Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
TAKRIFAN MASJID
Masjid pada bahasa ialah:
- Kata Ibn Manzhur المسجد dengan س dibaris fathah atau kasrah: “yang disujud padanya”. Kata al-Zajjaj: “Setiap tempat yang dilakukan ibadat padanya maka ia masjid.”
- Kata Sibawaih: “Adapun masjid, mereka menjadikan kata nama untuk bait (rumah)…”
- Kata Ibn al-‘Arabi: “Masjad adalah Mihrab al-Buyut. Musalla al-Jama’aat adalah masjid. Al-Masajid adalah jama’nya.”
Berdasarkan pengertian yang diberikan oleh para ulama dapat disimpulkan lafaz masjid dengan fathah Jim adalah Isim Makan dari kalimah سجد di bawah bab كتب مكتب dan سعى مسعى. Namun istilah Syar’ie menggunakan lafaz masjid dengan Jim dibaris kasrah seperti firman Allah:
لَّمَسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ يَوۡمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِۚ
Maksudnya: “…Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (mesjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu sholat di dalamnya…” (al-Taubah: 108)
Sebahagian arab pula meringankan sebutan pada tempat jim dengan ي, lalu disebut مَسْيَد[1].
Masjid pada istilah ialah:
- Tempat yang disediakan untuk menunaikan solat lima waktu (المكان المهيَّأ للصلوات الخمس)[2]
Namun takrifan ini terdedah kepada kritikan kerana tidak semua tempat yang disediakan untuk solat lima waktu itu masjid, ia juga tidak diwakafkan kerana Allah Taala. Sedangkan mewakafkan tempat termasuk salah satu syarat sesuatu masjid berdasarkan ijmak.[3]
Selain itu juga, Allah SWT telah menjadikan bumi ini sebagai tempat untuk menunaikan solat berdasarkan hadis Nabi SAW:
جعلت لي الأرض مسجداً وطَهوراً
Maksudnya: “Dijadikan kepadaku muka bumi itu sebagai masjid dan alat bersuci.”
2. Satu kawasan (بقعة) dari permukaan bumi yang dijadikan untuk Allah Taala dan dikhususkan untuk solat (بقعة من الأرض جعلت لله تعالى وخصصت للصلاة)
Takrifan ini jug dikritik kerana tidak dikhususkan untuk solat lima waktu. Maka ia akan menjadikan tempat solat hari raya, tempat solat jenazah yang diwakafkan sebagai masjid. Sedangkan masjid adalah disediakan untuk menunaikan solat lima waktu dan sah iktikaf di dalamnya berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تُبَٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمۡ عَٰكِفُونَ فِي ٱلۡمَسَٰجِدِۗ
Maksudnya: “… janganlah kamu menggauli mereka itu (para isteri), sedang kamu beri´tikaf dalam mesjid…” (al-Baqarah: 187)
3. Di sisi ulama mazhab Hanafi dan al-Syafie masjid ialah: “Tempat yang diwakafkan untuk menunaikan solat jamaah”[5]” (المكان الموقوف لأداء صلاة الجماعة)
Dr. Ibrahim bin Soleh al-Khudhairi mentarjihkan pengertian ini yang menjadikan sesuatu tempat itu dianggap masjid apabila ia diwakafkan dan untuk ditunaikan solat jamaah.
BATAS MASJID
Terdapat berbagai ‘ibarat yang digunakan oleh para ulama dalam menetapkan batas masjid. Antara yang disebut ialah:
- Tempat yang disediakan secara uruf untuk menunaikan solat lima waktu[6] المكان المهيأ عرفا للصلوات الخمس.
- Bangunan yang diwakafkan yang dikhususkan untuk solat fardhu lima waktu dan selainnya[7] المبنى الموقوف المخصص للصلوات الخمس المفروضة وغيرها.
- Kawasan atau tempat dari permukaan bumi yang menjadi bebas dari pemiliki individu dan ia kembali kepada pemilikan Allah Taala dan dikhaskan untuk solat dan ibadat[8] بقعة من الأرض تحررت من التملك الشخصي وعادت إلى ما كانت عليه لله تعالى وخصصت للصلاة والعبادة.
- Tempat yang khas dan memiliki hukum-hakam yang khas, dibina untuk didirikan ibadah solat, zikrullah dan membaca al-Quran[9].
Jika diperhatikan kepada pengertian di atas, terdapat beberapa ciri yang diberi tumpuan oleh para ulama dalam memberikan batasan masjid:
- Kembali kepada ‘Uruf.
- Diimarahkan dengan solat lima waktu, zikrullah dan ibadat.
- Berupa bangunan dan bukan semata-mata tanah lapang[10] atau sekadar khemah. Ketiadaan bangunan khas sebagai masjid merupakan bukti ia masih berada dalam pemilikan individu dan ‘uruf tidak beranggapan ia telah diserahkan untuk beribadah kepada Allah buat-selama-lamanya.
‘AQAD AL-MU’AWADHAH DI DALAM MASJID
Fuqahaa’ membahagikan ‘Uqud al-Mu’awadhat dari sudut tempat kepada empat bahagian:
- Mubadalah Mal bi Mal seperti البيع والسلم والصلح عن مال.
- Mubadalah al-Mal bi al-Manfa’ah seperti al-Ijarah, al-Istisnaa’, al-Ja’alah dan alMusabaqah.
- Mubadah Manfa’ah bi Manfa’ah seperti al-Muhaya’ah المهايأة[11].
- Mubadalah Mal atau Manfa’ah dengan apa-apa yang bukan Mal dan Manfa’ah seperti perkahwinan.
Selain itu dari sudut kehendak dua pihak yang berurusan, fuqaha membahagikan kepada dua bahagian pula:
- Al-Mu’awadhat al-Mahdhah iaitulah apa-apa yang memaksudkan al-Mal dari kedua-dua pihak. seperti jual-beli, al-Ijarah, al-Salam, al-Muhaya’ah dan al-Istishnaa’. Jika kedua-dua yang berakad tidak memaksudkan keuntungan harta maka transaksi tersebut bukan Mu’awadhah Mahdhah.[12]
- Mu’awadhat Ghair Mahdhah iaitulah sama ada dari satu pihak sahaja yang memaksudkan keuntungan harta atau kedua-dua tidak memaksudkan keuntungan harta seperti al-Ja’alah atau al-Musabaqah.
Kata al-Zarkashi di dalam al-Manthur:
المعاوضة قسمان: محضة وغير محضة، فالمحضة: ما يفسد العقد فيها بفساد العوض، وغير المحضة ما لا يفسد، وإن شئت قلت: المعاوضة المحضة: ما يقصد فيها المال من الجانبين، والمراد بالمال: ما يعم المنفعة وغيرها مما يتمول، وغير المحضة: ما لم تكن كذلك
Maksudnya: “”[13]
HUKUM JUAL-BELI DI DALAM MASJID BAGI SELAIN MU’TAKIF
Terdapat tiga gambaran jual-beli di dalam masjid:
Gambaran Pertama:
Menjadikan masjid sebagai tempat jual-beli atau seseorang menjadikan masjid sebagai tempat kebiasaannya untuk pergi berjual-beli sekalipun dalam kuantiti yang sedikit. Keadaan seperti ini diharamkan dengan ittifaq fuqaha. Antara dalilnya ialah:
Firman Allah SWT:
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرۡفَعَ وَيُذۡكَرَ فِيهَا ٱسۡمُهُۥ يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ ٣٦
Maksudnya: “Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang.” (al-Nur : 36)
Bentuk Pendalilan
Di dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan maksud didirikan masjid adalah untuk zikrullah dan beribadah kepadaNya. Jual-beli pula bertentangan dan dapat memalingkan maksud ini. Kerana itu terdapat hadis yang melarang aktiviti jual-beli di lakukan di dalam masjid, antaranya:
أنَّ رسولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهى عنِ الشِّراءِ والبيعِ في المسجدِ وأنْ تُنشَدَ فيه ضالَّةٌ، وأنْ يُنشَدَ فيه شِعرٌ ، ونَهى عَنِ التَّحَلُّقِ قبلَ الصلاةِ يومَ الجمُعَةِ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW melarang dari berjual beli di dalam masjid, mencari sesuatu yang hilang[16], dilaungkan sya’ir[17] dan baginda melarang duduk dalam bentuk halaqah sebelum solat Jumaat[18].”
(Isnad Hasan oleh al-Nawawi di dalam al-Khulasah 2/787 dan Hasan oleh al-ALbani di dalam Sahih Abi Daud. Atas talian https://www.dorar.net/hadith/sharh/84689)
Terdapat berbagai sebab yang dinyatakan oleh para ulama terhadap larangan التَّحَلُّقِ قبلَ الصلاةِ يومَ الجمُعَةِ , antaranya[19]:
- Apabila orang ramai membuat lingkungan (halaqah), maka pada kebiasaannya mereka akan berbual dan meninggikan suara. Jika ini yang berlaku, maka mereka tidak akan mendengar lagi khutbah sedangkan mereka diperintahkan mendengarnya.
- Makruh berhimpun sebelum solat Jumaat sama ada untuk majlis ilmu atau saling menyampaikan tazkirah. Sebaliknya hendaklah menyibukkan diri menunaikan solat dan diam untuk mendengar khutbah. Manakala setelah selesai solat dibenarkan hal tersebut.
- Tegahan berhimpun di dalam masjid sebelum solat Jumaat jika perhimpunan itu berlaku dalam bentuk عم المسجد وغلبه dan hukumnya makruh. Tidak mengapa jika sedikit atau tidak menyeluruh ke seluruh kawasan di dalam masjid.
- Perhimpunan hari Jumaat adalah mendengar khutbah Jumaat. Maka tidak wajar bagi sesiapa yang menghadirinya menyibukkan diri atau memberi perhatian kepada perkara lain sehinggalah selesai solat Jumaat.
- Larangan al-Tahalluq sebelum solat Jumaat mewujudkan pemecahan antara para jemaah. Sedangkan asal perintah Jumaat ialah mewujudkan perhimpunan dan kesatuan.
- Hadis Abu Hurairah pula Rasulullah SAW bersabda:
إذا رأيتُم مَن يبيعُ أو يبتاعُ في المسجدِ، فقولوا: لا أربحَ اللهُ تِجارتَك، و إذا رأيتُم مَن ينشد الضالة في المسجد فقولوا لا ردها الله عليك
Maksudnya: “Apabila kamu melihat sesiapa yang berniaga di dalam masjid, maka katakan: “Semoga Allah tidak memberi keuntungan dalam perniagaan kamu. Apabila kamu melihat seseorang yang mencari kepunyaannya yang hilang di dalam masjid, maka katakan: “Semoga Allah tidak mengembalikan semula barangan kamu yang hilang itu.”
(al-Tirmizi, kata beliau: Hadis Hasan Gharib. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan al-Hakim. Al-Bazzar dan al-Daraqutni mentarjihkan hadis ini sebagai Irsal[20])
Bentuk Pendalilan
Rasulullah SAW melarang berjual-beli, mencari barang yang hilang, dan menyampaikan nasyid di dalam masjid. Maka menjadikan masjid sebagai pasar lebih utama dilarang.
Perkataan Salaf
- Imam Malik meriwayatkan daripada ‘Athaa’ bin Yasar yang berkata kepada mereka yang hendak berniaga di masjid:
عليك بسوق الدنيا، فإنما هذا سوق الآخرة
Maksudnya: “Pergilah kamu ke pasar dunia, adapun di sini hanyalah pasar akhirat.” (al-Muwattha’ 1/174)
2. ‘Imran al-Qasir (عمران القصير) melihat seorang lelaki menjual barangnya di dalam masjid lalu dia berkata:
هذه سوق الآخرة، فإن أردت التجارة فاخرج إلى سوق الدنيا
Maksudnya: “Ini adalah pasar akhirat, jika kamu mahukan perniagaan dunia maka keluarlah menuju ke pasar dunia.” (al-Mughniy 6/383)
Secara umumnya athar-athar dari sahabat dan tabi’ien menunjukkan terdapat larangan berniaga di dalam masjid. Cuma terdapat pernyataan dari al-Tirmizi dari sebahagian tabi’ien yang memberi keringanan untuk berniaga di dalam masjid. Kata al-Tirmizi RH:
وقد كره قوم من أهل العلم البيع والشراء في المسجد و به يقول أحمد وإسحاق، وقد روي عن بعض أهل العلم من التابعين رخصة في البيع والشراء في المسجد
Maksudnya: “Dan telah menghukumkan makruh satu kumpulan ulama dari berjual-beli di dalam masjid. Inilah pandangan Ahmad dan Ishak. Telah diriwayatkan juga daripada sebahagian ulama dari kalangan tabi’ien akan keringanan untuk berjual-beli di dalam masjid.”[21] (Sunan al-Tirmizi 2/275)
Ibn Rajab di dalam Fath al-Bari menyebut sebahagian ulama tersebut. Beliau berkata:
وحكى الترمذي في جامعه قولين لأهل العلم من التابعين في كراهة البيع في المسجد، والكراهة قول الشافعي وأحمد وإسحاق ، وهو عند أصحابنا كراهة تحريم ، وعند كثير من الفقهاء كراهة تنزيه، وللشافعي قول: أنه لا يكره، وهو قول عطاء وغيره
Maksudnya: “al-Tirmizi menghikayatkan di dalam jami’nya dua pandangan ahli ilmu dari kalangan tabi’ien pada hukum makruh berjual-beli di dalam masjid. Makruh ini adalah pandangan al-Syafi’ie, Ahmad dan Ishak. Di sisi sahabat kami ia adalah karahah tahrim. Di sisi kebanyakan fuqaha karahah tanzih. Bagi al-Syafi’ie juga ada pandangan yang ia bukan makruh dan ialah juga pandangan ‘Athaa dan selainnya.”[22]
Gambaran Kedua:
Peniaga berada di masjid bersama barang jualan, lalu pembeli datang dan membelek-belek barang jualan dan membelinya. Ulama berbeza pandangan jual-beli di masjid dalam gambaran seperti ini:
Pandangan pertama: Harus jika sedikit, haram jika banyak. Inilah pandangan sebahagian ulama Hanafi[23], Maliki[24] dan Syafi’ie[25]. Ulama Maliki dan Syafi’ie mensyaratkan jika ia berlaku secara ittifaqan bukan qasdan.
Dalil:
- Hadis ‘Ali RA:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَمَّا افْتَتَحَ مَكَّةَ ، وَأَتَاهُ أُنَاسٌ مِنْ قُرَيْشٍ ، فَقَالُوا : يَا مُحَمَّدُ ، إِنَّا حُلَفَاؤُكَ وَقَوْمُكَ ، وَإِنَّهُ قَدْ لَحِقَ بِكَ أَبْنَاؤُنَا وَأَرِقَّاؤُنَا ، وَلَيْسَ بِهِمْ رَغْبَةٌ فِي الْإِسْلَامِ ، وَإِنَّمَا فَرُّوا مِنَ الْعَمَلِ ، فَارْدُدْهُمْ عَلَيْنَا ، فَشَاوَرَ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فِي أَمْرِهِمْ ، فَقَالَ : صَدَقُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ ، فَتَغَيَّرَ وَجْهُهُ ، فَقَالَ : يَا عُمَرُ ، مَا تَرَى ؟ فَقَالَ مِثْلَ قَوْلِ أَبِي بَكْرٍ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ ، لَيَبْعَثَنَّ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْكُمْ رَجُلًا مِنْكُمُ ، امْتَحَنَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ قَلْبَهُ لِلْإِيمَانِ ، يَضْرِبُ رِقَابَكُمْ عَلَى الدِّينِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ : أَنَا هُوَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : لَا قَالَ عُمَرُ : أَنَا هُوَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : لَا ، وَلَكِنَّهُ خَاصِفُ النَّعْلِ فِي الْمَسْجِدِ قَالَ : وَكَانَ قَدْ أَلْقَى إِلَى عَلِيٍّ عَلَيْهِ السَّلَامُ نَعْلَهُ يَخْصِفُهَا قَالَ : وَقَالَ عَلِيٌّ : أَمَا إِنِّي سَمِعْتُهُ يَقُولُ : لَا تَكْذِبُوا عَلَيَّ ، فَإِنَّهُ مَنْ يَكْذِبْ عَلَيَّ يَلِجِ النَّارَ
Maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda ketikamana pembukaan Mekah, ketika orang-orang Quraish menemui baginda dan berkata: “Wahai Muhammad, sesungguhnya kami adalah Hulafaa dan kaummu. Sesungguhnya terlah bergabung bersamamu anak-anak kami dan para hamba kami. Mereka sebenarnya tiada keinginan terhadap Islam sebaliknya mereka lari dari bekerja, kembalikanlah mereka kepada kami. Maka baginda berbincang dengan Abu Bakar RA dalam perkara ini, beliau berkata: “Mereka benar wahai Rasulullah.” Sehingga menyebabkan berubah air muka baginda. Lalu baginda bersabda: “Apa pandanganmu wahai ‘Umar?” lalu ‘Umar memberi jawapan sama seperti jawapan Abu Bakar. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian orang Quraish. Allah pasti akan mengutuskan seorang lelaki kepada kamu semua dari kalangan kamu semua juga, Allah telah menguji jantung hatinya kepada iman, lalu dia berperang kerana agama ini. Lalu Abu Bakar berkata: “Aku orang itu wahai Rasulullah. Baginda menjawab: “bukan” kata ‘Umar: “Aku orang itu wahai Rasulullah.” Baginda menjawab: “tidak, akan tetapi orang itu ialah yang menjahit kasut di dalam masjid dan baginda pernah menyerahkan kasut baginda kepada ‘Ali untuk dijahitnya. Berkata ‘Ali; Sesunnguhnya aku mendengar baginda bersabda: “Jangan kamu semua berdusta atas namaku, kerana sesungguhnya sesiapa yang berdusta atas namaku dia akan masuk ke dalam neraka.” (al-Tahawi di dalam Syarh Ma’ani al-Athar[26] 4/309. Dinilai Sahih oleh al-Tahawi, al-Hakim di dalam al-Mustadrak 2//149 dan disepakati oleh al-Zahabi. Dinilai Hasan oleh Syu’aib al-Arnaouth)
Kata al-Tahawi: “apakah kamu tidak perhatikan bahawa Rasulullah SAW tidak melarang Ali dari menjahit (خصف) kasut di dalam masjid. Dan bahawasanya orang ramai jika berhimpun sehingga memenuhi (حتى يعموا) masjid untuk menjahit kasut perkara itu adalah makruh. ketikamana tidak memenuhi (لا يعم) masjid, tidak makruh. dan apa-apa yang memenuhi masjid maka ia makruh. demikian itu tentang berjual beli, menyampaikan syair dan membuat halaqah sebelum solat Jumaat dari suatu yang memenuhi masjid maka ia makruh. adapun jika tidak memenuhi masjid dan tidak mendominasi maka tidak makruh.”[27]
- Hadis yang melarang berjual beli di dalam masjid difahami bermaksud menjadikan masjid sebagai tempat berjual-beli seperti pasar. Berlaku di dalamnya aktiviti jualan dan perpindahan barangan ke dalamnya, sebagai mentaufiqkan hadis larangan dengan hadis ‘Ali berkaitan menjahit kasut di masjid.[28]
Dalil (1) dan (2) ini dipertikaikan oleh sebahagian ulama dengan mengatakan:
- Jika diterima pandangan ulama yang mensahihkan hadis ‘Ali ini sekalipun, ia boleh difahami perbuatan ‘Ali itu adalah secara sukarela sepertimana bolehnya perbuatan beliau itu difahami sebagai mencari rezeki. Dengan wujudnya andaian ini maka gugurlah pengistidlalan dengannya.
- Hadis ‘Ali termasuk dalam kategori Mujmal dan Mutasyabih. Sedangkan hadis larangan berjual-beli di dalam masjid Mubayyan dan Muhkam. Qaedah menyatakan: حمل المجمل على المبين والمتشابه على المحكم.
Pandangan kedua: Makruh berjual-beli di masjid. Inilah pandangan ulama Maliki[29], Syafi’ie[30], al-Zahiri[31] dan sebahagian ulama Hambali[32]. Ulama mazhab Maliki mengecualikan jual beli yang menimbulkan riuh-rendah اللغط dan panggil-memanggil dan hiruk-pikuk المناداة, maka ketika ini ia menjadi haram[33].
Dalil:
- Nabi SAW melarang berjual-beli di dalam masjid adalah larangan Tanzih bukan Tahrim. Hadis ‘Ali menjahit kasut di masjid dijadikan qarinah yang ada bagi memalingkan larangan daripada tahrim kepada tanzih.
- Berinteraksi dengan akad jual beli di dalam masjid boleh membawa kepada suara riuh-rendah yang ditegah[34].
Pandangan ketiga: Haram jual-beli di dalam masjid. Inilah pandangan ulama mazhab Hanafi[35], Hambali[36] dan sebahagian Maliki[37].
Dalil:
- Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
إذا رأيتُم مَن يبيعُ أو يبتاعُ في المسجدِ، فقولوا: لا أربحَ اللهُ تِجارتَك، وإذا رأيتم من ينشد الضالة في المسجد فقولوا لا ردها الله عليك
Maksudnya: “Jika kamu melihat siapa yang berjual beli di dalam masjid, maka ucapkan kepadanya: Semoga Allah tidak memeri keuntungan dalam perniagaanmu.” Jika kamu melihat sesiapa yang mencari sesuatu yang hilang di dalam masjis maka katakan kepadanya: “Semoga Allah tidak mengembalikan barangmu yang hilang kepadamu.”
Bentuk pendalilan
1. Baginda melarang berjual-beli di dalam masjid. Maka asal larangan membawa hukum haram.
2. Dalam hadis menunjukkan Nabi SAW memerintahkan untuk didoakan keburukan untuknya. Doa keburukan tidak akan dianjurkan oleh Nabi melainkan kepada sesuatu perbuatan maksiat.
3. Jual-beli di dalam masjid akan menimbulkan suasana hiruk-pikuk di dalamnya.
4. Jual-beli di dalam masjid mencemarkan kemuliaan dan kesucian masjid.
Tarjih:
Pandangan pertama iaitulah harus berjual-beli di dalam masjid jika sedikit. Makruh jika banyak dengan syarat ia berlaku secara ittifaqan bukan qasdan atas alasan:
- Berdasarkan hadis daripada Ka’ab bin Malik
أنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أبِي حَدْرَدٍ دَيْنًا كانَ له عليه، في عَهْدِ رَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ في المَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أصْوَاتُهُما حتَّى سَمِعَهَا رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، وهو في بَيْتٍ، فَخَرَجَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ إلَيْهِمَا، حتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ، فَنَادَى كَعْبَ بنَ مَالِكٍ: فَقالَ يا كَعْبُ، فَقالَ: لَبَّيْكَ يا رَسولَ اللَّهِ، فأشَارَ بيَدِهِ أنْ ضَعِ الشَّطْرَ، فَقالَ كَعْبٌ: قدْ فَعَلْتُ يا رَسولَ اللَّهِ، فَقالَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: قُمْ فَاقْضِهِ
Maksudnya: “bahawasanya Ka’ab meminta Ibn Abi Hadrad melangsaikan hutangnya di zaman Rasulullah SAW di dalam masjid, menjadi tinggi suara mereka berdua sehingga didengari oleh Rasulullah SAW yang berada di dalam rumah. Baginda keluar menemui mereka berdua dan menyingkap tirai bilik baginda dan memanggil Kaab bin Malik seraya berkata: Wahai Kaab. Jawab Kaab” Labbaik ya Rasulullah. Lalu baginda mengisyaratkan dengan tangan kepada Kaab untuk mengurangkan separuh (tuntutan hutangnya). Lalu Kaab berkata: “daku telah melakukannya wahai Rasulullah.” Lalu Rasulullah bersabda: “Bangun dan langsaikan hutanmu kepadanya (Kaab).” (Muttafaqun ‘alaih)
Hadis ini menunjukkan boleh al-Sulh ‘an Iqrar[38] di dalam masjid. Kadang-kala Sulh ‘an Iqrar boleh berlaku dalam bentuk semakna dengan jual-beli seperti berlakunya tawar-menawar. Maka jika jual-beli haram di dalam masjid sudah tentu baginda tidak akan mendamaikan mereka di dalam masjid. Seperti yang dimaklumi al-Sulh ‘an Iqrar terbahagi kepada dua iaitulah Sulh Mu’awadhah صلح معاوضة yang sama hukum dengan jual-beli dan Sulh Isqath صلح إسقاط yang berbeza dengan jual-beli. Terdapat ulama yang berpandangan apa yang berlaku antara Ka’ab dan Ibn Abi Hadrad adalah Sulh Isqath إسقاط yang berbeza dengan jual-beli. Kerana itu Nabi SAW tidak membantah mereka.
Namun alasan ini tertolak disebabkan hasil Sulh adalah suatu yang belum pasti. Mungkin sahaja Kaab menggugurkan sebahagian daripada harta miliknya yang ada pada Ibn Abi Hadrad. Mungkin juga beliau tidak menggugurkannya langsung. Jika demikian maka jadilah Sulh itu sama dengan jual-beli. Apabila ada kemungkinan kedua-dua ini, maka mustahil baginda Nabi SAW membiarkan perkara itu berlaku di dalam masjid yang sudah tentu akan menyebabkan berlaku perkara yang dilarang di dalam masjid iaitulah jual-beli dan apa-apa yang semakna dengannya. Ibn Rajab[39] ketika mensyarahkan hadis ini berkata:
وهذا مما يعتضد به من يجيز البيع والشراء في المسجد كما دل عليه تبويب البخاري في الباب الماضي،
Maksudnya: “dan ini termasuk sesuatu yang menguatkan (pandangan) mereka yang mengharuskan berjual-beli di dalam masjid sepertimana yang terbukti pada tabwib al-Bukhari di dalam bab yang lalu.”
Cumanya beliau sertakan juga pandangan sebaliknya dengan berkata:
ومن كره البيع فرق بينه وبين التقاضي بأن البيع في المسجد ابتداء لتحصيل المال فيه، وذلك يجعل المسجد كالسوق اَلْمُعَدِّ للتجارة، واكتساب الأموال ، والمساجد لم تبن لذلك ، ولهذا قال عطاء بن يسار وغيره لمن رأوه يبيع في المسجد: عليك بسوق الدنيا ، فهذا سوق الآخرة
Maksudnya: “Sesiapa yang memakruhkan jual-beli membezakan antaranya dengan al-Taqadhi dengan mengatakan al-Bai’ di dalam masjid bertujuan memperolehi harta di dalam masjid, demikian itu menjadikan masjid seperti pasar, yang diajdikan satu tempat untuk berniaga dan memperolehi harta sedangkan masjid-masjid tidak dibina untuk itu. Kerana itu ‘Atho bin Yasar dan selain beliau akan berkata kepada sesiapa yang dilihat berjual-beli di dalam masjid: “Pergilah ke pasar dunia, adapun tempat ini adalah pasar akhirat.”
2. Tegahan berjual-beli di dalam masjid bukan مقصودا لذته sebaliknya disebabkan suara riuh rendah dan gangguan kepada orang yang menunaikan solat. Justeru larangan adalah khas kerana hal ini berdasarkan harus mengkhususkan dalil yang umum dengan illah yang diistinbathkan berdasarkan pandangan yang lebih benar.
3. Maksud tegahan berjual-beli di dalam masjid adalah jual-beli yang memenuhi masjid dan mendominasi (يعم المسجد ويغلب عليه). Oleh itu larangan berjual-beli, menyampaikan syair, mencari barang hilang dan membuat halaqah-halaqah sebelum solat Jumaat menghimpunkan illah yang sama iaitulah wujudnya suara tinggi dan riuh-rendah. Manakala apa-apa yang sedikit adalah suatu yang diberi kemaafan di dalam agama yang suci ini[40].
4. Sekalipun asas masjid dibina adalah bertujuan zikrullah dan beribadah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 125:
وَعَهِدۡنَآ إِلَىٰٓ إِبۡرَٰهِۧمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيۡتِيَ لِلطَّآئِفِينَ وَٱلۡعَٰكِفِينَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ ١٢٥
Maksudnya: "Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: "Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang thawaf, yang i´tikaf, yang ruku´ dan yang sujud" (al-Baqarah: 125)
dan firmanNya:
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرۡفَعَ وَيُذۡكَرَ فِيهَا ٱسۡمُهُۥ يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ ٣٦
Maksudnya: “Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang.” (al-Nur: 36)
Akan tetapi terdapat beberapa perkara yang dilakukan oleh Nabi dan para sahabat di dalam masjid dan perkara tersebut terkeluar dari tujuan masjid dibina. Namun perkara itu berlaku secara sedikit maka ia dibenarkan. Antara perkara itu ialah berdasarkan riwayat ‘Aisyah RA yang berkata:
لَمَّا أُصيب سعدٌ في الأكحَل يوم الخندق، "فضربَ عليه رسولُ الله صلَّى الله عليه وسلَّم خيمةً في المسجد؛ لِيَعوده مِن قريب، فلم يَرُعهم وفي المسجد خيمة من بني غفار إلا دما يسيل إليهم، فقالوا: يا أهل الخيمة ما هذا الذي يأتينا من قبلكم؟ فإذا سعد يغذو جرحه دما فمات فيها
Maksudnya: “Ketikamana Sa’ad (bin Mu’az) kecederaan di al-Akhal (urat di tengah hasta yang menyebabkan darah terus mengalir keluar). Rasulullah SAW memasang khemah di masjid untuk menziarahinya dari dekat. Tidaklah mengejutkan mereka dari bani Ghifar akan khemah di dalam masjid melainkan disebabkan darah yang mengalir ke arah mereka. Lalu mereka berkata: “Wahai penghuni khemah, apakah darah yang mengalir dari arah kamu ini? Itulah darah Sa’ad yang mengalir dari lukanya. Beliau syahid disebabkan luka tersebut.” (al-Bukhari dan Muslim)
Demikian juga berdasarkan perkataan ‘Aisyah RA:
لقَدْ رَأَيْتُ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَوْمًا علَى بَابِ حُجْرَتي والحَبَشَةُ يَلْعَبُونَ في المَسْجِدِ، ورَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَسْتُرُنِي برِدَائِهِ، أنْظُرُ إلى لَعِبِهِمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku pernah melihat Rasulullah SAW pada suatu hari berada di pintu bilikku, sedangkan orang Habasyah sedang bermain di dalam masjid. Rasulullah melindungiku dengan selendangnya untuk aku menyaksikan permainan mereka.” (al-Bukhari dan Muslim)
Dua hadis ini menjadi bukti bolehnya melakukan perbuatan yang menyalahi tujuan asal pembinaan masjid jika sedikit.
Jika dikatakan: “membenarkan jual-beli di dalam masjid akan membawa kepada suasana riuh-rendah dan bising di dalam masjid yang ditegah.” Dijawab dengan mengatakan perbuatan yang sedikit tidak mencemarkan kemuliaan masjid. Jual-beli yang banyak juga kadang-kala sahaja boleh membawa kepada perbuatan yang mencemar kesucian masjid, kadang kalanya tidak. Namun jual-beli yang banyak dan besar di dalam masjid ditegah kerana سدا للذريعة. Ketikamana jual-beli yang sedikit itu tidak mencemarkan kemuliaan masjid melainkan nadir, maka sesuatu yang nadir itu tidak dijadikan ukuran dalam membina hukum (والنادر لا حكم له وأن اليسير مغتفر في الشريعة)[41].
DABITH MEMBEZAKAN ANTARA BANYAK DAN SEDIKIT
Sedikit ialah apa-apa akad jual-beli yang tidak disedari berlaku di dalam masjid oleh seseorang yang berada di dalamnya kerana aktiviti berulang-alik untuk berjual-beli berlaku dalam bentuk yang sedikit. Demikian juga kawasan dalam masjid tidak disibukkan dengan barangan jualan. Kata al-Baji di dalam al-Muntaqa:
قد روى ابن القاسم عن مالك في المجموعة لا بأس أن يقضي الرجل الرجل في المسجد ديناً، فأما ما كان بمعنى التجارة والصرف فلا أحبه، فأرخص في القضاء لخفته و قلة ما يحظر منه، فأما المصارفة فيحظر كل واحد منه بما يعاوض به وتكثر المراجعة، وهذان المعنيان هما المؤثران في المنع، ولعله يريد بذلك كثرة اللغط ولم يحظر فيه يسير العمل، ولو كان قضاء المال حسيما تتكلف المؤنة في استجلابه ووزنه و انتقاده ويكثر العمل فيه لكترته لكان مكروها، وفي المبسوط عن مالك: لا أحب لأحد أن يظهر سلعة في المسجد للبيع، فأما أن يساوم رجلا بثوب عليه أو سلعة تقدمت رؤيته لها ومعرفته بها، فيواجبه البيع فيها فلا بأس به...
Maksudnya: “Ibn al-Qasim telah meriwayatkan daripada Malik di dalam al-Majmu’ah (al-Mudawwanah), tidak mengapa seorang lelaki menunaikan hutangnya kepada seorang lelaki lain di dalam masjid. Adapun apa-apa yang sama makna dengan perniagaan dan al-Sarf (pertukaran), aku tidak menyukainya. Aku berikan keringanan pada al-Qadha kerana kecil dan sedikit apa yang berlaku dari perkara yang dilarang. Adapun al-Musarafah (saling tukar-menukar pemilikan) maka dilarang setiap satu darinya kerana apa-apa yang dipertukarkan dengannya dan banyak aktiviti ulang-alik. Dua perkara ini memberi kesan pada larangan. Barangkali beliau maksudkan banyaknya bunyi hiruk-pikuk dan tidak dilarang jika perbuatan yang sedikit. Dan sekiranya melangsaikan harta yang besar yang memerlukan belanja mendatangkannya, menimbangnya dan banyak pekerjaan disebabkan banyak jumlahnya, sudah tentu ia suatu yang makruh. Di dalam al-Mabsuth[42] daripada Malik: “Aku tidak suka untuk seseorang menzahirkan barang jualannya di masjid untuk dijual. Adapun jika seseorang saling tawar-menawar dengannya untuk sehelai baju atau satu barang jualannya yang telah dilihat dan diketahui tentang barang tersebut sebelumnya, lalu dia mengilzamkan menjualnya, maka tidak mengapa…”
Kesimpulan:
- Menjadikan masjid sebagai tempat berniaga adalah haram.
- Aktiviti jual-beli yang banyak di dalam masjid adalah makruh. Jika ia mengganggu orang yang berada di dalam masjid, maka ia diharamkan.
- Diharuskan jual-beli yang sedikit di dalam masjid.
- Menjadikan masjid sebagai tempat jual-beli seperti pasar اتخاذ المسجد محلا للتجارة, tetapi dalam bentuk yang sedikit adalah satu tindakan helah yang diharamkan.
Gambaran ketiga:
Akad jual-beli dilakukan di dalam masjid tanpa ada barang jualan. Para ulama berbeza pandangan seperti berikut:
Pandangan pertama: Harus akad jual-beli di dalam masjid tanpa bersama barang dagangan. Inilah pandangan ulama mazhab Maliki[43].
Dalil:
Ijab dan qabul akad jual beli di dalam masjid termasuk dalam perkataan yang harus. Maka ia mengambil hukum harus tersebut.
Pandangan kedua: Makruh. Inilah pandangan ulama mazhab Syafi’ie[44] dan sebahagian ulama Hambali[45].
Pandangan ketiga: Haram. Pandangan sebahagian ulama Maliki[46] dan pandangan ulama mazhab Hanafi[47] dan Hambali[48].
Dalil:
Pandangan kedua dan ketiga menggunakan dalil yang sama dalam persoalan gambaran kedua sebelum ini.
Tarjih:
Pandangan yang lebih menghampiri kebenaran ialah pandangan pertama selama mana akad jual-beli yang berlaku tanpa dihadirkan barang jualan secara bebas dari menghasilkan suasana riuh rendah dan hiruk-pikuk. Ini kerana maksud larangan di dalam hadis dari berjual-beli di dalam masjid adalah bagi tujuan menghalang wujudnya suasana riuh-rendah dan hiruk-pikuk untuk manfaat sekumpulan orang sahaja.
HUKUM AKAD JUAL-BELI DI DALAM MASJID
Terdapat dakwaan telah berlaku ijmak akad jual-beli yang dilakukan di masjid adalah sah. Antaranya:
- Ibn Battal RH
وقد أجمع العلماء أن ما عقد من البيع في المسجد أنه لا يجوز نقضه
Maksudnya: “Dan telah ijmak para ulama bahawa apa-apa akad jual-beli di dalam masjid tidak boleh dibatalkan.”[49]
- Kata al-Marizi RH
واختلفوا في جواز ذلك في المسجد مع اتفاقهم على صحة العقد لو وقع
Maksudnya: “Dan para ulama berbeza pandangan pada keharusan demikian itu (berjual-beli) di dalam masjid, pada masa yang sama mereka bersepakat sahnya akad tersebut jika berlaku.”[50]
-------------------------------------------------------
[1] Tathqif al-Lisan wa Talqih al-Jinan oleh Ibn al-Makki
[2] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 37/194
[3] Ahkam al-Waqf fi al-Syariah al-Islamiyyah 70-71
[4] Al-Mughniy 4/464 dan Ahkam al-Sajid fi al-Islam
[5] Al-Bahr al-Ra’iq 5/268 dan Hasyiah Ibn ‘Abidin 4/356
[6] Lihat I’lam al-Sajid oleh al-Zarkashi 28
[7] Ahkam al-Masajid fi al-Syariah al-Islamiyyah 1/11
[8] Ahkam al-Masajid fi al-Islam oleh al-Hariri 18
[9] Ahkam Hudur al-Masajid oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Ali bin Muhammad al-‘Askar, halaman: 7
[10] Al-Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat 97 dari surah al-Maidah:
جعل الله الكعبة البيت الحرام قياما للناس...
Maksudnya: “Dan Allah telah menjadikan Kaabah sebagai rumah suci tempat manusia berkumpul…” kata beliau: والبيت سمي بذلك لأنها ذات سقف وجدار، وهي حقيقة البيتية وإن لم يكن بها ساكن yang bermaksud: “dan al-Bait (rumah) dinamakan sedemikian itu kerana Kaabah itu memiliki bumbung dan dinding itulah hakikat rumah sekalipun tiada penghuni.”
[11] قسمة المنافع على التعاقب والتناوب
[12] Lihat Ahkam al-Ruju’ fi ‘Uqud al-Mu’awadhat al-Maliyyah 1/72-86
[13] Al-Manthur 3/186
[14] Syu’aib bin Muhammad bin Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash al-Qurashi
[15] Abdullah bin ‘Amr berdasarkan pandangan yang sahih di kalangan ulama hadis. (Lihat Su’alaat Abi Daud li al-Imam Ahmad 175)
[16] Merangkumi apa-apa yang hilang terdiri dari haiwan, barang, harta dan seumpamanya. إنشاد الضالة ialah mencari dan minta petunjuk tentangnya atau pemberitahuan tentang kehilangannya di dalam masjid. Terdapat pula doa yang diajarkan oleh Nabi SAW bagi sesiapa yag mencari barangannya yang hilang di masjid agar didoakan berdasarkan hadis Muslim:
مَن سمِع رجلًا ينشُدُ ضالَّةً في المسجدِ فليَقُلْ: لا ردَّها اللهُ عليك؛ فإنَّ المساجدَ لم تُبْنَ لهذا
Maksudnya: “sesiapa yang mendengar seseorang mencari sesuatu yang hilang di dalam masjid, maka katakanlah: Semoga Allah tidak mengembalikan barang yang hilang itu kepada kamu semula. Sesungguhnya masjid tidak dibina untuk itu.”
[17] Sebahagian ulama berpandangan larangan ini kepada sya’ir yang keji. Dikaitkan dengan masjid sebagai tanda bersungguh menjauhkannya dari masjid agar masjid bebas dari perkataan-perkataan keji disebabkan arab dahulu masih hampir dengan zaman jahiliyyah.
[18] Kerana ia akan memutuskan saf
[19] Lihat al-Adab oleh al-Baihaqi 103, ‘Aun al-Ma’bud 3/417 dan Mirqah al-Mafatih 2/615
[20] Lihat al-Bahr al-Zakkhar 6/47, Sahih Ibn Hibban 4/528, Sahih Ibn KHuzaimah 2/560, al-Mustadrak Hakim 2/65, al-‘Ilal al-Warid fi al-Ahadith al-Nabawiah oleh al-Daraqutni 10/64 dan Fath al-Bari oleh Ibn Rajab 2/525
[21] Al-Mubarakfuri mendakwa yang melarang adalah pandangan majoriti ulama dan yang benar.
[22] Fath al-Bari oleh Ibn Rajab 3/347
[23] Syarh Ma’aniy al-Athar 4/359
[24] Lihat al-Muntaqa oleh al-Baji 1/311
[25] Lihat al-Majmu’ 6/363
[26] Riwayat ini berdasarkan lafaz riwayat al-Tahawi. Dalam riwayat lain adanya sekadar هو خاصف النعل tanpa lafaz al-Masjid seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf 11/140-141, al-Tirmizi di dalam Sunannya pada Bab Manaqib ‘Ali bin ABi Talib RA 842-843 bilangan 3715 dan al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath 4/158. Dinilai Sahih oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak 4/323 dan Ibn Jarir seperti yang dinyatakan di dalam Kanz al-‘Ummal 13/173. Kata al-Tirmizi Hadis ini Hasan Sahih Gharib. Namun dinilai Lemah oleh al-ALbani melainkan ungkapan: من كذب علي متعمدا....
Di dalam riwayat lain disebut: خاصف النعل في الحجرة seperti riwayat al-Bazzar di dalam Musnadnya 3/118.
Dalam riwayat lain tiada perbualan antara Nabi dan para sahabat. Sebaliknya diriwayatkan baginda bersabda: ما أراكم تنتهون يا معشر قريش حتى يبعث الله عليكم من يضرب رقابكم على هذا, baginda enggan menyerahkan orang-orang yang dipinta oleh mereka dan baginda bersabda: هم عتقاء الله عز وجل seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya di dalam Kitab al-Jihad – Bab fi ‘Ubaid al-Musyrikin Yalhaquna bi al-Muslimin fa Yuslimun 476, bilangan 2702. Dinilai Sahih oleh Ibn Jarir dan al-Albani. (Lihat Kanz al-‘Ummal 10/473)
[27] Syarh Maani al-Athar 4/359
[28] Lihat Bada’ie al-Sana’ie 2/187
[29] Lihat al-Muntaqa 1/113
[30] Al-Hawi al-Kabir 3/257
[31] Al-Muhalla 7/572
[32] Al-Mughniy 6/383
[33] Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir 5/448
[34] Fath al-Bari oleh Ibn hajar 1/712
[35] Al-Mabsuth 3/135 iaitulah termasuk dalam Makruh Tahrim di sisi ulama Hanafi.
[36] Al-Furu’ 5/195
[37] Al-muntaqa Syarh al-Muwattha 1/311
[38] الصلح عن إقرار iaitulah seseorang membuat dakwaan atas seseorang lain akan sesuatu hutang, barangan atau manfaat. Lalu yang didakwa mengakuinya seterusnya berlaku sulh (perbincangan) sesama mereka, di mana yang mendakwa akan mengambil dari yang didakwa haknya yang dipersetujui bersama.
[39] Fath al-Bari oleh Ibn Rajab 3/348-349
[40] Lihat al-Zakhirah 8/24
[41] Al-Qarrafi menyebut kaedah ini di dalam al-Zakhirah. Ketika menyebut furu’ bagi kaedah ini beliau memasukkan keharusan jual-beli yang sedikit di dalam masjid. (lihat al-Zakhirah 8/24)
[42] Termasuk dari kitab ulama Maliki. Ditulis oleh Muhammad bin Muhammad terkenal sebagai Ibn ‘Arafah. Meninggal dunia 803H.
[43] Al-Muntaqa 1/311.
[44] Al-Majmu’ 6/364
[45] Al-Mughniy 6/383
[46] Mawahib al-Jalil li Syarh Mukhtasar Khalil 7/619
[47] Al-Bahr al-Ra’iq 2/326
[48] Al-Furu’ 5/195
[49] Syarh al-Bukhari oleh Ibn Battal 2/105
[50] Fath al-Bari oleh Ibn Hajar 1/712