Soalan:
Assalamualaikum,
Saya ada persoalan berkaitan Ijtihad dalam mengeluarkan suatu fatwa. Adakah boleh berlaku penggabungan metod antara Ijtihad Intiqa'i dan Insya'i dalam menetapkan suatu hukum/fatwa? Kalau boleh berlaku penggabungan antara 2 metod ini, apakah antara contoh fatwa yang telah dikeluarkan tersebut.
Terima kasih
Jawapan:
1. Menurut Dr. Muhammad Yusri Ibrahim dalam tesis Phdnya yang dicetak dengan tajuk Fiqh al-Nawazil Li al-Aqaliyyat al-Muslimah, jilid 1/328 menyatakan Ijtihad Intiqa’i dan Ijtihad Insya’i adalah istilah yang dilontarkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Ijtihad Fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah dan dipersetujui oleh Dr. ‘Abdullah bin Bayyah dan lainnya.
2. Ijtihad Insya’i (الاجتهاد الإنشائي) disebut oleh al-Qaradhawi merujuk kepada ijtihad para mujtahid dalam mengeluarkan hukum baharu, yang belum dinyatakan oleh seorangpun dari kalangan fuqaha dahulu. Contoh yang disebut oleh al-Qaradhawi: Seperti zakat bangunan, kilang, saham, bon dan pendapatan bulanan, mengambil kira nilai emas sahaja sebagai asas nisab bagi zakat wang, dan seumpamanya.
3. Ijtihad Intiqa’i (الاجتهاد الانتقائي) pula merujuk kepada pemilihan pandangan yang lebih rajih (أرجح الأقوال) dari berbagai pandangan para fuqaha, berdasarkan penilaian sesuatu pandangan yang lebih hampir dapat merealisasikan maqasid syarak, masalih untuk kehidupan dan lebih sesuai dengan realiti semasa. Antara contoh yang disebut oleh al-Qaradhawi ialah mengambil pandangan talak tiga yang dilafazkan serentak atau dalam satu majlis adalah satu talak raj’i atau yang masih boleh dirujuk, tidak terlaksana talak bid’ie, talak yang bertujuan sesuatu atau menghalang dari berlaku sesuatu yang tidak disukai, dikenakan hukum yang sama dengan hukum sumpah, termasuk dikenakan kafarah sumpah dan seumpamnya. (Lihat: [الجزء الثاني] فقه الدعوة ملامح وآفاق , atas talian: https://www.islamweb.net/ar/library/index.php?page=bookcontents&idfrom=960&idto=960&bk_no=1519&ID=882. Dilihat pada 30/11/2022)
4. Berdasarkan pengertian Ijtihad Intiqa'i dan Ijtihad Insya'i menunjukkan setiap satunya merujuk kepada persoalan atau isu yang berbeza dan tidak dapat di gabungkan.