Assalamualaikum ustaz.
situasi :
saya Guru di Sabah...di kawasan sekolah kami.banyak anjing2 berkeliaran di kawasan sekolah dan kdang2 masuk ke bilik guru dan kelas..jadi soalan saya.
1. Hukum jilatan anjing dan kesan kaki yg ada pada karpet dan kesan tapak kaki di bilik2 tu..perlukan disamak atau adakah ruang kemudahan lain dlm Islam..kerana mmg sukar utk dielakkan dan dihalau anjing2 tersebut.09:22 AM
Jawapan:
Baik, Wallahu taala a’lam.
Pertama sekali, apa yang kita nampak? Jika kita nampak kesan kaki, maka hukumkan kesan itu adalah kesan yang kering. Kita jangan fikir banyak. Ketika kita nampak kesan itu ia kering, maka kita hukumkan kesan itu adalah kesan yang kering, maka kesan yang kering tidak memindahkan najis anjing kepada tempat yang dipijak, hatta kepada pasir itu sendiri.
Sebagai contoh ada pasir di tempat kita, tapak kaki anjing sebagai contoh, kita anggap pasir itu melekat ketika ia kering, kerana pasir yang kering, pada kaki kita, kita pijak walaupun pasir yang kering, ia melekat juga pada kaki kita. Demikian juga anjing apatah lagi ia berbulu. Oleh itu jika kita nampak kesan kakinya, maka kita anggap pasir yang melekat pada kaki anjing itu adalah pasir yang kering dan melekat pada kaki anjing yang kering. Seterusnya anjing itu memijak di tempat kita, maka kita anggap tiada najis di situ, berdasarkan kaedah: الجاف بالجاف طهور بلا خلاف “kering dengan yang kering adalah suci tanpa ada perbezaan pendapat di kalangan ulama.”
Adapun jika kita jelas, di sini penyoal ada bawakan gambar, pertama ada anjing yang sedang berbaring, gambar yang kedua tak jelas.
Seperti yang saya sebut di awal tadi dan dalam soal-jawab yang lalu, sesuatu yang suci untuk dihukumkan bernajis, mestilah ia jelas dan terbukti. Sebagai contoh jelas anjing itu basah, maka ketika itu kita hukum tempat yang diduduki anjing itu bernajis. Kalau kita nampak anjing berbaring di satu tempat, bila kita halau anjing itu, dia pergi dan kita tengak tempat yang diduduki anjing itu tiada apa-apa kesan basah, maka tempat itu adalah suci dan tidak bernajis.
Sama juga dengan tempat-tempat seperti ada anak anjing, kita tengak ada orang non muslim bawa anjing, di tempat yang diduduki anjing itu pula tiada apa-apa kesan, maka kita anggap ia suci kerana kering dengan kering suci tanpa ada perbezaan pendapat ulama. Melainkan jika kita yakin tempat yang diduduki oleh anjing itu memang basah, atau anjing itu sendiri basah.
Maka cara menyucikannya adalah mudah, iaitulah dengan hanya, ambil tanah, campur di dalam baldi yang berisi air, kemudian jiruskan air ke tempat bernajis tersebut, setelah dijirus dengan air tanah tersebut, jiruskan lagi dengan enam jurusan air. Setelah itu tempat itu dianggap suci. Ini dalam situasi biasa.
Akan tetapi dalam situasi tertentu, sayapun tidak pasti bagaimana keadaan di Sabah sana, jika keadaan tertentu, kita nampak anjing itu basah, dan memang dia datang dalam keadaan basah, ada najis pula yang ditinggalkan di tempat yang diduduki itu, ia datang pula dalam bentuk yang banyak, ia pula berlaku secara kerap, maka sudah tentulah, jika perkara itu mendatangkan kesukaran kepada orang Islam di Sabah sana, terpaksa samak semua bilik darjah, kemudian timbul pula isu perpindahan najis dari satu tempat ke tempat yang lain dari sisa air basuhan, perkara itu berlaku secara kerap, jika kita pegang dengan pandangan ulama mazhab Syafie, maka sudah tentu ia akan mendatangkan kesusahan dan kesukaran kepada orang Islam di Sabah, wallahu a’lam, kaedah menyebut: الضرورة تبيح المحذورة, dalam kaedah lain dinyatakan juga: الأمر إذا ضاق اتسع “sesuatu kemudharatan, mengharuskan sesuatu yang dilarang”, “sesuatu perkara apabila menjadi sempit, maka ia diberi keluasan oleh agama”, Wallahu taala a’lam, saya cadangkan kepada antum yang berada di Sabah, ikut dan bertaqlidlah kepada pandangan ulama mazhab Maliki yang mengatakan yang perlu disamak hanyalah jilatan anjing, adapun kesan-kesan yang lain, tidak termasuk dalam perkara yang perlu disamak, sama ada ia basah ataupun kering, kerana yang disuruh samak hanyalah jilatan sahaja, adapun kesan kaki, badan, tempat dia duduk dan seumpamanya tidak termasuk dalam perkara yang diperintahkan untuk kita samak.
Oleh kerana itu, jika antum yang berada di Sabah, guru-guru dan seumpamanya, menghadapi suasana sukar atau yang menyebabkan suasana sukar di luar dari kebiasaan, menyukarkan urusan seharian, menyukarkan proses pembelajaran, maka bertaqlidlah kepada ulama mazhab Maliki yang mengatakan tidak perlu disamak bekas-bekas anjing yang lain selain dari jilatrannya sahaja. Mudah-mudahan jawapan ini dapat membantu antum, jika antum bertaqlid kepada ulama mazhab Maliki dalam permasalahan ini, di mana mazhab Maliki juga adalah salah satu mazhab dalam ahli sunnah wal jamaah, kita bertaqlid kepada mereka, maka kita berada di bawah bimbingan ulama ahli sunnah wal jamaah.