SDI 1360: Hukum Terlibat Di Dalam Sukan Yang Merbahaya

Friday, September 30, 2011

Soalan:

Apakah hukum terbabit dengan sukan yang merbahaya seperti melintas di atas tali yang tinggi, terjun dari tempat tinggi atau tinggal bersama ular di dalam sangkar.

 

Jawapan:

Agama Islam mengarahkan penganutnya untuk memelihara tubuh badan dari sebarang kemudharatan. Lantaran itu agama mengharamkan setiap perkara yang boleh membawa kepada kemudharatan. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (al-Baqarah: 195)

Para ulama telah membicarakan tentang hukum terbabit dalam permainan yang merbahaya. Di dalam Kitab al-Dur al-Mukhtar dinyatakan:

وكذا يحل كل لعب خطر لحاذق تغلب سلامته ، كرمي لرام ، وصيد لحية ، ويحل التفرج عليهم حينئذ

Maksudnya: “dan demikian juga dibenarkan setiap permainan yang merbahaya bagi pemain mahir yang terjamin keselamatannya seperti pemanah/penembak atau pemburu ular, maka boleh menyaksikan mereka ketika itu.” (Lihat al-Dur al-Mukhtar: 6/404)

Di dalam buku Qadhaya al-Lahw wa al-Tarfih menyebut beberapa syarat yang perlu dipenuhi dalam sukan yang merbahaya, iaitulah:

Syarat Pertama: Terlatih, memiliki kemahiran dan skill yang sempurna dalam sukan-sukan tersebut, yang tidak dapat diperolehi melainkan setelah melalui banyak latihan dan berulangan sehingga menjadi terlatih dan mahir. Sekiranya dalam melakukan latihan tersebut menyebabkan terabainya kefardhuan dan perkara sunat, maka pandangan yang mengharamkannya lebih kuat. Adapun sekiranya latihan yang diadakan tidak menggangu perkara-perkara tersebut maka pandangan yang mengharuskannya adalah lebih tepat, dan demikian juga hukum menyaksikannya.

Syarat Kedua: Terjamin keselamatannya. Sekiranya ada kemungkinan yang sedikit untuk tidak selamat atau ada keraguan akan keselamatannya, maka ketika itu permainan atau sukan tersebut adalah haram kerana ia membawa kepada kebinasaan, kerana kita dilarang untuk mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan seperti ayat 195 dari surah al-Baqarah.

Syarat Ketiga: Sukan atau permainan yang merbahaya tersebut tidak dilakukan untuk memperolehi bayaran. Diharamkan bertujuan mendapat imbalan balik dalam sukan atau permainan yang merbahaya ini. Kerana ia termasuk memakan harta orang lain secara batil kerana dari sudut tidak ada faedah yang diperolehi dari permainan atau sukan yang merbahaya tersebut. (Lihat juga buku Bughyah al-Musytaq fi Hukm al-Lahw wa al-La’b wa al-Sibaq, hal: 156 – 157)

Sukan dan permainan merbahaya ini juga hanya boleh diadakan pada hari kebesaran dan perayaan sahaja. hal ini demikian kerana alasan untuk menguatkan keharusan sukan dan permainan merbahaya ini disandarkan kepada hadis yang menceritakan orang-orang Habasyah yang bermain pedang di dalam masjid, dan keadaan itu hanya berlaku pada hari raya, maka ia termasuk hari kebesaran dan perayaan.

Demikian juga disyaratkan keharusan sukan dan permainan merbahaya ini tidak perlaku percampuran antara lelaki dan wanita yang ajnabi dan para pemain tidak menzahirkan aurat mereka. Diharamkan juga permainan yang melibatkan sihir. (Sila lihat kitab Qadhaya al-Lahw wa al-Tarfih. Hal: 295)


Cetak  
Wallahu a'lam