BERJEMAAH TERMASUK SYARAT SAH JUMAAT
Kata Syed Sabiq RH:
لا خلاف بين العلماء في أن الجماعة شرط من شروط صحة الجمعة، لحديث طارق بن شهاب أن النبي ﷺ قال: (الجُمُعَةُ حَقٌّ واجِبٌ عَلى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَماعَةٍ).
واختلفوا في العدد الذي تنعقد به الجمعة إلى خمسة عشر مذهبا ذكرها الحافظ في الفتح.
والرأي الراجح أنها تصح باثنين فأكثر لقول رسول الله ﷺ: (الاثْنانِ فَمَا فَوْقَهُمَا جَماعَةٌ)، قال الشوكاني: وقد انعقدت سائر الصلوات بهما بالاجماع، والجمعة صلاة فلا تختص بحكم يخالف غيرها إلا بدليل، ولا دليل على اعتبار عدد فيها زائد على المعتبر في غيرها. وقد قال عبد الحق: إنه لا يثبت في عدد الجمعة حديث، وكذلك قال السيوطي: لم يثبت في شئ من الاحاديث تعيين عدد مخصوص.
اه وممن ذهب إلى هذا الطبري وداود والنخعي وابن حزم.
Maksudnya: “Tiada perbezaan di antara ulama berkaitan jemaah adalah satu syarat dari syarat-syarat Jumaat berdasarkan hadis: Tariq bin Syihab bahawa Nabi SAW bersabda: “Jumaat hak yang wajib ke atas setiap muslim secara berjemaah.” Para ulama berbeza pandangan tentang bilangan terlaksananya Jumaat, terdapat 15 mazhab yang disebut oleh al-hafidz dalam al-Fath.
Pandangan yang rajih bahawa solat Jumaat sah dengan dua orang atau lebih berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Dua orang dan lebih adalah jama’ah.” Kata al-Syaukani: “Terlaksana seluruh solat dengan dua orang (secara berjemaah) berdasarkan ijmak. Solat Jumaat itu merupakan satu solat (sama seperti solat fardhu yang lain. Maka solat Jumaat tidak dikhususkan dengan sesuatu hukum yang berbeza dengan solat fardhu lainnya melainkan dengan adanya dalil dan dalil pengkhususan bilangan tertentu untuk Jumaat yang lebih dari bilangan yang diambil kira sebagai jemaah untuk solat fardhu yang lain itu tidak ada. Telah berkata ‘Abd al-Haq: “Sesungguhnya tidak thabit berkaitan bilangan tertentu solat Jumaat walau satu hadis. Kerana itu al-Suyuthi berkata: “Tidak thabit satu hadispun pada menetapkan bilangan tertentu (untuk solat Jumaat). Antara ulama yang berpandangan seperti ini ialah al-Tabari, Abu Daud, al-Nakhai’e dan Ibn Hazm.”
Huraian
Solat Jumaat mesti dilakukan secara berjemaah termasuk dalam perkara yang disepakati oleh para ulama. Ia adalah salah satu syarat sah Jumaat. Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam al-Majmu’ 4/58: أجمَع العلماءُ على أنَّ الجُمُعة لا تصحُّ من منفردٍ، وأنَّ الجماعةَ شرطٌ لصحَّتها maksudnya: “Telah ijmak para ulama bahawa Jumaat tidak sah jika dilakukan seorang diri, dilakukan secara berjemaah adalah satu syarat sah Jumaat.” Kata Ibn Rusyd al-Hafid dalam BIdayah al-Mujtahid 1/158: أمَّا شروط الوجوب والصحَّة المختصَّة بيوم الجُمُعة، فاتَّفق الكلُّ على أنَّ مِن شرطها الجماعة، واختلفوا في مِقدار الجماعة maksudnya: “Adapun syarat-syarat wajib dan sah yang dikhususkan untuk solat Jumaat, semua para ulama bersepakat antara syaratnya adalah dilaksanakan secara berjemaah. Mereka berbeza pandangan dalam menentukan kadar atau bilangan jemaah tersebut.”
Antara sandaran kewajipan ini ialah firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الجُمُعة فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا قُلْ مَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ مِنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَارَةِ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dilaungkan azan untuk mengerjakan pada hari Jumaat, maka segeralah kamu semua pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui, Kemudian setelah selesai solat Jumaat, maka bertebaranlah kamu semua di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu semua hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu semua berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar - berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad: Pahala dan balasan besar) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah al-Jumaah: 9-11)
Kata Ibn al-Munzir dalam al-Iqna’ 1/105: والجُمُعةُ تجِبُ على كلِّ جماعةٍ قلُّوا أو كثُروا في دارِ إقامةٍ على ظاهرِ الآيةِ maksudnya: “Solat Jumaat itu wajib secara berjemaah sama ada dalam jumlah yang sedikit ataupun ramai, dalam sesuatu Dar Iqamah berdasarkan zahir ayat (al-Quran).”
Hadis Tariq bin Syihab yang disertakan oleh Syed Sabiq dinilai sebagai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ bilangan 3111.
Para ulama berbeza pandangan berkaitan bilangan jemaah yang mesti ada bagi melaksanakan Jumaat. Syed Sabiq menyebut terdapat 15 pandangan para ulama dalam masalah ini seperti yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar. Perkara yang sama disebut oleh al-Sa‘ati (الساعاتي) dalam al-Fath al-Rabbani Li Tartib Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal al-Syaibani 6/29. Demikian juga al-Syarwani (الشرواني) dan al-‘Abbadi (العبادي) dalam hawasyi mereka berdua kepada Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj oleh al-Haitami 2/433: قَدْ اخْتَلَفَ العُلَماءُ فِي العَدَدِ الَّذِي تَنْعَقِدُ بِهِ الجُمُعَةُ عَلى خَمْسَةَ عَشَرَ قَوْلًا maksudnya: “Telah berbeza pandangan para ulama berkaitan bilangan yang terlaksana Jumaat dengannya kepada 15 pandangan.”
Secara ringkasnya, pandangan empat mazhab adalah seperti berikut seperti yang dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 27/202:
Mazhab Hanafi: Berdasarkan pandangan al-Sahih adalah dengan kehadiran seorang jemaah tidak termasuk imam. Terdapat juga pandangan (قيل) yang mengatakan terlaksana Jumaat dengan kehadiran tiga jemaah tidak termasuk imam. Dalam Majma’ al-Anhar dinyatakan: “Kerana tiga itu kadar minimum untuk jama’, dan telah ada khitab kepada jama’ dalam firman Allah: “Maka bersegeralah kamu semua kepada mengingati Allah.” Maka ia menunjukkan perintahkan kepada tiga orang, tidak termasuk imam. Inilah mazhab Abu Hanifah dan Muhammad.”
al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam 2/612-613 menyatakan pandangan Abu Hanifah dan Muhammad bin al-Hasan ialah jumlah minimum perhimpunan jemaah untuk Jumaat ialah tiga orang lelaki, tidak termasuk imam. Ini kerana jumlah tiga adalah jumlah minimum untuk jama’.
Mazhab Syafi’e dan Hanbali: Hendaklah tidak kurang dari 40 orang lelaki. Ibn Qudamah dalam al-Mughniy menyatakan: “Maka yang masyhur dalam mazhab (HambalI) bahawa ia (bilangan 40 lelaki) adalah satu syarat wajib dan sah Jumaat… disyaratkan juga semua mereka hadir mendengar kedua-dua khutbah Jumaat.”
al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam 2/612 menyatakan pandangan ini berdasarkan hadis Ibn Mas‘ud di sisi al-Baihaqi:
أنّه -ﷺ- جَمَّعَ بِالْمَدِيْنَةِ، وَكَانُوْا أَرْبَعِيْنَ رَجُلًا
maksudnya: “Bahawa Baginda SAW melakukan Jumaat di Madinah, mereka semua seramai 40 orang lelaki.” Tidak tertegak pula sebarang bukti lain yang menunjukkan baginda pernah melaksanakan Jumaat dengan jumlah yang kurang dari 40 orang jemaah.
al-Nawawi dalam al-Majmu’ 4/504 menyatakan, para Ashab mazhab Syafi’e berhujah dengan hadis Jabir, iaitulah: مَضَتْ السُّنَّةُ أَنَّ فِيْ كُلِّ ثَلَاثَةٍ إِمَامًا وَفِىْ كُلِّ أَرْبَعِيْنَ فَمَا فَوْقَ ذَلِكَ جُمُعَةٌ وَأَضْحَى وَفِطْرًا maksudnya: “Telah berlaku dalam sunnah, bahawa setiap tiga orang, seorang daripada mereka menjadi imam dan setiap 40 orang atau lebih itu berlakunya Jumaat, solat raya Adha dan Fitri.” Akan tetapi hadis ini dhaief. Demikian juga para Ashab berhujah dengan hadis-hadis lain yang membawa makna yang sama dengan hadis Jabir ini, akan tetapi semuanya dhaief. Dalil yang lebih benar ialah yang dijadikan hujah oleh al-Baihaqi dan Ashab yang lain daripada Abdul Rahman bin Ka‘ab bin Malik daripada bapanya yang berkata:
أَوَّلَ مَنْ جَمَّعَ بِنَا بِالْمَدِينَةِ أسعد بن زرارة قَبْلَ مَقْدَمِ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فِي نَقِيعٍ الْخَضِمَاتُ قُلْتُ: وَكَمْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: أَرْبَعُونَ رَجُلًا
Maksudnya: "Orang pertama yang menghimpunkan kami di Madinah (untuk solat Jumaat) ialah As‘ad bin Zurarah sebelum ketibaan Nabi SAW di Madinah, iaitulah di kawasan bernama Naqi' al-Khadhimat. Aku (Abd al-Rahman) berkata: "Berapa jumlah kamu semua ketika itu?" Jawab bapanya: "40 orang lelaki." Hadis ini hasan. Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Baihaqi dan selain mereka dengan sanad yang sahih. Kata al-Baihaqi dan selain beliau: “Ia hadis yang sahih.”
Namun penghujahan ini dijawab oleh ulama lain dengan mengatakan hadis ini tidak menunjukkan jumlah 40 puluh itu syarat yang ditetapkan oleh Nabi SAW, sebaliknya jumlah tersebut berlaku secara tanpa dirancang dan tanpa dimaksudkan.
Mazhab Maliki: Disyaratkan kehadiran 12 orang dari kalangan yang berkeahlian menunaikan Jumaat.
al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam 2/612 menyatakan pandangan ini berdasarkan hadis Jabir yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam Sahihnya tentang kisah rombongan perniagaan yang sampai di Madinah pada hari Jumaat, sehingga menyebabkan semua orang yang berada di dalam masjid meninggalkan Nabi SAW berdiri berkhutbah, melainkan 12 orang sahaja yang kekal duduk.
Permasalah ini termasuk dalam permasalahan yang ada tarjihan dari Syed Sabiq RH berdasarkan zahir perkataannya: “والرأي الراجح” maksudnya: “Pandangan yang rajih”, iaitulah pandangan yang bertepatan dengan pandangan al-Sahih di sisi mazhab Hanafi.
Pandangan rajih di sisi Syed Sabiq ini bertepatan pandangan Ibn Hazm dalam al-Muhalla 3/249 yang berkata: عن إبراهيمَ النَّخَعي: «إذا كان واحدٌ مع الإمام صلَّيَا الجُمعةَ بخُطبة ركعتين»، وهو قولُ الحسن بن حي, وأبي سليمان, وجميعِ أصحابنا, وبه نقول Maksudnya: “Daripada Ibrahim al-Nakhai’e: “Apabila seorang jemaah bersama imam, mereka berdua menunaikan solat Jumaat dengan khutbah dan dua rakaat, inilah pandangan al-Hasan bin Hayy, Abu Sulaiman dan seluruh sahabat kami (mazhab Zahiri), dan inilah pandangan kami.”
Ia juga merupakan pandangan al-Hasan bin Soleh dan Daud. Kata al-Nawawi dalam al-Majmu 4/504’: قال الحسنُ بن صالحٍ، وداود: تَنعقِد باثنين، أحدهما الإمامُ، وهو معنى ما حكاه ابنُ المنذر عن مكحولٍ maksudnya: “Kata al-Hasan bin Saleh dan Daud, terlaksana Jumaat dengan dua orang, salah seorangnya adalah imam. Inilah maksud yang dihikayatkan oleh Ibn al-Munzir daripada Makhul.”
Ia juga pandangan al-Imam al-Tabari berdasarkan dakwaan Ibn Rusyd al-Hafid dalam Bidayah al-Mujtahid 1/158 dan al-Syaukani dalam Nail al-Awthar 3/276 yang berkata: وأمَّا مَن قال: إنها تصحُّ باثنين فاستدلَّ بأنَّ العدد واجب بالحديث والإجماع، ورأى أنَّه لم يثبت دليلٌ على اشتراط عددٍ مخصوص، وقد صحَّت الجماعة في سائرِ الصلوات باثنين، ولا فرْق بينها وبين الجماعة، ولم يأتِ نصٌّ من رسول الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم بأنَّ الجمعة لا تنعقد إلَّا بكذا، وهذا القولُ هو الراجحُ عندي maksudnya: “Adapun siapa yang berkata: Jumaat itu sah dengan berjemaah dua orang. Mereka berdalilkan bahawa bilangan (berjemaah) itu adalah suatu yang wajib untuk menunaikan solat Jumaat berdasarkan hadis dan ijma’. Mereka juga berpandangan bahawa tidak thabit walau satu dalil dalam mensyaratkan bilangan tertentu (untuk Jumaat). Sesungguhnya semua solat jemaah itu sah dengan dilakukan oleh dua orang dan tiada perbezaan antara solat Jumaat dengan solat jemaah fardhu yang lain. Tiada walau satu nas daripada Rasulullah SAW yang menunjukkan solat Jumaat tidak sah melainkan dengan bilangan jema’ah demikian dan demikian. (Justeru) inilah pandangan (terlaksana Jumaat dengan dua orang) yang rajih di sisi ku.”
al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam 2/613 mentarjihkan pandangan yang berbeza, iaitulah pandangan al-Qadhi Abu Yusuf, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim, yang menyatakan Jumaat sah dan boleh dilakukan dengan jemaah seramai tiga orang, seorang bertindak sebagai imam dan khatib, manakala dua orang lagi adalah jemaah. al-Bassam mendakwa inilah nas dari al-Imam Ahmad. Kata Ibn Qudamah dalam al-Mughniy 2/243-244: وعن أحمد أنها تَنعقِد بثلاثة، وهو قولُ الأوزاعيِّ، وأبي ثور maksudnya: “Dan daripada Ahmad, bahawa Jumaat itu terlaksana dengan tiga orang. Inilah juga pandangan al-Auzai’e dan Abu Thaur.”
Antara dalil yang dijadikan sandaran untuk pandangan ini ialah sabda Nabi SAW:
إِذَا كَانُوْا ثَلَاثَةٌ، فَيَؤُمَّهُمْ أَحَدُهُمْ
Maksudnya: “Apabila kamu semua berjumlah tiga orang, maka hendaklah menjadi imam salah seorang daripada kamu.” (Muslim)