Friday, March 14, 2008
Soalan:
sa'kum, saya ingin bertnya. macammana keadaan para pekerja loji kumbahan dan pengangkut samaph yang memang berhadapan dengan najis dalam kerja seharian. contohnya ketika kerja2 maintainance (pembaikan) loji yang sememangnya terkena kumbahan najis contohnya percikan najis dan mungkin najis pada pakaian, anggota badan dsb. bagaimana ketika hendak solat? adakah termasuk dalam perkara yang dimaafkan (tak perlu basuh najis). mohon huraian dan rujukan kitab. terima kasih kepada panel soal jawab yang menjawab. moga allah rahmati.
Jawapan:
Suci daripada najis termasuk salah satu daripada syarat sahnya solat. Maka perkara ini tidak boleh diambil ringan. Kaedah fiqhiyyah yang berbunyi:
المَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَيْسِيْر
Maksudnya: "Sesuatu kesempitan boleh membawa kepada keringanan."
Kaedah ini perlu difahami sebaik mungkin. Kesukaran atau kesempitan yang diberikan ruang keringanan oleh syara' mestilah termasuk di dalam kesempitan yang bukan menjadi kebiasaan (المشقة غير المعتادة), dan manusia tidak mampu memikulnya secara berterusan.
Jika kesempitan atau kesukaran yang dimaksudkan telah menjadi kebiasaan, dan seseorang yang mukallaf mampu memikulnya, maka kesukaran itu tidak membolehkan kita mengguna pakai kaedah di atas.(Sila lihat Risalah Latilah fi Usul al-Fiqh oleh Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan)
Selain itu, waktu kerja bagi pekerja-pekerja loji kumbahan dan pengangkut sampah ada waktu-waktu yang tertentu. Kebiasaannya mereka hanya berhadapan dengan satu waktu sahaja ketika kerja.
Dalam keadaan sedemikian mereka perlulah memastikan pakaian dan badan mereka suci daripada najis apabila hendak menunaikan solat. Harapkanlah balasan pahala atas sedikit kesukaran yang dialami. Pasti anda akan memperoleh ganjaran daripada Allah.