Melihat Dalil Secara Juz'i Menatijahkan Kefahaman Agama Yang Senget

 

Dalam semua bab agama, kita tak boleh melihat dalil secara juz’ie. Perkara ini terlalu penting kepada ustaz dan ustazah. Ayat al-Quran dan hadis tidak boleh dilihat secara juz’ie. Bila dia baca dalil tentang taqdir, dia hanya faham dalil itu dan dia pisahkan tinggalkan dalil-dalil lain yang berbicara tentang Allah yang maha adil, Allah taala yang maha bijaksana, Allah taala yang tidak akan berlaku zalim, dia buang maklumat-maklumat lain, sebaliknya hanya tertumpu kepada taqdir, maka dia akan gagal.

Kefahaman mesti bersifat menyeluruh dengan digabungkan semua maklumat dan dalil, baru dia akan dapat kefahaman yang betul.

Salah cara ni ramai orang buat, hatta orang-orang yang mengaji agama, sehinggakan ada yang berkelulusan Phd sebahagiannya masih ada yang membuat kesimpulan dari dalil yang juz’ie.

Baru ni, ada orang yang kongsikan satu video seorang pendakwah berbahasa English, meminta umat Islam elakkan perkelahian sesama umat Islam dan perkara-perkara yang merugikan. Pendakwan itu menyeru supaya umat Islam berusaha melihat kepada perkara persamaan sesama kita walaupun berbeza aliran dan meninggalkan gelar-menggelar dan label-melabel.

Ada seorang ustaz yang komen dengan berkata:

“Cakap umum senang.. tapi bila tiba di lapangan, even Nabi SAW sendiri tidak bertolak ansur dengan bapa saudara dalam perkara prinsip agama..”

Benarkah begini? Benarkan tindakan Nabi SAW di lapangan tidak bertolak ansur dengan bapa saudara sendiri???

Cuba kita tengak, siapa bapa saudara baginda? Abu Lahab, Abu Talib, al-‘Abbas dan lainnya. Adakah kesemua bapa saudara baginda diperangi?

Kalau kita hanya fokus kepada Abu Lahab, maka sudah tentu kita akan buat kesimpulan Nabi SAW memerangi Abu Lahab yang merupakan bapa saudara baginda sendiri kerana berbeza prinsip.

Namun jika kita melihat dengan secara menyeluruh, kita akan dapati tindakan baginda berbeza dengan Abu Talib yang juga berbeza dengan baginda dalam perkara prinsip. Bahkan Abu Talib kekal kafir sehingga ke hujung hayatnya. Namun Nabi SAW kekal menjalinkan hubungan yang baik dengan Abu Talib sehingga ke akhir hayat Abu Talib. Baginda juga amat sayang kepada Abu Talib, sehinggakan selepas kematian Abu Talib, tahun berikutnya dikenali sebagai ‘Aam al-Huzni atau tahun kesedihan. Baginda tidak memerangi Abu Talib sekalipun berbeza prinsip dengan baginda.

Demikian juga al-‘Abbas RA, juga bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Ketika beliau masih seorang musyrik, Nabi SAW membenarkan beliau turut serta dalam perjanjian ‘Aqabah yang melibatkan perjanjian rahsia dan penting dalam kerja dakwah baginda. al-‘Abbas ketika itu masih seorang musyrik. Nabi SAW tidak menghalang beliau turut serta dalam perjanjian ‘Aqabah atas alasan berbeza prinsip, tidak!

Inilah masalah umat Islam hari ini, sebahagian orang hatta yang berpendidikan tinggi sampai ke peringkat Phd, langsung tidak memberi ruang toleransi, seolah-olah semua perkara prinsip belaka, tiada yang cabang dan tiada yang boleh bertolak-ansur. Atas alasan, Nabi SAW dalam perkara prinsip bertindak tegas sekalipun dengan bapa saudara sendiri. Inilah masalahnya apabila melihat dalil secara juz’ie. Apabila hanya fokus hubungan Nabi SAW dengan Abu Lahab, lalu segera membuat kesimpulan.

Sedangkan tindakan Nabi SAW memerangi Abu Lahab, asasnya bukan kerana perbezaan prinsip, tetapi sebenarnya sifat hirabah atau memerangi yang ditunjukkan oleh Abu Lahab. Kerana sifat hirabah yang ada pada Abu Lahab inilah Nabi SAW memeranginya.

Berbeza dengan Abu Talib dan al-‘Abbas yang tiada pada mereka berdua sifat hirabah ini. Lalu Nabi SAW membalas sikap perdamaian mereka dengan perdamaian juga, sekalipun berbeza pada prinsip.

Melihat dalil secara menyeluruh ini penting agar kefahaman agama kita tidak senget sebelah.

Samalah memahami persoalan taqdir, hendaklah kita memahaminya dengan bersama kefahaman dan keyakinan Allah SWT adalah tuhan yang maha bijaksana dalam menetapkan sunnatullah dalam mentadbir alam, tidak berlaku sesuatu perkara melainkan Allah telah menyusun sebab-sebab kepadanya dan seumpamanya. Semua ini hendaklah berjalan serentak ketika kita berinteraksi dengan dalil-dalil tentang taqdir.   

Oleh itu memahami taqdir hendaklah bersama dengan kefahaman-kefahaman lain yang benar tentang kesempurnaan Allah SWT.


Cetak  
Wallahu a'lam