pandangan kedua dalam mazhab Malik dan Ahmad. 3) Dalam Mazhab Ahmad (pandangan ke-3) HARUS ketika ada keperluan.”

Seterusnya beliau (Ibn Taimiyyah) menyebut:

أن السنة قد جاءت بالأمر بالماء، في قوله لـ أسماء: حُتِّيهِ ثُمَّ اقْرُصِيهِ بالمَاءِ، ثُمَّ رُشِّيهِ وصَلِّي فِيهِ". 
فأمر بالإزالة بالماء في قضايا معينة، ولم يأمر أمرًا عامًا بأن تزال كل نجاسة بالماء، وقد أذن في إزالتها بغير الماء في مواضع منها: الاستجمار. 

Maksudnya: “Bahawa di dalam sunnah telah ada arahan menggunakan air (untuk menghilangkan darah haid yang terkena pakaian), iaitulah dalam sabda baginda kepada Asma’: “Kikihkan ia, kemudian gosokkan dengan air kemudian jiruskan air dan solatlah dengan menggunakan pakaian tersebut.” Maka baginda menyuruh menggunakan air dalam urusan tertentu, dan baginda tidak menyuruh dalam bentuk suruhan umum agar menghilangkan setiap najis dengan air. (dalam masa yang sama) baginda juga telah memberi izin untuk menghilangkan najis dengan selain air dalam beberapa keadaan, antaranya boleh mensucikan najis dengan menggunakan batu.”

Seterusnya beliau berkata lagi:

وإذا كان كذلك فالراجح في هذه المسألة أن النجاسة متى زالت بأي وجه كان زال حكمها، فإن الحكم إذا ثبت بعلة زال بزوالها.

Maksudnya: “Jika demikian keadaannya, maka yang Rajih (yang lebih jelas/kuat) dalam persoalan ini ialah bahawa apabila hilang najis dengan apa cara sekalipun, maka hilanglah hukum (kenajisan tersebut). Hal ini kerana sesuatu hukum yang terbina kerana adanya illah (punca), maka hukum itu hilang dengan hilangnya illah (punca) tersebut.” (al-Fatawa al-Kubra. Jilid: 1. Kitab al-Toharah)


Cetak  
Wallahu a'lam