Huraian Fiqh Sunnah: (8) Disyariatkan Solat Sunat Sebelum Jumaat

(8) Disyariatkan Solat Sunat Sebelum Jumaat

Kata Syed Sabiq RH:

(٨) مشروعية التنفل قبلها: يسن التنفل قبل الجمعة ما لم يخرج الامام فيكف عنه بعد خروجه إلا تحية المسجد فإنها تصلى أثناء الخطبة مع تخفيفها إلا إذا دخل في أواخر الخطبة بحيث ضاق عنها الوقت فإنها لا تصلى.

“(8) Disyariatkan solat sunat sebelum Jumaat: Disunatkan solat sebelum Jumaat, selagi imam belum keluar (untuk memula khutbah). Berhenti dari melakukan solat sunat setelah imam keluar, melainkan solat tahiyyatul masjid, kerana solat tahiyyatul masjid tetap ditunaikan sekalipun ketika khutbah, namun secara ringkas, melainkan jika seseorang masuk (ke dalam masjid) di penghujung khutbah, di mana waktu yang ada terlalu sempit bagi membolehkan solat tahiyyatul masjid, maka ketika itu tidak perlu menunaikannya.”

Huraian:

Solat sunat yang dimaksudkan di sini ialah solat sunat mutlaq. Hadis Abu Hurairah riwayat Muslim yang disenaraikan oleh Syed Sabiq dalam bab ini yang terdapat ungkapan: فصلى ما قدر له bermaksud: “kemudian seseorang itu solat sunat (sebelum Jumaat) menurut kehendak Allah untuknya”, boleh difahami Syed Sabiq memaksudkan solat sunat Mutlaq.

            Persoalan apakah terdapat solat sunat qabliah Jumaat menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Manakala solat sunat ba’diah Jumaat, kesemua ulama empat mazhab telah sepakat ia disyariatkan berdasarkan hadis:

إذا صلى أحدكم الجمعة فليصل بعدها أربع ركعات

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu semua selesai menunaikan Jumaat, maka tunaikanlah pula selepasnya solat sunat sebanyak empat rakaat.” (Muslim)

Dalam hadis lain daripada Ibn ‘Umar RA yang berkata:

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يصلي بعد الجمعة ركعتين في بيته

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW seringkali menunaikan solat sunat selepas Jumaat sebanyak dua rakaat di rumah baginda.” (al-Bukhari dan Muslim)

            Dengan dua hadis ini sahaja, telah memberi maklumat yang jelas kepada para ulama, baginda ada menunaikan solat sunat selepas Jumaat. Situasi yang berbeza berkaitan solat sunat sebelum Jumaat, menyebabkan wujud perbezaan pendapat dalam kalangan ulama, secara ringkasnya:

Pertama: Ulama mazhab Hanafi dan sebahagian ulama mazhab Syafi’e berpandangan ada solat sunat qabliah Jumaat. Pandangan ini dipilih oleh al-Imam al-Nawawi RH. Dalil mereka adalah keumuman hadis: بين كل أذانين صلاة yang bermaksud: “Antara setiap dua azan (azan dan iqamah) terdapat solat (sunat qabliah).” (al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ‘Abdullah bin al-Zubair RA, Nabi SAW bersabda: ما من صلاة مفروضة إلا وبين يديها ركعتان maksudnya: “Tiada solat fardhu, melainkan sebelumnya terdapat solat (sunat) dua rakaat.”  (Ibn Hibban. Dinilai sebagai isnadnya qawiy oleh Syu‘aib al-Arna’outh dan sahih oleh al-Albani)

Dr. Mustafa Bugha dalam al-Tazhib Fi Adillah Matn al-Ghayah wa al-Taqrib, halaman: 45 mendatangkan riwayat al-Tirmizi:

أن ابن مسعود رضي الله عنه كان يصلي قَبْلَ الجمعة أربَعًا وبعدَها أربعًا

Maksudnya: “Bahawa ‘Abdullah bin Mas‘ud sering menunaikan solat sunat empat rakaat, sebelum dan selepas Jumaat.” Seterunya Dr. Mustafa Bugha menyatakan amalan Ibn Mas‘ud ini diketahuinya dari perbuatan Nabi SAW.

            al-Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Yahya al-Mu‘allimiy al-Yamani menyatakan, sekalipun jika diterima riwayat ini mauquf setakat Ibn Mas‘ud, ia tidak boleh dijadikan hujah adanya qabliah Jumaat. Sebalik solat sunat tersebut adalah sunat Mutlaq yang dilakukan selagi imam atau Nabi SAW belum keluar untuk memulakan khutbah. Kefahaman ini mesti dilaksanakan kepada setiap riwayat yang menunjukkan ada dalam kalangan para sahabat yang menunaikan solat sebelum Jumaat bagi memastikan ia tidak bertentangan dengan sunnah Nabi SAW yang keluar dari rumah baginda dan masuk ke dalam masjid sebaik sahaja masuk waktu solat Jumaat. Setelah itu laungan azan terus dikumandangkan oleh Bilal. Ia bukti jelas tiada ruang untuk diadakan solat sunat qabliah bagi Jumaat. (Lihat Athar al-Syeikh al-‘Allamah ‘Abd al-Rahman bin Yahya al-Mu ‘allimiy al-Yamani (12) 1/352-353)

Kedua: Sebahagian ulama mazhab Syafi‘e dan ulama mazhab Hambali berpandangan tiada solat sunat qabliah sebelum Jumaat. Mereka berdalilkan dengan alasan tiada bukti sabit baginda pernah melakukannya. Namun mereka tidak menafikan para sahabat ada melakukan solat sunat mutlaq sebelum azan dilaungkan di zaman Nabi SAW.

Kata al-Imam Ibn Taimiyyah RH:

أما النبي ﷺ، فإنه لم يكن يصلي قبل الجمعة بعد الأذان شيئًا، ولا نقل هذا عنه أحد، فإن النبي كان لا يؤذن على عهده إلا إذا قعد على المنبر، ويؤذّن بلال، ثم يخطب النبي ﷺ الخطبتين، ثم يقيم بلال، فيصلي النبي ﷺ بالناس، فما كان يمكن أن يصلي بعد الأذان، لا هو ولا أحد من المسلمين الذين يصلُّون معه، ولا نقل عنه أحد أنه صلى في بيته قبل الخروج يوم الجمعة، ولا وقت بقوله صلاة مقدرة قبل الجمعة، بل ألفاظه فيها الترغيب في الصلاة إذا قدم الرجل المسجد يوم الجمعة من غير توقيت...

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW, baginda tidak menunaikan sebarang solat sebelum Jumaat selepas dilaungkan azan. Tiada nukilan dari seorangpun berkaitan solat baginda sebelum Jumaat. Ini kerana tidak dilaungkan azan di zaman baginda melainkan setelah baginda duduk di atas mimbar, lalu baru Bilal melainkan azan, setelah itu Nabi SAW akan berkhutbah sebanyak dua khutbah. Kemudian setelah selesai dua khutbah, Bilal akan melaungkan iqamat, maka Nabi SAW akan menunaikan solat Jumaat mengimamkan orang ramai. Maka tiada waktu yang memungkinkan baginda menunaikan solat selepas azan Jumaat dilaungkan, demikian juga sesiapapun dari kalangan umat Islam (dari kalangan sahabat ketika itu) yang solat bersama dengan baginda. Tidak dinukilkan juga dari seorangpun yang menceritkan baginda ada menunaikan solat di rumah baginda sebelum baginda keluar dan masuk ke masjid pada hari Jumaat. Baginda juga tidak pernah menetapkan sebarang waktu dalam sabda baginda agar ditunaikan solat tertentu sebelum Jumaat, bahkan lafaz-lafaz hadis dari baginda yang ada hanyalah galakan menunaikan solat sunat seseorang sampai ke masjid pada hari Jumaat tanpa penetapan waktu…”

Kata Ibn Taimiyyah lagi:

وهذا هو المأثور عن الصحابة، كانوا إذا أتوا المسجد يوما الجمعة يصلون من حين يدخلون ما تيسّر، فمنهم من يصلي عشر ركعات، ومنهم من يصلي اثنتي عشرة ركعة، ومنهم من يصلي ثمان ركعات، ومنهم من يصلي أقل من ذلك... والصواب: أن يقال: ليس قبل الجمعة سنة راتبة مقدرة

Maksudnya: “Dan inilah yang diriwayatkan dari para sahabat, mereka dahulunya apabila datang ke masjid pada hari Jumaat, mereka akan solat sunat bermula masuk ke masjid menurut kesempatan, sebagian mereka ada yang solat sepuluh rakaat, sebahagian lagi ada yang solat dua belas rakaat, ada yang solat lapan rakaat, ada juga yang solat kurang dari jumlah semua itu… dan yang benar ialah dikatakan bahawa tiada sebelum Jumaat itu solat sunat ratibah yang telah ditetapkan.” (Majmu’ al-Fatwa 24/188-189, 193) 

Kata Syed Sabiq RH:

١ - فعن ابن عمر رضي الله عنه أنه كان يطيل الصلاة قبل الجمعة ويصلي بعدها ركعتين ويحدث أن رسول الله ﷺ كان يفعل ذلك. رواه أبو داود.

٢ - وعن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي ﷺ قال: (من اغتسل يوم الجمعة ثم أتى الجمعة فصلى ما قدر له. ثم أنصت حتى يفرغ الامام من خطبته، ثم يصلي معه، غفر له ما بينه وبين الجمعة الاخرى وفضل ثلاثة أيام) رواه مسلم.

٣ - وعن جابر رضي الله عنه قال: دخل رجل يوم الجمعة ورسول الله ﷺ يخطب فقال: (صليت؟) قال لا قال: (فصل ركعتين) رواه الجماعة.

وفي رواية (إذا جاء أحدكم يوم الجمعة والامام يخطب فليركع ركعتين وليتجوز فيهما) رواه أحمد ومسلم وأبو داود. وفي رواية: (إذا جاء أحدكم يوم الجمعة وقد خرج الامام فليصل ركعتين) متفق عليه.

i. “Daripada Ibn ‘Umar RA, beliau sentiasa solat sunat yang panjang atau lama sebelum Jumaat dan beliau akan solat sunat dua rakaat selepas Jumaat. Beliau menceritakan bahawa Rasulullah SAW sentiasa melakukan seperti itu.” Riwayat Abu Daud.”

ii. “Daripada Jabir RA, katanya: “Seorang lelaki masuk (ke masjid) pada hari Jumaat. Ketika itu Rasulullah SAW sedang berkhutbah, lalu baginda bersabda: “Apakah kamu sudah menunaikan solat?” Lelaki itu menjawab: “belum.” Baginda bersabda: “Tunaikan solat (tahiyyatul masjid) dua rakaat.” Riwayat al-Jama‘ah) 

iii. “Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW yang bersabda: “Siapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian datang (ke masjid) untuk menunaikan solat Jumaat, lalu dia solat menurut kehendak Allah. Kemudian dia berdiam diri sehingga selesai imam menyampaikan khutbah, kemudian menunaikan solat bersama imam, akan diampunkan untuknya apa-apa (kesalahannya) antara dua jumaat dan ditambah tiga hali lagi.” (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat lain: “Apabila seseorang daripada kamu datang (ke masjid) pada hari Jumaat, sedangkan imam sedang berkhutbah, maka laksanakanlah solat dua rakaat dan ringkasnya dua rakaat itu.” Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud. Dalam riwayat lain: “Apabila seseorang daripada kamu (datang ke masjid) pada hari Jumaat, sedangkan imam telahpun keluar (untuk memulakan khutbah), maka tunaikanlah dia rakaat solat itu dengan ringkas.”

 

Huraian

Riwayat pertama yang menyatakan Ibn ‘Umar ada memanjangkan solat sebelum Jumaat dinyatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dengan katanya:

وأمّا قَوْلُهُ كانَ يُطِيلُ الصَّلاةَ قَبْلَ الجُمُعَةِ فَإنْ كانَ المُرادُ بَعْدَ دُخُولِ الوَقْتِ فَلا يَصِحُّ أنْ يَكُونَ مَرْفُوعًا لِأنَّهُ ﷺ كانَ يَخْرُجُ إذا زالَتِ الشَّمْسُ فَيَشْتَغِلُ بِالخُطْبَةِ ثُمَّ بِصَلاةِ الجُمُعَةِ وإنْ كانَ المُرادُ قَبْلَ دُخُولِ الوَقْتِ فَذَلِكَ مُطْلَقُ نافِلَةٍ لا صَلاةٌ راتِبَةٌ فَلا حُجَّةَ فِيهِ لِسُنَّةِ الجُمُعَةِ الَّتِي قَبْلَها بَلْ هُوَ تَنَفُّلٌ مُطْلَقٌ وقَدْ ورَدَ التَّرْغِيبُ فِيهِ كَما تَقَدَّمَ فِي حَدِيثِ سَلْمانَ وغَيْرِهِ حَيْثُ قالَ فِيهِ ثُمَّ صَلّى ما كُتِبَ لَهُ

Maksudnya:  “Adapun perkataannya “Beliau (Ibn ‘Umar) memanjangkan solat sebelum Jumaat,” jika dimaksudkan setelah masuknya waktu Jumaat, maka ia tidak boleh dihukum marfu’ kepada Nabi SAW, kerana baginda SA tidak akan keluar dari rumah baginda untuk menunaikan Jumaat melainkan setelah matahari tergelincir, apabila baginda keluar, terus sahaja baginda bersedia untuk berkhutbah, setelah itu menunaikan solat Jumaat. Jika riwayat tersebut memaksudkan solat sunat yang ditunaikan oleh Ibn ‘Umar itu adalah sebelum masuk waktu solat Jumaat, maka solat sunat tersebut adalah solat sunat mutlaq, bukan solat sunat ratibah. Maka riwayat ini tidak boleh menjadi hujah adanya sunat qabliah Jumaat, bahkan ia adalah sunat mutlaq yang telah ada anjuran melakukannya seperti yang telah dinyatakan pada hadis Salman dan selainnya, di mana dinyatakan dalam riwayat tersebut: “kemudian beliau menunaikan solat sunat (mutlaq) sebanyak apa yang telah ditetapkan oleh Allah untuknya.” (Fath al-Bari 2/426)

            Berkaitan hadis kedua dari Abu Hurairah ia memaksudkan solat sunat mutlaq. Manakala hadis ketiga daripada Jabir dan hadis lain yang terdapat perintah dari Nabi SAW agar meringkaskan solat bagi sesiapa yang masuk ke dalam masjid ketika imam sedang menyampaikan khutbah adalah merujuk kepada solat sunat Tahiyyatul Masjid.


Cetak  
Wallahu a'lam