Monday, September 3, 2012
Soalan:
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanyakan tentang solat seseorang doktor yang perlu merawat para pesakit secara berterusan sehingga terlepas waktu solat. Adalah boleh jamak ataupun qadha..? ataupun ada cara lain..?
Jawapan:
Ibadah solat memiliki kedudukan yang amat besar di dalam Islam. Ia merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Allah SWT memerintahkan umat Islam melaksanakannya di dalam waktu yang telah ditetapkan. Tidak boleh ditunaikan mana-mana solat fardhu di luar dari waktunya tanpa ada sebarang seuzuran yang dibenarkan oleh syarak, jika ditunaikan di luar waktunya dengan sengaja ia dikira satu dosa yang besar.
Kesibukan merawat pesakit bukan termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan syarak untuk beralih ke hukum jamak atau qadha.
Keringan jamak solat hanya diperuntukkan kepada para doktor yang terlibat dengan kerja-kerja pembedahan yang memakan masa yang panjang, di mana ketiadaan mereka kerana pergi menunaikan solat akan membawa kemudharatan kepada pesakit.
Adapun dalam keadaan lain, maka solat wajib dilaksanakan di dalam waktunya berdasarkan firman Allah SWT:
إن الصلاة كانت على المؤمنين كتاباً موقوتاً
Maksudnya: “Sesungguhnya Solat itu difardhukan ke atas orang-orang yang beriman dalam waktu-waktu yang tertentu.” (al-Nisak: 103)
Nabi SAW pula bersabda:
صل الصلاة لوقتها
Mafhumnya: “Tunaikanlah solat di dalam waktunya.” (Muslim dari Abu Zarr)