Tuesday, July 8, 2008
Al-Mubahalah (المباهلة) membawa maksud al-Mula’anah (الملاعنة) iaitu saling laknat melaknati. Dalam ertikata lain, saling berdoa diturunkan laknat ke atas individu yang berbohong dari kalangan orang yang bersedia bermubahalah. (Sila lihat al-Qamus al-Muhith)
Mubahalah ini suatu yang dibenarkan (disyariatkan) di dalam Islam bertujuan menyatakan kebenaran dan memusnahkan kebatilan, juga untuk menegakkan hujah ke atas orang yang berpaling dari kebenaran setelah kebenaran itu ditegakkan ke atasnya.
Asas kepada pensyariatan Mubahalah ini ialah firman Allah S.W.T.
فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ
Maksudnya: “Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpa ke atas orang yang berdusta.” (Ali Imran: 61)
Ayat ini diturunkan sempena dengan kedatangan wakil Nasara Najran ke Madinah yang berhujjah dengan Nabi S.A.W. tentang keyakinan batil mereka berkenaan Isa A.S. namun mereka tetap berkeras dengan keyakinan mereka yang batil itu setelah Nabi S.A.W. mendatangkan hujah yang jelas kepada mereka. Lalu Allah S.W.T. menurunkan ayat di atas supaya Nabi S.A.W. mencabar utusan Nasara itu untuk bermubahalah, namun cabaran itu telah ditolak oleh mereka disebabkan rasa takut atas perbuatan dusta mereka.
Dalam mubahalah setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika dia berada di pihak yang salah. Sebagai contoh satu pihak diminta menyebut: “Ya Allah! jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku”. Sementara pihak yang lain menyebut: “Ya Allah! jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku”.
Apakah Mubahalah khas untuk Nabi S.A.W. sahaja?
Tidak ada bukti yang menunjukkan mubahalah adalah khusus untuk Nabi S.A.W. sahaja. Bahkan mubahalah adalah suatu perkara yang dibenarkan kepada umat Baginda S.A.W. sehinggalah berlakunya kiamat. Ia juga tidak dikhususkan bersama Ahli Kitab sahaja, sebaliknya terhadap setiap golongan yang berselisih. Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi di dalam salah satu fatwanya menyebut:
ليست المباهلة خاصة بالرسول صلى الله عليه وسلم مع النصارى ، بل حكمها عام له ولأمته مع النصارى وغيرهم ، لأن الأصل في التشريع العموم ، وإن كان الذي وقع منها في زمنه صلى الله عليه وسلم في طلبه المباهلة من نصارى، فهذه جزئية تطبيقية لمعنى الآية لا تدل على حصر الحكـم فيها
Maksudnya: “Mubahalah bukanlah dikhususkan kepada Rasulullah S.A.W. bersama Nasara sahaja, akan tetapi ianya umum kepada Baginda dan kepada umat Baginda samaada bersama Nasara atau lainnya. Ini kerana asal dalam pensyariatan hukum, hukum itu umum (untuk semua, bukan khusus untuk Nabi), sekalipun mubahalah yang berlaku di zaman Nabi S.A.W. antara baginda dan Nasara Najran. Ini hanyalah sebahagian perlaksanaannya terhadap makna ayat (al-Quran), bukan menunjukkan terhad kepada hukum dalam keadan itu sahaja.” (Bil. Fatwa: 6238)
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut antara pengajaran dari kisah cabaran Mubahakah antara Nabi S.A.W. dengan Nasara Najran ialah:
أن السُّنَّة في مجادلة أهل الباطل إذا قامت عليهم حجة الله، ولم يرجعوا بل أصروا على العناد أن يدعوهم إلى المباهلة، وقد أمر الله ـ سبحانه ـ بذلك رسوله، ولم يقل: إن ذلك ليس لأمتك من بعدك, ودعا إليه ابن عمه عبد الله بن عباس لمن أنكر عليه بعض مسائل الفروع، ولم ينكر عليه الصحابة، ودعا إليه الأوزاعي سفيان الثوري في مسألة رفع اليدين ولم ينكر ذلك عليه، وهذا من تمام الحجة
Maksudnya: “Bahawa menjadi sunnah dalam berdebat dengan ahli kebatilan, apabila telah ditegakkan hujah namun mereka enggan kembali kepada kebenaran sebaliknya terus berdegil, maka diseru mereka agar bermubahalah. Allah telah memerintahkan rasul-Nya berbuat demikian. Tanpa Allah menyatakan ini bukan untuk umatmu selepas ini. Sepupu baginda Abd Allah bin ‘Abbas juga pernah mengajak mereka yang membantah dalam beberapa perkara furu’ bermubahalah dengannya. Tiada seorang sahabat Nabi SAW yang membantah tindakan itu. Juga al-Auza‘i pernah mengajak Sufyan al-Thauri bermubahalah dalam masalah ‘mengangkat tangan’ tanpa ada yang membantah tindakannya. Ini adalah hujah yang kuat” (Ibn Qayyim, Zad al-Ma‘ad 3/562-563)
Al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab juga pernah menyeru orang-orang yang menentangnya untuk bermubahalah sepertimana yang tercatit di dalam salah satu risalahnya:
وأنا أدْعُوْ مَنْ خَالَفَنِيْ إلى أحَدِ أرْبَع: إمَّا إلى كتاب الله، وإما إلى سنة رسوله، وإما إلى إجماع أهل العلم، فإن عاند دعوته إلى المباهلة
Maksudnya: “Dan aku menyeru kepada sesiapa yang menentangku kepada salah satu dari empat perkara: samaada kembali kepada Kitab Allah, atau kembali kepada Sunnah RasulNya, ataupun kembali kepada ijma’ para ulama atau jika dia degil juga aku menyeru dia kepada Mubahalah.”
Syarat-Syarat Mubahalah
(Disusun oleh al-Syeikh Ibrahim bin Soleh al-Humaidhi (Kuliah Syariah dan Usul al-Din di al-Qasim) dalam tulisannya bertajuk Hakikat Mubahalah menyebut 5 syarat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu mubahalah dilaksanakan.)
1. Mengikhlaskan niat kerana Allah S.W.T. tidak boleh tujuan mubahalah ini dilakukan kerana hendakkan kemenangan dan memuaskan hawa nafsu. Sebaliknya ia dilakukan bagi tujuan menegakkan kebenaran, membela orang yang berada di atas kebenaran, menzahirkan kebenaran dan berdakwah kepada Allah
2. Berilmu. Mubahalah hendaklah dilakukan setelah adanya penjelasan dan dailog.
3. Orang yang menuntut Mubahalah itu terdiri dari orang soleh dan takwa.
4. Dilakukan selepas tertegaknya hujjah dan menzahirkan kebenaran dengan bukti-bukti yang jelas.
5. Mubahalah itu dilakukan dalam perkara yang penting dari urusan agama, diharapkan dengan terlaksananya mubahalah tersebut terhasilnya maslahah kepada Islam dan Umat Islam, atau bagi menolak mafsadah.
Kesan Mubahalah
1. Ibn Hajar al-‘Asqallani berkata: “Berdasarkan pengalaman, sesiapa yang bermubahalah sedangkan dia berbohong, dia tidak akan dibiarkan lebih dari satu tahun dari hari mubahalah. Telah berlaku mubahalah antara ku dengan seorang taasub kepada golongan Mulhid, dia tidak dibiarkan selepas mubahalah itu melainkan dua bulan.”
2. Seorang ulama India, al-Syeikh Abi al-Wafa’ Thana’ al-Amritsari (الشيخ أبوالوفا ثناء الأمرتسري) telah melakukan mubahalah dengan Mirza Ghulam Ahmad al-Qadyani yang mendakwa dirinya seorang Nabi. Lalu Allah S.W.T. membinasakan Mirza Ghulam Ahmad selepas setahun dari hari mubahalahnya. Manakala al-Syeikh Abi al-Wafa’ terus dipanjangkan umurnya hampir 40 tahun selepasnya. (Sila lihat al-Qadyaniyyah Dirasaat wa Tahlil oleh Ustaz Ihsan Ilahi Zahir. m.s. 154-159)