Wudhu sebelum mandi junub, wudhu yang tidak terbatal

Sunat atau digalakkan berwudhu sebelum mandi junub dan cara mandi junub baginda SAW

Perkara ini saya ingat orang ramai tak buat. Cuba tengak bagaimana ramai orang yang menguruskan jenazah, mewudhukan jenazah di akhir mandian. Menunjukkan mereka tidak tahu sunnah sebenar melakukan mandi yang sempurna.

Mandi ni ada dua dalam fekah. Satu mandi al-Mujzi’ (الغسل المجزئ) atau mandi cukup syarat dan kedua mandi sempurna (الغسل الكامل) iaitulah mandi sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Mandi sempurna seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, ialah dengan berwudhu di awal mandian. Mandi yang sempurna inilah yang sepatutnya dilakukan untuk jenazah. Tetapi ramai orang kita hatta yang memandikan jenazah tidak tahu, menyebabkan mereka mewudhukan jenazah di hujung mandian.

Jadi memang sepatutnya kita sebut perkara ini, walaupun ia dilihat seperti kecil, tetapi ramai yang tak biasa dengar perkara ini. Mandi sempurna ini jugalah dilakukan untuk mandi sunat hari Jumaat, hari raya dan seumpamanya.

‘Aisyah RA berkata:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا اغتسل من الجنابة، اغتسل يديه، ثم توضأ وضوءه للصلاة، ثم يغتسل

maksudnya:  “Adalah Rasulullah SAW apabila hendak mandi janabah, baginda akan memulakan dengan membasuh kedua tangan, kemudian baginda akan berwudhu seperti wudhu hendak menunaikan solat. Kemudian baginda memulakan mandian.”

Soalan tuan-tuan,

Wudhu apa ni? wudhu yang diambil sebelum memulakan mandian ni wudhu apa?

Jawapan salah seorang jemaah: wudhu mengangkat hadas.

Ustaz binSahak: Tapi buat apa wudhu angkat hadas?, nanti ketika kita mandi kita kencing, barangkali juga tersentuh kemaluan bagi orang yang berpandangan batal wudhu dengan menyentuh kemaluan. Jadi wudhu apa yang dilakukan di awal mandian ni?

Kata para fuqaha, wudhu itu adalah wudhu fadhilah, bukan wudhu untuk raf’u al-Hadas, bukan wudhu untuk mengangkat hadas. Maknanya wudhu yang dilakukan di awal mandian itu adalah wudhu kerana mencontohi Nabi SAW. Ia dinamakan oleh para fuqaha sebagai wudhu fadhilah iaitulah wudhu yang dilakukan kerana hendak mendapat kelebihan mengikut Nabi SAW.

Wudhu ini tidak perlu diulang dan tidak terbatal. Contoh kita ambil wudhu di awal mandian. Setelah itu ketika mandi kita buang air kecil. Apakah kita disuruh mengulangi semula wudhu? jawapannya tidak perlu lagi.

Fuqaha ada buat teka-teki fekah dengan kata mereka:

قُل للفقيهِ وللمفيدِ، ولكلِ ذي باعٍ مديدِ، ما قُلْتَ في مُتوضأ، قد جاء بالأمر السديدِ، لا يُنْقِضُونَ وُضوءه، مهما تَغَوط أو يزيد، ووضوءه لم ينتقض، إلا بإيلاج جديد

maknanya: “Tanyalah kepada orang yang fakih dan yang banyak ilmunya, apa kata kamu kepada seorang yang berwudhu, di mana wudhunya tidak akan terbatal, sekalipun dia berak dan lebih daripada itu lagi. Wudhunya tidak akan terbatal, melainkan dengan kemasukan yang baharu.”

Jawapannya dengan kata para fuqaha:

يا مبدي اللغز السديد، يا واحد العصر الفريد، هذا الوضوء هو الذي، للغسل سن كما تفيد
وهو الذي لم ينتقض، إلا بإيلاج جديد

maksudnya: “Wahai yang memulakan teka-teki yang benar, wahai satu-satunya orang di zamannya, wudhu tersebut ialah wudhu yang disunatkan sebelum mandi, seperti yang kamu sedia maklum. Itulah wudhu yang tidak terbatal, melainkan dengan kemasukan (jima’) yang baharu.”

Maknanya jika seseorang yang telah berwudhu di awal mandian, tiada apa-apa yang dapat menjadikan dia sunat mengulangi wudhu tersebut sekalipun dia melakukan perkara yang membatalkan wudhu, melainkan jika dia melakukan hubungan jimak sebelum sempurna mandi, maka disunatkan pula dia mengulangi wudhu fadhilahnya itu.

Demikian juga wudhu yang diambil sebelum tidur di sisi sebahagian ulama. Mereka berpandangan ia juga termasuk dalam wudhu fadhilah yang tidak batal ini.

Kerana itu jangan kita kata kepada orang yang berpegang dengan pandangan mazhab Syafie, batal wudhu dengan menyentuh isteri, perbuatan mereka berwudhu sebelum tidur itu sia-sia. Kerana wudhu itu di sisi sebahagian fuqaha adalah wudhu fadhilah dan ia tidak terbatal dengan melakukan perkara yang membatalkan wudhu. Perkara yang membezakan wudhu fadhilah dengan wudhu mengangkat hadas adalah niat.  


Cetak  
Wallahu a'lam