Thursday, September 15, 2011
Al-Muhkam (المُحْكَمُ)
Pendahuluan
Perbahasan mengenai al-Muhkam dalam pengajian Usul al-Fiqh (أصول الفقه) dibincangkan di bawah tajuk Dilalah al-Lafz ‘ala al-Makna (دلالة اللفظ على المعنى) iaitu perbahasan tentang petunjuk lafaz terhadap maksud yang dikehendakinya.
Di mana lafaz dari sudut kejelasan maksud dan maknanya atau kesamaran maksud dan maknanya terbahagi kepada dua:
1. Lafaz yang petunjuknya jelas kepada sesuatu maksud atau makna (واضح الدلالة)
2. Lafaz yang petunjuknya tidak jelas kepada sesuatu maksud atau makna (غير واضح الدلالة)
Maka persoalan al-Muhkam berada di bawah bahagian yang pertama iaitulah bahagian lafaz yang petunjuknya jelas kepada sesuatu maksud atau makna. Bahagian ini terbahagi kepada empat:
1. Al-Zahir (الظاهر)
2. Al-Nas (النص)
3. Al-Mufassar (المفسر)
4. Al-Muhkam (المحكم)
Keempat-empat bahagian ini, saling berbeza dari sudut kekuatan dan kelemahan kejelasan lafaznya kepada sesuatu makna. Yang paling lemah kejelasan lafaznya yang menunjukkan kepada sesuatu makna ialah al-Zahir, diikuti dengan al-Nas, setelah itu al-Mufassar dan yang terkuat sekali ialah al-Muhkam.
Oleh itu, apabila berlaku pertentangan zahir dengan nas, maka nas hendaklah didahulukan, kerana petunjuk nas adalah lebih jelas berbanding zahir. Demikian juga apabila bertentangan antara nas dan mufassar, maka didahulukan al-Mufassar ke atas al-Nas. Dan apabila bertentangan ketiga-tiga pembahagian di atas dengan al-Muhkam, maka al-Muhkam akan didahulukan ke atas semuanya, kerana al-Muhkam adalah lebih jelas petunjuknya berbanding yang lain.
Pembentangan ini hanya akan menumpukan perkara yang keempat dari pembahagian lafaz yang petunjuknya jelas kepada sesuatu maksud atau makna (واضح الدلالة) iaitulah Al-Muhkam (المحكم)
Pengertian
Dari sudut bahasa (اللغة) al-Muhkam (المحكم) bermaksud al-Mutqin (المتقن)[1] yang membawa erti yang mengukuhkan.
Dari sudut Istilah pula al-Muhkam bermaksud:
هُوَ اللَفْظُ الذِّيْ ظَهَرَتْ دَلَالَتُهُ بِنَفْسِهِ عَلى مَعْنَاهُ ظُهُوْرًا قَوِيًّا عَلى نَحْوِ أكْثَرِ مِمَّا عَلَيْهِ الْمُفَسَّرْ, وَلَا يَقْبَلُ التَأوِيْلَ وَلَا النَّسْخَ.
Maksudnya: “Ia adalah lafaz yang terzahir petunjuknya dengan sendirinya terhadap maknanya secara jelas dan kuat berbanding al-Mufassar. Ia tidak menerima pentakwilan dan pembatalan.”[2]
Dr. Wahbah al-Zuhailiy pula mendefinasikan al-Muhkam sebagai:
هو اللَفْظُ الذِّيْ دَلَّ بِصِيْغَتِهِ عَلى مَعْنَاهُ دَلَالَةً وَاضِحَةً لَا يَبْقَى مَعَهَا احْتِمَالُ التَأوِيْلِ وَالتَّخْصِيْصُ وَالنَّسْخُ فِيْ عَهْدِ الرِّسَالَةِ وَفَتْرَةِ نُزُوْلِ الْوَحْيِ
Maknanya: “Ia adalah lafaz yang bentuknya menunjukkan kepada maknanya dengan petunjuk yang jelas, dimana tidak ada bersamanya kebarangkalian untuk pentakwilan, pengkhususan dan pembatalan pada zaman risalah dan dalam tempoh penurunan wahyu.”[3]
Maka lafaz yang muhkam ialah lafaz yang tidak memiliki sebarang kebarangkalian untuk ditakwilkan, kerana kejelasan petunjuknya, hingga sampai ke tahap tidak memerlukan sebarang kebarangkalian untuk ditakwil kepada maksud yang lain.
Sesuatu lafaz itu Muhkam, dengan tidak menerima pembatalan atau nasakh, kerana ia menunjukkan kepada hukum asas yang tidak menerima sebarang pergantian dan perubahan. Seperti contoh nas-nas yang menyebut tentang keimanan kepada Allah, hari kiamat, kepada para rasul, pengharaman berbuat zalim, kewajipan berlaku adil dan seumpamanya.[4]
Dr. Wahbah al-Zuhailiy menyatakan tentang al-Muhkam: "Ia merupakan hukum-hakam agama yang asas, seperti asas-asas iman kepada Allah SWT, para Malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat, kesyumulan ilmu Allah terhadap sesuatu, akhlak baik yang diperakui oleh akal yang sihat yang tidak akan berubah dengan berubahnya masa dan suasana seperti bersifat adil, benar, menunaikan janji, amanah, berbuat baik kepada ibu-bapa, menghubungkan silaturrahmi, demikian juga pengharaman perkara-perkara yang bertentangan dengan akhlak-akhlak yang baik seperti berlaku zalim, berbohong, menyalahi janji, khianat, menderhakai ibu-bapa dan memustuskan silaturrahmi."[5]
Al-Muhkam juga merangkumi hukum-hakam furu’ yang ada petunjuk dari syara’ yang mengukuhkannya dan keberlangsungan hukumnya, atau bersamanya terdapat sesuatu yang menafikan sebarang kebarangkalian pembatalan hukumnya. Seperti susunan lafaznya sendiri menunjukkannya, contohnya firman Allah SWT:

1. وَمَا كَانَ لَكُمْ أَنْ تُؤْذُوْا رَسُوْلَ اللهِ, وَلَا أنْ تَنْكِحُوا أزْوَاجَهُ مِنْ بَعْدِهِ أبَدًا
Maksudnya: “Dan tidak boleh kamu menyakiti (hari) Rasulullah tidak juga mengahwini isteri-isteri baginda selama-lamanya sesudah baginda wafat.” (al-Ahzab: 53)
2. وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أبَدًا
Maksudnya: “Dan jangan kamu menerima penyaksian mereka selama-lamanya.” (al-Nur: 4)
3. وَالْجِهَادُ مَاضٍ مُنْذُ بَعَثَنِيَ اللهُ إلى أنْ يُقَاتِلَ آخِرُ أمَّتِيْ الدَّجَّالَ
Maksudnya: “Jihad itu berkekalan sejak aku diutuskan oleh Allah sehinggalah umatku membunuh al-Dajjal.”[6]
Kalimah (أبدا) yang bermaksud selama-lamanya, yang terdapat di dalam ketiga-tiga ayat di atas, menunjukkan tidak adanya sebarang kebarangkalian atau kemungkinan akan ada perubahan dan pembatalan hukumnya.
Atau al-Muhkam juga tidak menerima kemungkinan pembatalan kerana Nabi SAW itu sendiri telah wafat dan tidak diketemui sebarang keterangan lain yang menunjukkan pembatalan atau perubahan sesuatu hukum.
Jenis al-Muhkam
Al-Muhkam terbahagi kepada dua:
1. Al-Muhkam lizatih[7], (المحكم لذاته) atau disebut juga al-Muhkam li’ainih[8](المحكم لعينه): iaitu al-Muhkam dengan sendirinya, apabila tidak ada kemungkinan untuk pembatalan atau perubahan disebabkan sesuatu teks itu sendiri. Dan inilah yang dimaksudkan dalam perbahasan tentang al-Muhkam ini.[9]
2. Al-Muhkam lighairih: iaitu al-Muhkam kerana faktor luar, kerana tidak ada nas lain yang membatalkannya, atau seperti disebabkan kewafatan Nabi SAW. Akan tetapi bukan jenis ini yang dimaksudkan dalam perbahasan ini.[10]
Hukum al-Muhkam
Hukum beramal dengan lafaz yang Muhkam petunjuknya adalah wajib secara pasti tanpa ada sebarang keraguan, kerana lafaz yang muhkam tidak mengandungi kebarangkalian membawa maksud yang lain dan ia tidak menerima pembatalan.
Mendahulukan al-Muhkam ke atas al-Zahir, al-Nas dan al-Mufassar
Apabila berlaku pertentangan antara al-Muhkam, al-Zahir, al-Nas atau al-Mufassar, maka al-Muhkam hendaklah didahulukan. Contohnya:
Firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ
Maksudnya: “Dihalalkan kepada kamu (berkahwin) apa yang selain daripada itu (wanita-wanita yang diharamkan).” (al-Nisa: 24)
Ayat ini menghalalkan pernikahan dengan selain wanita-wanita yang diharamkan yang disebut di dalam ayat sebelumnya, termasuk di dalamnya berdasarkan keumuman ayat, keharusan berkahwin dengan para isteri Nabi SAW selepas daripada kewafatan baginda. Namun di dalam surah al-Ahzab ayat 53, Allah SWT berfirman:
وَمَا كَانَ لَكُمْ أَنْ تُؤْذُوْا رَسُوْلَ اللهِ, وَلَا أنْ تَنْكِحُوا أزْوَاجَهُ مِنْ بَعْدِهِ أبَدًا
Maksudnya: “Dan tidak boleh kamu menyakiti (hari) Rasulullah tidak juga mengahwini isteri-isteri baginda selama-lamanya sesudah baginda wafat.” (al-Ahzab: 53)
Ayat ini menyatakan pengharaman bernikah dengan isteri-isteri Nabi SAW selepas kewafatan baginda, maka ia didahulukan dan ditarjihkan dari ayat yang pertama tadi, dan jadilah hukumnya haram berkahwin dengan isteri-isteri Nabi SAW selepas kewafatan Baginda.
Persoalan Semasa
Terdapat sebahagian golongan kebelakangan ini yang menisbahkan diri mereka kepada liberalism, menyeru kepada beberapa perkara yang bertentangan dengan nas-nas syara’ yang berbentuk muhkam petunjuknya. Antara seruan mereka yang sesat itu ialah, seruan kepada penyatuan semua agama-agama di dunia. Mereka mendakwa kononnya semua agama di dunia ini menyeru kepada kebaikan dan semuanya menuju ke syurga.
Dakwaan ini jelas bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah yang muhkam petunjuknya, yang menafikan kebenaran dan keselamatan agama lain selain agama Islam. Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman pada ayat-Nya yang muhkam:
إنَّ الدِّيْنَ عِنْدَ اللهِ الإسْلَام
Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang diredoi) di sisi Allah adalah Islam.” (Ali Imran: 19)
وَمَنْ يَبْتَغِيْ غَيْرَ الإسْلَام دِيْنًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ, وَهُوَ فِيْ الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang memilih selain Islam sebagai agama, Allah tidak akan menerima daripadanya, dan dia di akhirat kelak dia termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.” (Ali Imran: 85)
--------------------------------------------------------------------------
Rujukan:
1. Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. Dr. Wahbah al-Zuhailiy.
2. Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. Dr. Abdul Karim Zaidan. Muassasah al-Risalah
3. Ushul Fiqh Jilid 2. Prof. Dr. H. Amir Syarifuddin.
[1] Dr. Abdul Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, m.s. 346, ctk: Muassasah al-Risalah
[2] Ibid.
[3] Dr. Wahbah al-Zuhailiy, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, m.s. 179
[4] Dr. Abdul Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. M.s. 347
[5] Dr. Wahbah al-Zuhailiy, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, m.s. 179
[6] Hadith ini dinilai Dhoief (Lemah) oleh al-Albani. Sila lihat Dhoief Sunan Abi Daud, m.s. 248, cet. Al-Maktab al-Islamiy, 1991.
[7] Prof. Dr. H. Amir Syarifuddin. Ushul Fiqh Jilid 2, m.s. 12
[8] Dr. Abdul Karim Zaidan, al-Wajiz, m.s. 347
[9] Ibid
[10] Ibid