SDI 1411: Bersuci Bagi Anggota Yang Bersimen Atau Berbalut Patah  

Bersuci Bagi Anggota Yang Bersimen Atau Berbalut Patah

Saya ditimpa kemalangan dan mengalami cedera. Bagaimana saya hendak berwudhu dan mandi wajib untuk anggota badan yang berbalut?

Jawapan:

Seorang muslim yang tidak dapat bersuci seperti yang diperintahkan kerana terdapat sebahagian anggota taharah yang berbalut dan tidak boleh dikenakan air disebabkan luka, patah atau terbakar, dibolehkan menyapu air di atas balutan sebagai ganti basuhan atau mandi. Perkara ini disebut oleh para ulama sebagai sapuan di atas balutan luka (العصابة) atau balutan patah (الجبيرة) pada anggota bersuci.

Islam adalah agama yang membawa keringanan dan kemudahan kepada manusia. Pensyariatan sapuan di atas balutan ini bertujuan menjauhkan kepayahan dan kemudharatan dari orang ramai.

Terdapat riwayat daripada Ibn ‘Umar RA yang berkata:

من كان له جرح معصوب عليه توضأ ومسح على العصائب ويغسل ما حول العصائب

Maksudnya: “Siapa yang mengalami luka berbalut, dia berwudhu dengan menyapu di atas balutan dan membasuh anggota di sekitar balutan (membasuh anggota tiada kecederaan seperti biasa).” (Sahih. Riwayat Ibn Abi Syaibah 1/126 dan al-Baihaqi. Lihat Kamal bin al-Sayyid Salim Sahih Fiqh al-Sunnah, jld; 1, hal: 161)

Di bawah ini beberapa panduan berkaitan sapuan pada anggota berbalut:  

  1. Wajib menyampaikan air pada anggota sihat yang wajib dikenakan air.
  1. Wajib menyapukan air di atas balutan luka atau patah pada anggota taharah, jika dengan membuka balutan boleh mendatangkan kemudaratan. Sapuan itu hendaklah dilakukan secara menyeluruh di atas balutan.
  1. Balutan hendaklah dibuat menurut kadar yang diperlukan sahaja. Jika balutan melebihi dari kadar yang diperlukan, hendaklah dirungkaikan dan dibalut semula menurut kadar yang diperlukan. Jika dengan merungkaikan balutan pada bahagian yang terlebih boleh mendatangkan mudharat, maka setelah selesai melakukan perkara (1) dan (2) di atas, hendaklah bertayamum sebagai taharah gantian untuk anggota yang dibalut tanpa ada keperluan tersebut.

Terdapat sebahagian ulama yang berpandangan memadai dengan sapuan pada lebihan balutan tanpa perlu bertayamum bagi tujuan menolak kepayahan dan kesukaran. Namun yang lebih berhati-hati ialah pandangan yang dinyatakan dalam perkara (3) di atas.

  1. Tidak disyaratkan bersuci terlebih dahulu sebelum mengenakan balutan luka atau patah berdasarkan pandangan yang lebih rajih. Hal ini kerana meletakkan syarat bersuci sebelum mengenakan balutan adalah satu kesukaran dan boleh mendatangkan masalah, terutamanya pada kebiasaannya kecederaan yang berlaku adalah secara tiba-tiba dan rawatan perlu diberikan dengan segera.
  1. Wajib dirungkaikan balutan pada anggota yang telah sembuh dan boleh dikenakan air. Hal ini kerana keizinan menyapu di atas balutan disebabkan terdapat keuzuran. Maka apabila keuzuran telah tiada disebabkan telah sembuh, tiada lagi keizinan menyapu di atas balutan tersebut.

------------------------

Rujukan:

- Sahih Fiqh al-Sunnah oleh Kamal bin al-Sayyid Salim 1/161

- Fatawa Dr. Husam ‘Ifanah atas talian: https://shamela.ws/book/10517/66#p1 Bab: المسح على الجبيرة. Dilihat pada 4 Okt 2022, 4.10 ptg

- Fatwa al-Qaradhawi atas talian: https://www.al-qaradawi.net/node/3623. Dilihat pada 4 Okt 2022, 4.10 ptg.


Cetak  
Wallahu a'lam