25 June 2016
Salam Ust Kadir...
Soalan: Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Anak Yatim adakah kanak kanak yang kehilangan ibu atau bapa atau keduanya sekali?
Jawapan:
Yatim اليتيم pada asalnya ialah kanak-kanak belum baligh yang kematian bapa, berdasarkan hadis Nabi SAW:
لا يتم بعد احتلام
Maksudnya: "Tiada dinamakan yatim selepas baligh." (Hadis dikeluarkan oleh al-Tabarani di dalam al-Kabir, al-Haithami berkata di dalam Majma' al-Zawa'id: "Rijalnya thiqaat")
Para ulama bersepakat dinamakan yatim bagi kanak-kanak belum baligh yang kematian bapa. Mereka berbeza pandangan bagi kanak-kanak belum baligh yang kematian ibu dinamakan yatim atau tidak? al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani seperti memasukkan anak-anak belum baligh yang kematian ibu juga ke dalam goloongan yatim. Hal ini dapat dilihat melalui syarah beliau kepada hadis:
كافل اليتيم له أو لغيره
Maksudnya: "Aku dan Kafil (orang yang menjaga) anak yatim dari kalangan kaum keluarganya atau selainnya seperti dua jari ini (jari telunjuk dan jari tengah) di dalam syurga." kata al-Imam Ibn Hajar:
ومعنى قوله (له) بأن يكون جدا أو عما أو أخا أو نحو ذلك من الأقارب، أو يكون أبو المولود قد مات فتقوم أمه مقامه، أو ماتت أمه فقام أبوه في التربية مقامها
Maksudnya: "Makna sabdaan Nabi SAW (له) merujuk kepada datuk, bapa saudara, atau adik beradik atau seumpamanya dari kalangan kaum kerabat, atau bapa anak itu meninggal, maka ibunya yang mengambil tugas menjaganya (ibu itu dikira sebagai kafil al-yatim), atau ibu anak itu yang meninggal dunia, lalu bapanya mengambil tempat mendidik yang dilakukan oleh ibunya (bapanya juga dikira sebagai kafil al-yatim). (Lihat Fath al-Bari).
Kesimpulan: InsyaAllah kanak-kanak yang kematian ibu sahaja juga termasuk di dalam kumpulan anak yatim.