Soalan:
Soalan saya berkait dengan berita dan status di bawah:
Felda sg mas kota tggi johor,seekor kmbing mlahirkan ank berupa mnusia.mati mlm td krn d tanduk ibunya sndiri
Baru dpt pencerahan dari ustaz..
Anak kambing tu mesti di urus sprt manusia cuma x di sembahyangkan...
Ibu nya di sembelih Dan di tanam..daging nya x bolih di makan..
Assalamualikum..ustaz betul ke macam tu??
Jawapan:
Wa 'alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh
Persoalan seperti ini perlu diserahkan kepada ahlinya. Tidak cukup sekadar berpada dengan kitab-kitab fekah klasik sahaja.
Pandangan dari pakar Biologi diperlukan terutama dalam isu apakah boleh benih manusia bercampur dengan benih haiwan sehingga melahirkan anak?
Di bawah jawapan ini, masej yang saya terima dikatakan dari Prof Shaharum Shamsuddin dari USM. Di dalamnya beliau menafikan kebarangkali boleh terlahirnya kandungan hasil percampuran benih manusia dan haiwan. Jika benar ini adalah hasil dapatan kajian moden. Maka kajian ini adalah rujukan yang lebih tepat berbanding apa yang ada di dalam kitab-kitab Fiqh.
Saya tidak nafikan beberapa kitab fiqh ada membicarakan persoalan ini. Termasuk hukuman ke atas orang yang melakukan hubungan dengan haiwan, apa yang perlu dibuat ke atas haiwan yang disetubuhi oleh manusia itu?, hukum dagingnya dan seumpamanya. Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughniy juga ada membicarakan persoalan ini. Ketika menyatakan tentang sebab atau illah binatang yang disetubuhi itu perlu dibunuh, beliau menyebut beberapa pandangan dan salah satunya beliau berkata: "DIKATAKAN agar ia tidak melahirkan kelahiran yang menjijikkan." Kalimah DIKATAKAN di dalam kitab-kitab fiqh, pada kebiasaannya menggambarkan sesuatu yang tidak kuat untuk dijadikan sandaran. Ia sekadar lontaran pandangan yang tidak dketahui siapa pengucapnya.
Ditambah dengan hadis yang dijadikan dalil dalam peroalan ini pula bertaraf Dhoief/Lemah. Justeru menjadikan kebanyakan persoalan yang dibincangkan menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Ia menunjukkan pandangan ulama tersebut dibina atas asas ijtihad.
Oleh kerana itu, secara rIngkasnya persolan ini perlu diserahkan kepada ahlinya dan umat Islam dinasihatkan jangan gopoh membuat kesimpulan dan menjatuhkan hukuman.
WA
Di bawah ini adalah masej dari Prof Shaharum Shamsuddin yang saya terima:
Msg yg dikatakan dr Prof Shaharum Shamsuddin USM:
"Saya terima banyak mesej melalui appilkasi WA dan Telegram yang bertanyakan kes anak kambing yang dilahirkan menyerupai manusia yang ditakdirkan Allah berlaku di Johor beberapa hari lepas. Saya suka kita kembali kepada pemahaman asas. Untuk persenyawaan berlaku memerlukan gamet (benih) dari haiwan jantan dan betina. Kambing adalah haiwan ruminan kecil yang mempunyai kromosom 60 (2n - Diploid). Manakala manusia pula mamalia yang mempunyai 46 kromosom (2n - Diploid). Dalam penghasilan gamet (benih) secara normal bilangan kromosom akan menjadi separuh (haploid - n) melalui satu proses pembahagian sel yang kita panggil meiosis.
Dalam proses meiosis bilangan kromosom ini di separuh kan sebagai persediaan untuk percantuman dengan gamet haploid (n) pasangan nya supaya selepas persenyawaan zigot/embrio yang terbentuk bersedia sebagai diploid semula (n + n = 2n) dan berkembang sebagai anak yang normal.
Nah, sekarang kita lihat seekor kambing mempunyai kromosom 2n = 60 dengaan mana gametnya (n) menjadi 30. Manakala manusia pula mempunyai kromosom 2n = 46 dengan gametnya (n) sebagai 23. Percantuman kedua dua gamet semasa persenyawaan (jika benar benar berlaku) akan menghasilkaan zigot yang punyai kromosom 53 (2n). Secara logik akal mana mana ahli genetik haiwan akan berpandangan komposisi 2n yang ber angka ganjil mustahil untuk berkembang dalam peraturan azali sistem pembiakan (not a viable zigot) dan paling nasib baik pun berkembang ke pembahagian sel ke 32 dan selepas itu zigot itu akan mati. Adalah mustahil untuk melepasi tahap pembahagian sel lengkap sehingga terbentuk janin dan apa lagi di lahirkan sebagai makhluk (seperti gambar yang tersebar beberapa hari lepas).
Allahu a'lam segala galanya adalah ketentuan yang Allah boleh putuskan dan saya sebagai seorang muslim tentu saja tidak menyangkal yang Allah tentukan.
Secara peribadi saya beranggapan makhluk yang di lahirkan oleh kambing di dalam gambar tersebut adalah anak kambing yang mengalami malformasi (genetic defect) yang saya kira BUKAN kali pertama berlaku. Tentu telah ada kes kes sebegini yang terjadi di tempat tempat lain di pelusuk dunia ini.Cuma mungkin kita sahaja yang tidak tahu.
Saya masih berpegang kepada konsep asas genetik pembiakan yang meletakan tahap mustahil untuk terhasilnya kacukann hibrid manusia-ruminan walaupun melalui bantuan aplikasi bioteknologi pembiakan apalagi jika ianya berlaku secara tabi'e.
Allah jua yang lebih mengetahui."
Prof Shaharum Shamsuddin
Moelcular Biologist
School of Health Sciences
USM