SDI 1385: Hukum Haiwan Buruan Dengan Pistol dan Senapang

Soalan:

Hukum haiwan buruan dengan senjata apa seperti pistol dan senapang. apakah harus memakan haiwan yang diburu dengan senapang atau pistol?

Jawapan:

Hukum haiwan yang diburu dengan peluru pistol atau senapang adalah sama dengan hukum buruan dengan lembing dan tombak. oleh itu, haiwan buruan yang ditembak menggunakan pistol atau senapang sehingga peluru yang dilepaskan menembusi tubuh haiwan dan menumpahkan darah adalah halal dimakan. Dalil perkara ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

إذَا رَمَيْتَ بالمِعْرَاضِ فَخَزَقَ فَكُلْهُ، وإنْ أَصَابَهُ بعَرْضِهِ، فلا تَأْكُلْهُ

maksudnya: “Apabila kamu lancarkan mi’radh sehingga menembusinya maka makanlah buruan tersebut. Namun jika mengenai haiwan itu bahagian yang tumpul, maka jangan kamu memakannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kalimah المِعْرَاض dengan huruf mim dibaris kasrah adalah anak panah, tanpa bulu dan bilah. Boleh juga berupa kayu yang berat atau batu yang diasah dengan besi sehingga tajam di hujungnya, atau kayu yang tajam kedua hujungnya dan tebal pada bahagian tengahnya. Apabila dilontarkan ia akan jatuh tidak terpacak (jatuh terbaring). (Lihat komentar Bulugh al-Marah Li Ibn Hajar oleh al-Syeikh Samir bin Amin al-Zuhairi, hal: 409)

Di dalam Tuhfah al-Abrar Syarh Masabih al-Sunnah Li al-Imam al-Baghawi oleh al-Qadhi al-Baidhawi al-Syafi’ie, hal: 77 dinyatakan: “al-Mi’radh adalah anak panah yang berat, tidak memiliki bulu. kebanyakannya apabila menyasari sesuatu akan kena secara memanjang kerana itu dinamakan sebagai Mi’radhan.”    

Hadis ini menjadi dalil perletakan syarat berlaku tumbahan darah disebabkan luka yang menembusi tubuh bagi menghalalkan haiwan yang diburu dengan peluru seperti pistol dan senapang.  

Dalam kajian oleh Dr. ‘Adnan dan Dr Jamilah Rifa’ie dari Uni. Urduniyyah, mereka berdalilkan halal buruan dengan tembakan pistol berdasarkan hadis ini. (Laman fatwa Jordan: https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#.Yxx0XnZBzIV dilihat pada 10/9/2022 jam 6 ptg)


Cetak  
Wallahu a'lam