Huraian Matla' al-Badrain: Makruh Berus Gigi Selepas Zawal Dan Dalil Mazhab Syafie (1)

Perkataan Muallif:

“melainkan kemudian daripada gelincir matahari bagi orang yang puasa, tiada sunat bahkah makruh ia sama ada puasa fardu atau sunat dan hilang makruhnya dengan jatuh matahari (dan) memilih oleh Imam Nawawi akan ketiadaan makruh mutlaqan,..”

Huraian

Dalil ulama mazhab Syafie dalam perkara ini ialah hadis Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

لَخُلُوفُ فَمِ الصّائِمِ أطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِن رِيحِ المِسْكِ

Maksudnya: “Sungguh, bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah berbanding bau kasturi.” (Muttafaqun ‘ALaih )  

Perkataan khuluf (خُلُوف) yang diterjemahkan sebagai “bau” adalah merujuk bau mulut selepas waktu zawal berdasarkan hadis Jabir RA:

خُلُوفُ أفْواهِهِمْ حِينَ يُمْسُونَ أطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِن ريحِ المِسْكِ 

Yang bermaksudnya: “…bau mulut umatku ketika mereka berada di waktu petang adalah lebih baik di sisi Allah berbanding bau kasturi…” Menunjukkan khuluf  merujuk kepada bau mulut pada petang hari. Hadis Jabir ini dalil kepada pandangan mazhab Syafie, makruh hilangkan bau mulut selepas zawal atau selepas tergelincir matahari iatulah sebaik sahaja masuk waktu Zohor.

Hadis ini berdasarkan perkataan Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, Badr al-Din al-‘Aini dalam ‘Umdah al-Qariy, kedua-dua kitab ini adalah syarah kepada Sahih al-Bukhari, mereka berkata: “Kata al-Munziri: “Isnad (hadis ini) muqarib.” Muqarib ni antara kuat dengan lemah, dia duduk di tengah-tengah, lebih kurang begitu maksudnya. Al-Mubarakfuri juga di dalam Mir‘ah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih menyatakan: “Kata al-Munziri: “Isnad (hadis ini) muqarib.” Ia dinilai hasan oleh Abu Bakar al-Sam‘aniy dalam Amali-nya, maknanya sekurang-kurangnya al-Sam‘aniy kata hadis ini hasan.

Lafaz hadis يُمْسُونَ , saya dah terangkan sebentar tadi, iaitulah merujuk kepada “ketika di waktu petang”,  menunjukkan ada tuntutan membiarkannya dan makruh dihilangkannya. Sama sepertimana syahid yang gugur di medan peperangan tidak dimandikan, kerana sunat dibiarkan dia dalam keadaan berdarah, bertemu dengan Allah, kerana darah tersebut adalah kesan dari mentaati perintah Allah SWT. Inilah dalil ulama mazhab Syafie. Hadis jelas memakruhkan bersiwak selepas zawal tidak ada.  Hadis yang jelas menunjukkan makruh semuanya dhaief. Ulama Syafie sendiri mengakuinya. al-Nawawi di dalam majmu’ sebut dhaief, semua ulama mazhab Syafie sebut perkara yang sama, al-Baihaqi dan lainnya. Jadi ada orang kata, mazhab Syafie berpandangan bersiwak selepas waktu zawal makruh kerana berdalilkan hadis sekian-sekian yang semuanya dhaief. Kita tak boleh kata begini. Ulama mazhab Syafie tak kata begitu, mereka tidak berdalilkan dengan dalil yang dhaief atau lemah. Jika adapun hadis lemah yang mereka sebut, hanyalah sebagai penguat sahaja. Asas makruh bersiwak selepas zawal adalah kaedah atau pendalilan yang dinyatakan sebentar tadi. Iaitulah sunat mengekalkan kesan ketaatan kepada Allah. Bukankah Allah berbangga dengan para jemaah haji yang dalam keadaan kusut-masai rambut dan rupa mereka ketika berada di padang Arafah, kerana kepenatan dan kepayahan berada di padang Arafah bagi melaksanakan ibadah kepada Allah? Allah berbangga di hadapan para malaikat. Jadi para ulama mazhab Syafie demikian cara mereka berdalil. Mereka tidak berdalilkan dengan hadis-hadis yang lemah, mereka sebut hanya sekadar untuk penguat. Inilah antara tujuan saya sebut perkara ini.

Bila kita sebut alasan ulama mazhab Syafie, tidak semestinya kita ambil pandangan ini. Kerana terdapat bukti lain yang jelas, yang menunjukkan bersiwak adalah suatu yang diharuskan dan dianjurkan sama ada ketika berpuasa ataupun tidak, sama ada selepas atau selepas zawal. Antara bukti tersebut berdasarkan perkataan ‘Amir bin Rabi‘ah (عامر بن ربيعة) RA yang berkata:

رأيتُ النَّبيَّ صلَّى اللهُ علَيهِ وسلَّمَ ما لا أُحصي يتسَوَّكُ وَهوَ صائمٌ

Maksudnya: “Daku telah melihat Rasulullah SAW dalam kekerapan yang tidak terkira, bersiwak sedangkan baginda berpuasa.” Riwayat ini terlampau jelas berbeza dengan pandangan mazhab Syafie…

bersambung ke siri (2)


Cetak  
Wallahu a'lam