Bacaan al-Talkhis Ibn al-Qash: Sapuan Di Atas Dua Khuf (1)

Sapuan di atas khuf bagi seorang muqim adalah sehari semalam, dari waktu berhadath ke waktu berhadas. Paling lama ialah sebanyak enam waktu solat. Jika dijamak kerana hujan, maka sebanyak tujuh waktu solat. Bagi seorang musafir pula sebanyak tiga hari tiga malam. Paling lama adalah sebanyak 16 waktu solat, jika dijamak, menjadikan 17 waktu solat. Di dalam al-Qadim: "Selama mana keduanya (orang yang bermuqim atau bermusafir) tidak berjunub.". 

Sesiapa yang permusafirannya kerana maksiat. maka tidak boleh untuknya mengambil keringanan (الرخص) ini seluruhnya terdiri dari keringanan sapuan (di atas khuf), qasar dan jamak solat, berbuka puasa, menunaikan solat sunat di atas kenderaan, memakan bangkai ketika dalam keterpaksaan, melainkan satu sahaja iaitulah tayammum dalam permusafiran apabila ketiadaan air.  

Adapun jika kewujudan air (hanya cukup untuk minum) dan dibimbangi dahaga (jika menggunakannya untuk bersuci), maka tetap tidak diharuskan dia bertayammum, jika permusafirannya itu adalah kerana maksiat. Demikian juga siapa yang terdapat luka yang dibimbangi terkena air, dia pula seorang yang bermaksiat dengan permusafirannya, tidak diharuskan dia bertayammum. (alTalkhis oleh Ibn al-Qash, hal: 116)

KETERANGAN

1. Kalimah الرخصة dengan dibaris sukun huruf خ, dihikayatkan juga boleh dibariskan dengan dhammah, di dalam bahasa adalah "memudahkan" dan "menyenangkan" (التيسير والتسهيل). Kata al-Jauhari: "al-Rukhsah dalam sesuatu perkara adalah bersalahan dengan tasydid di dalamnya." Dari maksud ini, ungkapan "رخص السعر apabila ia menjadi mudah dan senang." Pada istilah pula ia bermaksud "hukum yang sabit, yang bersalahan dengan dalil kerana ada keuzuran." 

2. Rukhsah terbahagi kepada empat bahagian:

i. الإيجاب atau mendatangkan hukum wajib, seperti wajib memakan bangkai bagi seorang dalam keterpaksaan yang sabit berdasarkan firman ALlah: ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة beserta firman-Nya: فمن اضطر غير باغ ولا عاد فلا إثم عليه yang berbeza dengan firman-Nya: حرمت عليكم الميتة... Maka ia adalah satu rukhsah (keringanan), kerana ia berupa hukum yang sabit, yang bersalahan dengan dalil disebabkan ada keuzuran, iaitulah bagi memelihara kehidupan atau nyawa. 

ii. الندب atau sunat, seperti qasar solat yang empat rakaat dalam permusafiran yang sabit berdasarkan sabda Nabi SAW: صدقة تصدق الله بها عليكم، فاقبلوا صدقته yang berbeza dengan dalil mewajibkan itmam (الإتمام) iaitulah perbuatan baginda (solat secara sempurna yang disertai dengan sabda baginda: صلوا كما رأيتموني أصلي yang berperanan sebagai penjelas kepada bilangan rakaat yang dituntut melaksanakannya dalam firman Allah: أقيموا الصلاة

iii. الإباحة atau harus, seperti keharusan al-salam yang sabit berdasarkan sabda Nabi SAW: من أسلم فليسلم في كيل معلوم ووزن معلوم إلى أجل معلوم yang berbeza dengan sabda Nabi SAW: لا تبع ما ليس عندك, yang menunjukkan atau yang berupa dalil haramnya jaul-beli sesuatu yang tiada. Namun jual-beli salam diharuskan disebabkan ada keperluan (hajah). 

iv. خلاف الأولى atau khilaf awla seperti berbuka puasa di siang Ramadan bagi seorang musafir yang tidak terbeban dengan puasa. Sedangkan berbuka bagi seorang musafir suatu yang disyariatkan berdasarkan firman Allah: فمن كان منكم مريضا أو على يفر فعدة من أيام أخر yang berbeza dengan firman-Nya: فمن شهد منكم الشهر فليصمه bagi menolak kesukaran dan kesempitan, dan hal ini berbeza dengan firman-Nya: وأن تصوموا خير لكم إن كنتم تعلمون.                 

3. Persoalan terkait dengan seorang musafir kerana maksiat yang tidak dibenarkan bertayammum, sekalipun mendapati air yang ada hanya cukup untuk minum, al-Imam al-Nawawi menyebut terdapat tiga awjuh: 

i. al-Sahih iailah wajib orang seperti ini bertayammum dan wajib mengulangi solat. Wajib tayammum kerana hurmah al-wakt (لحرمة الوقت) atau kemuliaan waktu, manakala wajib mengulangi solat kerana ketaksirannya dari meninggalkan bertaubat.

ii. Harus bertayammum dan tidak wajib lagi mengulangi solat. 

iii. Haram bertayammum dan berdosa kerana meninggalkan solat. Berdosa kerana dia meninggalkan solat sedangkan dia mampu bertaharah dengan cara menjadikan dia boleh bertayammum iaitulah dengan bertaubat dari maksiat yang dia sedang lakukan.  

al-Qaffal di dalam Syarh al-Talkhis berkata: "Jika dikatakan: mengapa anda semua mengharamkan memakan bangkai untuk seorang yang melakukan permusafiran maksiat, sedangkan memakan bangkai itu harus bagi seorang yang hadir (bukan musafir) ketika dharurat. Demikian juga seorang hadir (bukan musafir) yang mengalami luka atau cedera, harus dia bertayammum?" Maka jawabnya: Sesungguhnya makan bangkai yang harus dalam keadaan tidak bermusafir adalah ketika terpaksa (dharurat). Akan tetapi permusafirnya itu adalah sebab yang mendatangkan dharurah ini, ia pula adalah permusafiran yang maksiat. Maka diharamkan dia memakan bangkai sekalipun dalam keterpaksaan, sama sepertimana jika dia bermusafir untuk menyamun (قطع الطريق), lalu tercedera, dia tidak diboleh bertayammum disebabkan kecederaannya itu, sedangkan seorang yang cedera yang bukan dalam permusafiran boleh bertayammum kerana cedera. Jika dikatakan; (namun) mengharamkan bangkai dan wajib menggunakan air bagi orang yang cedera (yang dalam permusafiran maksiat) boleh membawa kepada kebinasaannya, dijawab dengan mengatakan: orang itu mampu menjadikan dia boleh atau harus mengambil keringanan memakan bangkai dan bertayammum, iaitulah dengan bertaubat dari maksiat yang dia lakukan." 

Kata al-Syeikh Abu Hamid pada bab istiqbal al-qiblah dalam ta'liqnya: "Sebahagian sahabat kami (ulama mazhab Syafie) berkata: keharusan memakan bangkai tidak dikhususkan untuk sesuatu permusafiran, kerana ia diharuskan kepada orang yang bermuqim (bukan dalam keadaan bermusafir) ketika dalam keterpaksaaan (dharurat)." Seterusnya Abu Hamid berkata: "Pandangan ini adalah satu kekeliruan (غلط). Ini kerana bangkai yang diharuskan ketika permusafiran adalah dengan sebab permusafiran itu sendiri, bukan dengan sebab yang sama dengan keharusan memakan bangkai ketika bukan bermusafir. Kerana itu tidak dihalalkan bangkai untuk seorang yang bermaksiat dengan permusafirannya, sedangkan dihalalkan bangkai untuk seorang muqim dengan maksiat yang dilakukannya ketika dalam keadaan terpaksa (dharurat)." 

 


Cetak  
Wallahu a'lam