Huraian Fiqh Sunnah: (7) Melangkah Bahu Jemaah

(7) Melangkah Bahu Jemaah

Kata Syed Sabiq RH:

(٧) تخطي الرقاب: حكى الترمذي عن أهل العلم أنهم كرهوا تخطي الرقاب يوم الجمعة وشددوا في ذلك،

Maksudnya: “Melangkah Bahu Para Jemaah. al-Tirmizi menghikayatkan daripada para ulama, yang mana mereka memakruhkan melangkah bahu jemaah pada hari Jumaat dan mereka bersungguh-sungguh melarang perbuatan itu.”

Huraian:

تَخَطِّي الرِّقابِ ialah melangkah bahu atau sehingga ke tahap melangkah kepala para jemaah. Kadang-kala boleh menjadikan kotoran yang berada dikaki melekat pada baju jemaah yang dilangkah tersebut. Dalam bahasa ‘Arab, apabila dinyatakan: تَخَطّى النّاسَ واخْتَطاهُمْ “orang itu melangkah orang ramai.” bermaksud orang itu melewati atau melangkawi mereka (جاوَزَهُمْ). (Lihat al-Musu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 11/46)

Kata Ibn Hajar dalam Fath al-Bari 2/392:

وفي التخطي زيادة رفع رجليه على رؤوسهما أو أكتافهما، وربما تعلق بثيابهما شيء مما برجليه

Maksudnya: “Dan pada al-Takhatthi terdapat pertambahan perbuatan mengangkat dua kaki di atas kepala dan bahu dua orang jemaah (yang duduk saling bersebelahan). Dan kadang-kala melekat sesuatu pada baju mereka berdua kotoran yang ada pada kaki (orang yang melangkah).”

            Para ulama berbeza pandangan berkaitan hukum Takhatthi Riqab pada hari Jumaat. Kebanyakan ulama berpandangan makruh seperti yang disebut oleh al-Tirmizi. Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari 2/392 menyatakan makruh di sisi majoriti ulama ini adalah makruh tanzih. Inilah pandangan masyhur di sisi ulama mazhab Syafi’e dan Hambali.

            Sebahagian ulama lain berpandangan melangkah bahu jemaah adalah haram sama ada pada hari Jumaat atau hari lainnya. Pandangan ini menjadi pilihan beberapa ulama pentahkik seperti Ibn al-Munzir, Ibn ‘Abd al-Barr, al-Nawawi dan Ibn Taimiyyah RH.

Kata Ibn al-Munzir: لأن الأذى يحرم قليله وكثيره، وهذا أذى، كما جاء في الحديث الصحيح قال النبي ﷺ لمن يراه يتخطى: (اجلس فقد آذيت) maksudnya: “(Hukum haram Ini) kerana menyakiti manusia diharamkan sama ada sedikit mahupun banyak. melangkah bahu jemaah adalah suatu perbuatan menyakiti manusia seperti yang terdapat di dalam hadis sahih, sabda Nabi SAW kepada orang yang melangkah bahu jemaah: “duduklah, sesungguhnya kamu telah melakukan perbuatan menyakiti jemaah.” (lihat al-Majmu’ 4/467)

Kata Ibn ‘Abd al-Barr dalam al-Tamhid 1/316: وفي قول رسول الله ﷺ للمتخطي يوم الجمعة: (آذيت) بيان أن التخطي أذى، ولا يحل أذى مسلم بحال، في الجمعة وغير الجمعة maksudnya: “Dalam hadis Rasulullah SAW kepada orang yang melangkah bahu jemaah pada hari Jumaat “Kamu telah melakukan perbuatan menyakiti jemaah” merupakan penjelasan bahawa perbuatan melangkah bahu jemaah adalah satu perbuatan menyakiti jemaah. Tidak dihalalkan menyakiti seorang muslim dalam apa keadaan sekalipun, sama ada pada hari Jumaat atau bukan hari Jumaat.”

Kata al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin 11/ 224: المختار أن تخطي الرقاب حرام، للأحاديث فيه maksudnya: “Pandangan terpilih adalah perbuatan melangkah bahu jemaah adalah haram, berdasarkan hadis-hadis tentangnya.”

Kata Syed Sabiq RH:

 فعن عبد الله بن بسر رضي الله عنه قال: جاء رجل يتخطى رقاب الناس يوم الجمعة والنبي ﷺ يخطب فقال له رسول الله ﷺ: (اجلس فقد آذيت وآنيت) (٢) رواه أبو داود والنسائي وأحمد وصححه ابن خزيمة وغيره.

Maksudnya: “Daripada ‘Abdullah bin Busr RA katanya: “Datang seorang lelaki dengan melangkah bahu para jemaah pada hari Jumaat, ketika itu Nabi SAW sedang menyampaikan khutbah. Baginda bersabda kepada orang lelaki tersebut: “Duduk, sesungguhnya kamu telah menyakiti orang dan kamu telah lewat.” Hadis riwayat Abu Daud, al-Nasai’e, Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan selain beliau.”

Kata Syed Sabiq RH:

ويستثنى من ذلك الامام أو من كان بين يديه فرجة لا يصل إليها إلا بالتخطي ومن يريد الرجوع إلى موضعه الذي قام منه لضرورة بشرط أن يتجنب أذى الناس.
فعن عقبة بن الحارث رضي الله عنه قال: صليت وراء رسول الله ﷺ بالمدينة العصر ثم قام مسرعا فتخطى رقاب الناس إلى بعض حجر نسائه ففزع الناس من سرعته، فخرج عليهم فرأى أنهم قد عجبوا من سرعته فقال: (ذَكَرْتُ شَيْئًا مِن تِبْرٍ كان عِنْدَنا فَكَرِهْتُ أنْ يَحْبِسَنِي، فَأمَرْتُ بِقِسْمَتِهِ) رواه البخاري والنسائي.

Maksudnya: “Dikecualikan imam atau sesiapa yang mendapati di hadapannya terdapat ruang kosong yang tiada jalan lain melainkan perlu melangkah bahu jemaah, demikian juga sesiapa yang mahu kembali ke tempat yang ditinggalkannya kerana ada keperluan dengan syarat berusaha mengelak dari menyakiti jemaah. Daripada ‘Uqbah bin al-Harith RA katanya: “Daku pernah solat Asar di belakang Rasulullah SAW di Madinah, kemudian baginda bangun secara tergesa-gesa dan melangkah bahu orang ramai untuk pulang ke rumah sehingga orang ramai terkejut dengan sikap baginda tersebut. Apabila keluar semula, baginda mendapati orang ramai kehairanan, lalu baginda bersabda: “Aku teringat terdapat emas sedekah yang belum dibahagikan bersamaku, aku tidak suka menyimpannya sehinggalah aku arahkan supaya ia dibahagikan (kepada mereka yang berhak).” Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai’e.

Huraian:

Melangkah dengan erti-kata melalui ruang yang ada di antara dua orang untuk memenuhi tempat kosong di hadapan tidak termasuk dalam perbuatan al-Takhatthi yang dilarang di dalam hadis. Kata al-Hafidz Ibn Rejab RH dalam Fath al-Bari:

ومتى كان بين الجالسين فرجة ، بحيث لا يتخطاهما ، جاز له أن يمشي بينهما ، فإن تماست ركبهما بحيث لا يمشي بينهما إلاّ بتخطي ركبهما كره له ذلك ، فإن كانا قائمين يصليان ، فمشى بينهما ولم يدفع أحداً ، ولم يؤذه ، ولم يضيق على أحد جاز ، وإلاّ فلا

Maksudnya: “Dan bila antara dua orang yang duduk terdapat ruang kosong dalam bentuk seorang yang melaluinya tidak perlu melangkah mereka berdua, maka harus melalui mereka berdua. Jika bahu-bahu dua orang yang bersebelahan bersentuhan, di mana tidak dapat melaluinya melainkan perlu melangkah bahu mereka, maka dimakruhkan perbuatan itu. Jika mereka berdua sedang berdiri menunaikan solat, lalu seseorang lalu antara mereka berdua tanpa perlu menolak seseorangpun, tidak menyakiti sesiapapun dan tidak mendatangkan masalah kepada orang lain, maka harus melaluinya (untuk memenuhi saf hadapan, jika tidak maka tidak boleh.”  


Cetak  
Wallahu a'lam