Antara Perbezaan Ibn Taimiyyah Dengan Majoriti Fuqaha ialah dalam persoalan permusafiran maksiat, apakah boleh mengambil keringanan musafir atau tidak? Di mana Ibn Taimiyyah berpandangan seorang yang bermusafir kerana hendak melakukan maksiat boleh mengqasarkan solat. Tetapi majoriti fuqaha kata tak boleh. Tapi bila kita baca sebahagian tulisan Ibn taimiyyah dalam masalah ini, contohnya ketika Ibn Taimiyyah menjawab soalan yang ditanya kepadanya berkaitan orang yang bermusafir kerana hendak ke kubur Nabi SAW, apakah boleh mengqasarkan solat atau tidak? Dalam tiga muka surat Ibn Taimiyyah jawab dalam majmu' al-Fatawa, kita dapati beliau tidak menjawab soalan. Kalau tengak kepada keseluruhan jawapannya, seperti beliau tidak benarkan.
Demikian juga dalam masalah talak ta’liq. Di mana semua fuqaha mengatakan talak ta’lik adalah talak. Kalau seseorang ta’lik talak secara jelas, berlaku apa yang dita'likkan, maka jatuh talak. Kalau secara guna lafaz kinayah ia bergantung kepada niat. Yang penting fuqaha menyatakan ia adalah talak atau sama hukum dengan talak.
Berbeza dengan Ibn Taimiyyah yang berpandangan talak ta’lik mengambiil hukum sumpah. Ia bergantung kepada niat sekalipun seorang suami menggunakan lafaz yang jelas. Seperti seorang suami yang berkata kepada isterinya: “kalau kamu keluar dari rumah jatuh talak”, suami ni gunakan lafaz jelas talak. Kalau si isteri keluar, Ibn Taimiyyah berpandangan, talak ini tak jatuh sekalipun dengan lafaz yang jelas talak, melainkan sisuami sememangnya meniatkan talak. Tapi kalau sisuami tidak meniatkan talak ketika melafazkannya, sebaliknya sisuami meniatkan ancaman atau tak nak bagi siisteri keluar dari rumah, Ibn Taimiyyah berpandangan tak jatuh talak, sekalipun ta’lik itu dengan lafaz yang jelas.
Bagaimana boleh berbeza pandangan seperti ini? Pertama kita kena tahu, semua fuqaha setuju ta’lik dari sudut asas gambarannya, ia memiliki gambaran yang sama dengan sumpah atau al-Yamin. Jika diperhatikan kepada sumpah, ia memiliki tiga gambaran, pertama sumpah nak suruh buat sesuatu, sumpah nak halang buat sesuatu atau sumpah pengakuan. Sebagai contoh seseorang yang berkata: “Demi Allah aku akan lakukan perkara tersebut.” Ia berbentuk satu sumpah nak buat sesuatu perkara. “Demi ALlah, aku tak lakukan perkara itu”, ia satu penafian pula atau bertujuan menafikan sesuatu. “Demi Allah, orang itu bercakap benar dan tidak berbohong”, ini pula satu perakuan. Jadi sumpah berlaku dalam tiga bentuk atau gambaran ini sahaja. Iaitulah bertujuan menyuruh, melarang atau pengakuan.
Gambaran atau tiga bentuk ini ada pada talak ta’lik. Di mana seorang suami yang melafazkan ta’lik, pada kebiasaannya memiliki salah satu dari tiga gambaran atau tiga bentuk ini. Iaitulah sama ada untuk halang atau cegah isterinya melakukan sesuatu, seperti seorang suami yang berkata kepada isterinya: “Kalau hang tak masak, jatuh talak”, maknanya sisuami nak isterinya buat apa yang dia mahukan. Ia memiliki gambaran sumpah, iaitulah penegasan nak buat atau menyuruh sesuatu agar berlaku. Demikian juga jika seseorang suami berkata isterinya: “Kalau hang keluar rumah, jatuh talak”, maknanya suami ini nak halang isterinya dari melakukan sesuatu. Ia memiliki gambaran dan bentuk sumpah iaitulah penegasan tidak berlaku atau tidak mahu berlakunya sesuatu. Satu lagi gambaran ta’lik seperti sesorang suami yang berkata: “Kalau aku lompat parti”, contahlah ni, sebab tiba-tiba contoh ini yang datang dalam fikiran, “Kalau aku lompat parti, isteri aku tertalak”, Ini juga memiliki gembaran dan bentuk sumpah iaitulah bertujuan memberi penegasan, sama dengan seorang yang bersumpah dengan berkata: ”demi Allah, orang itu bercakap benar dan tidak berbohong.”
Oleh itu, semua atau setidak-tidaknya majoriti fuqaha bersetuju, talak ta’lik memiliki gambaran sumpah. Akan tetapi majoriti fuqaha berpandangan ta’lik tidak mengambil hukum-hakam sumpah keseluruhannya. Sebab apa? Kerana tak’lik hanya sama dengan sumpah pada sebab dan tujuannya. Ditambah pula sumpah memerlukan lafaz sumpah ialah والله atau وبالله atau وتالله.
Namun talak ta’lik tiada lafaz-lafaz ini. Jadi fuqaha menyatakan ia hanya serupa apa sebab, maka ia tidak mengambil seluruh hukum-hakam sumpah.
Berbeza dengan Ibn Taimiyyah yang mengatakan talak ta’lik memiliki sebab dan gambaran yang sama dengan sumpah, maka ia mengambil semua hukum-hakam sumpah.
Berbeza pandangan dan penilaian, maka berbeza juga hukum dan fatwa yang dikeluarkan. Sebahagian fuqaha yang mengkritik Ibn Taimiyyah juga, menyatakan pandangan Ibn Taimiyyah itu tertolak kerana ia merupakan tindakan melakukan qiyas atas qiyas yang lain. Iaitulah menyamakan ta’lik dengan sumpah adalah satu qiyas, mengambil semua hukum-hakam sumpah untuk ta’lik pula merupakan qiyas yang satu lagi.
Tujuan saya sebut perbezaan ini, agar kita sedar betapa fekah itu seperti lautan yang luas. Kita boleh lemas di dalamnya dan dalam banyak keadaan kita tak mampu nak buat keputusan melainkan bertaklid kepada sesuatu pandangan berdasarkan faktor-faktor tertentu.