SDI 1429: Hukum Berubat Dan Baca Yasin Sebelum Jenazah Diuruskan

السلام عليكم ورحمة الله

Saya nak tanya,

Sesungguhnya Kuasa Allah tidak ada yang beriman meraguinya, cuma saya sedikit keliru, ada yang menolak kaedah perubatan yang benar dengan beranggapan, Allah Maha Kuasa memberi penyembuhan sedangkan dia menolak sebarang usaha yang dicadangkan oleh mereka yang ahli perubatan, adakah ini dibenarkan atau diajar dalam syariat islam?

Jawapan:

Wallahu taala a’lam.

Kena pastikan terlebih dahulu. Kalau ada orang yang tak mau terima perubatan, kita tak boleh terus hukum mereka menolak perubatan. Barangkali mereka bukan menolak tetapi mereka tak nak. Isu berubat ini para ulama berbeza pandangan. Apa hukum berubat? Sebahagian ulama berpandangan hukum berubat itu wajib, ada yang kata hukum berubat itu sunat, ada yang kata hukum berubat itu harus dan seumpamanya. Jadi berbezalah. Jika kita ambil pandangan yang berbeza, barangkali ada orang yang mengambil pandangan hukum berubat itu harus sahaja. Lalu dia dia tidak ambil langkah untuk berubat kerana dia nak dapat pahala redha dengan ujian yang Allah taala kenakan kepada dia. Kalau itu tindakan dia, maka dia berhak mengambil keputusan itu, kerana dia telah mengambil pandangan ulama yang kata harus berubat itu bukan wajib.

Sebahagian ulama ada pula yang berpandangan hukum berubat itu adalah wajib, kerana mereka melihat membiarkan diri ditimpa sakit, apatah lagi sakit yang boleh membawa kepada kebinasaan, termasuk dalam tegahan Allah: وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ  Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” Demikian juga mereka berpegang dengan hadis Nabi SAW: تَدَاوَوْا  “berubatlah kamu semua” Nabi SAW perintahkan para sahabat agar berubat.

Oleh kerana itu, isu ini adalah isu khilafiah, maka jika ada seseorang yang ambil pendirian untuk tidak berubat, kita tak boleh hina dia, kita tak boleh cerca dia, jika dia benar-benar mengharapkan pahala atas kesabaran dari apa yang menimpanya.

Akan tetapi jika benar, seperti yang ditanya, iaitulah ada orang yang menolak kaedah perubatan yang benar. Wallahu taala a’lam, kalau perkara ini benar berlaku, maka perkara ini adalah hasil dari salah faham terhadap agama yang dia perolehi daripada proses-proses pengajian yang salah, bukan dari ahli yang layak untuk membicarakan persoalan agama.

Kita tak boleh tolak kaedah perubatan yang benar, ataupun kita tak boleh membantah, mengikngkari sesuatu kaedah perubatan yang dibenarkan di dalam syarak. Kerana kaedah perubatan yang dibenarkan oleh syarak itu juga dibenarkan oleh Allah SWT bahkan Allah yang menciptakan penyakit, Dia jugalah yang menciptakan atau menurunkan penyembuhnya.

Maka bila kita mengambil usaha untuk mendapatkan penyembuhan, maka kita lakukan apa yang disebut oleh ‘Umar bin al-Khattab RA, apabila ‘Umar tidak mahu masuk ke dalam bandar yang merebak penyakit taun. Apabila sahabat bertanya, wahai ‘Umar apakah kamu lari dari takdir Allah? Lalu ‘Umar jawab: “Aku lari daripada satu takdir kepada takdir yang lain.”

Maka kita kena tahu, penyembuhan dan ubat itu adalah dari Allah SWRT. maka apabila kita lari daripada penyakit, bermakna kita lari kepada takdir yang lain, iaitulah kepada penyembuhan iaitulah dengan mengambil ubat dan penawar yang telah dibuktikan oleh mereka yang berkeahlian dapat menjauhkan penyakit yang sedang dialami dan itulah yang dilakukan oleh Nabi SAW.

Bukankah Nabi SAW mengajarkan kita berdoa, yang merupakan salah satu cara menolak kemudharatan dan keburukan, demikian juga Nabi SAW telah sebut sebagai contoh habbatus sauda’ sebagai إنَّ هذِه الحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِن كُلِّ دَاءٍ “habbatus sauda; itu ubat bagi segala penyakit.” Disebut di dalam al-Quran madu itu penyembuh. Semua ini satu bentuk penyembuhan, proses berubat yang dianjurkan di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Maka bagaimana ada orang yang mengaku beriman boleh menolak penyembuhan dan berubat? Sebab itu saya katakan di awal tadi, pehaman itu adalah hasil dari kerana sikap yang ada pada kebanyakan masyarakat kita iaitulah mereka tidak mahu memilih kuliah-kuliah untuk diikuti, sebaliknya mereka ikut sahaja apa-apa kuliah yang ada, tanpa ada tujuan, sebaliknya hanya sekadar menjadi halwa telinga sahaja, untuk bergelak ketawa dalam kuliah, maka hasilnya walaupun pergi kuliah tetapi masih banyak pemahaman agama yang salah dan rosak.

Untuk soalan kedua: Apakah pandangan agama tentang amalan membaca yassin atau al quran semasa jenazah belum lagi di uruskan? Setelah kita berdoa untuk si mati dan dari duduk sahaja, maka kita memilih membaca al quran dengan niat untuk si mati, adakah dibenarkan?

Jawapan:

Isu membaca al-Quran untuk simati ini, kadang-kala orang kita sendiripun tak tahu dia baca al-Quran itu untuk apa? Jadi kalau jenazah itu telah dicabut nyawanya, maka yang ada adalah kita membaca al-Quran, di sisi sebahagian ulama lalu disedekahkan pahalanya kepada jenazah. Itu antara pandangan ulama yang ada. Ia bukan satu kesalahan nak baca al-Quran pada bila-bila masapun. Cumanya tak perlulah dikhaskan membaca yasin sahaja, sebaliknya kita boleh baca apa-apa ayat al-Quran yang kita mampu baca.


Cetak  
Wallahu a'lam