Huraian Matla' al-Badrain: Makruh Bersiwak Selepas Zawal Dan Pandangan Ulama Lain (3)

وهُوَ الْمُخْتارُ itulah pandangan yang dipilih. Barangkali disebabkan perkataan al-Imam al-Nawawi ini lalu Syeikh Daud Fatani mengatakan Imam Nawawi berpandangan tidak makruh bersiwak mutlaqan.

Kemudian saya sebut di sini:

Pandangan ini perlu diberi perhatian. Apatah lagi al-Nawawi, demikian juga al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi menyatakan inilah pandangan majoriti ulama. Pandangan majoriti bukan senang-senang untuk kita tinggalkan dan satu perkara juga yang perlu kita ambil perhatian, iaitulah apabila kita tahu sesuatu pandangan itu adalah pandangan majoriti jangan kita anggap perkara itu enteng dan ringan. Walaupun tak semestinya pandangan majoriti itu paling benar, tetapi ia majoriti, biasanya kebenaran bersama dengan majoriti. Jadi jangan ambil ringan dengan pandangan majoriti. Kerana itu saya tekankan di sini, nukilan dakwaan pandangan majoriti dari al-Nawawi dan al-Mubarakfuri di dalam Tuhfatul Ahwazi. Kata Mubarakfuri:

“(majoriti) ulama berhujah dengan hadis bab (hadis Amir bin Rabi‘ah) dan hadis ‘Aisyah RA yang telah diberi isyarat oleh al-Tirmizi..” Tirmizi selepas beliau sebut hadis pada bab, dia kata وفي الباب عن عائشة ..... apa semua..., dia sebut begitu. Ini menunjukkan dia telah memberi isyarat hadis dengan makna yang sama juga ada diriwayatkan oleh ‘Aisyah, demikian juga Abu Hurairah. Hadis tersebut iaitulah: لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتهمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ وُضُوءٍ   yang bermaksud: “Kalaulah tidak bimbang mendatangkan kepayahan kepada umatku, sudah tentu daku akan menyuruh mereka bersiwak ketika setiap kali hendak berwudhu.” Kemudian kata al-Mubarakfuri pula, “Berdasarkan seluruh hadis ini yang diriwayatkan dengan memiliki makna yang sama (tentang anjuran untuk bersiwak pada bila-bila masa), demikian juga tentang kelebihan bersiwak, semuanya dalam bentuk itlaq yang membawa hukum harus bersiwak pada mana-mana waktu dan dalam setiap keadaan. Inilah pandangan yang Asah (lebih sahih) dan aqwa (lebih kuat).” Ini perkataan siapa? Perkataan al-Mubarakfuri. Jadi kita bukan memandai-mandai tak pegang pandangan ulama mazhab Syafie, dan pegang pandangan ulama lain, bukan. Kita bukan memandai-mandai, sebaliknya itulah pandangan al-Imam al-Nawawi, al-Muzani dan itulah pandangan majoriti ulama seperti yang dinyatakan oleh al-Mubarakfuri, bahkan beliau tegaskan lagi, inilah pandangan yang lebih sahih dan lebih kuat yang mengatakan sunat bersiwak sekalipun selepas zawal.

Seterunya al-Mubarakfuri menyebut pandangan sekumpulan ulama lain yang memakruhkan bersiwak menggunakan kayu sugi basah, kemudian dia jawab dan tolak pandangan itu. Kemudian al-Mubarakfuri datangkan pula pandangan ulama mazhab Syafie yang memakruhkan bersiwak selepas zawal, kemudian dia jawab. Kita tengak jawapan beliau. Saya baca terjemahannya:

“Dan dijawab dengan mengatakan bahawa perubahan bau mulut (orang yang berpuasa) adalah kerana perut yang kosong, tidak dapat dihilangkan dengan bersiwak.” Maksudnya sekalipun kita bersiwak selepas zawal, mulut tetap berbau, sebab apa? kerana bau mulut itu disebabkan perut yang kosong kata al-Mubarakfuri. Kemudian: “kata Ibn Hummam: “Bahkan bersiwak hanya dapat menghilangkan kesan zahir pada gigi seperti kekuningan. Ini kerana sebab bau mulut itu adalah kerana perut yang kosong dari makanan. Bersiwak tidak dapat menghilangkan bau mulut dengan sebab perut yang kosong. Kerana itu terdapat riwayat daripada Mu‘az bin Jabal, seumpama yang kami katakan ini, iaitulah al-Tabarani meriwayatkan daripada ‘Abdul Rahman bin Ghunm yang berkata: “Daku pernah bertanya kepada Mu‘az bin Jabal: “Apakah boleh aku bersiwak ketika berpuasa?” Jawab beliau: “Ya, boleh.” Aku bertanya lagi: “Di bahagian mana pada waktu siang yang boleh aku bersiwak?” Jawab beliau: “Pada mana-mana bahagian siang hari yang kamu kehendaki, sama ada pagi mahupun petang.” Aku bertanya: “Orang ramai menganggap makruh bersiwak pada waktu petang. Mereka mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sungguh, bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah berbanding bau kasturi.” Jawab Mu‘az bin Jabal: “Maha Suci Allah, baginda yang telah memerintahkan kamu semua bersiwak, baginda mengetahui, sudah pasti di mulut orang yang berpuasa itu terdapat bau sekalipun orang itu bersiwak, tidaklah baginda pula memerintahkan mereka supaya sengaja mengotorkan (membusukkan) mulut mereka yang tiada sebarang kebaikan sedikitpun bahkan keburukan, melainkan seorang yang diuji dengan sesuatu musibah yang tidak dapat dielak.” Aku (al-Mubarakfuri) katakan: “Isnad athar ini baik, sepertimana yang dijelaskan oleh al-Hafidz dalam al-Talkhis al-Habir.” Kata Ibn al-Hummam: “Ia sama seperti debu (berjihad) di jalan Allah berdasarkan sabda Nabi SAW: “Siapa yang berdebu kedua-dua kakinya pada jalan Allah, Allah haramkan api neraka dari mengazabnya.”  hanya untuk mereka yang tiada pilihan (kerana berjihad), adapun siapa yang mencampakkan dirinya dengan sengaja, maka tiada untuknya pahala sedikitpun. Dikatakan, termasuk dalam perkara ini juga sesiapa yang mencari susah berlegar-legar bagi membanyakkan berjalan menuju ke masjid, kerana sabda Nabi SAW: “Dan banyak melangkah ke masjis-masjid.”   (Tuhfah al-Ahwazi oleh Abdul Rahman al-Mubarakfuri 3/345-346)


Cetak  
Wallahu a'lam