Susunan dan olahan semula oleh binSahak dari tulisan Muhammad Syaukat 'Audah yang disiarkan dalam islamonline.net dengan tajuk الهلال بين الحساب الفلكي والرؤية (siri 1)
-------------------
Sempurna peredaran Bulan mengelilingi bumi dalam tempoh sekitar 29.5 hari. Dalam tempoh peredaran bulan mengelilingi bumi tersebut, ia dilihat dalam keadaan yang berbeza-beza, bermula dengan fasa muhaq (محاقا – gelap keseluruhan), kemudian dalam fasa bulan sabit (الهلال المتزايد) al-Hilal al-Mutazayid (dari kecil dan bertambah besar), kemudian fasa al-Tarbi’ al-Awwal (التربيع), kemudian al-Ahdab al-Mutazayid (الأحدب المتزايد), kemudian al-Badr (البدر – bulan mengambang), kemudian al-Ahdab al-Mutanaqis (الأحدب المتناقص), kemudian al-Tarbi’ al-Thani (التربيع الثاني), kemudian al-Hilal al-Mutanaqis (الهلال المتناقص), dan setelah itu akan kembali dalam keadan al-Muhaq (المحاق).
Dalam setiap keadaan bulan akan terbit dari sebelah timur dan akan tenggelam lebih kurang 12 jam berikutnya di sebelah barat. Akan tetapi bulan tidak semestinya terbit pada permulaan malam dan tenggelam pada siang harinya seperti sangkaan kebanyakan orang. Sebaliknya ketika bulan berada pada fasa muhaq, ia akan terbit dan tenggelam bersamaan dengan terbit dan tenggelamnya matahari. Ketika pada fasa tarbi’ awal pula bulan akan terbit sekitar pertengahan siang dan akan tenggelam pada sekitar waktu pertengahan malam. Ketika dalam fasa bulan mengambang (badr), bulan akan terbit bersama matahari tenggelam dan bulan akan tenggelam bersama dengan terbitnya matahari. Ketika dalam fasa hilal mutazayid atau bulan baharu, bulan akan terbit seketika selepas terbitnya matahari dan akan tenggelam seketika selepas tenggelamnya matahari.
Penentuan Bulan Baharu
Penentuan bulan baharu bagi bulan qamari atau bulan hijri adalah dengan kelihatan anak bulan atau bulan sabit di langit setelah barat pada tanggal ke-29 setiap bulan. Ia mesti memenuhi dua syarat asas. Jika salah satu dari syarat ini tidak dipenuhi, mustahil anak bulan akan kelihatan. Dua syarat tersebut ialah:
- Bulan telah melepasi fasa muhaq atau fasa al-iqtiran atau al-Ijtimak sebelum matahari tenggelam. Ini kerana yang dicari ialah hilal atau bulan sabit yang berada pada fasa setelah melalui fasa muhaq.
- Bulan tenggelam selepas matahari tenggelam terlebih dahulu. Ini kerana cerapan hilal hendaklah bermula sebaik sahaja bermula hari baharu dengan tenggelamnya matahari. Jika bulan tenggelam terlebih dahulu sebelum matahari atau seiringan dengannya, maka tiada makna dilakukan cerapan menentukan hari baharu ketika itu.
Jika salah satu dari dua syarat ini tidak dapat dipenuhi, maka imkan al-rukyah atau keboleh nampakkan anak bulan adalah satu yang mustahil. Semata-mata berlakunya iqtiran atau ijtimak sebelum matahari tenggelam dan berlakunya iqtiran selepas tenggelamnya matahari belum memadai untuk memungkinkan penampakan anak bulan.
Anak Bulan Tenggelam Beberapa Minit Selepas Matahari
Timbul persoalan, apabila anak bulan tenggelam beberapa minit selepas tenggelamnya matahari, apakah ia dapat dilihat? Jawapannya tidak boleh, kerana sebab-sebab berikut:
- Bulan yang tenggelam beberapa minit selepas tenggelamnya matahari menunjukkan kedudukan bulan tersebut masih dekat dengan kening matahari. Ia juga menunukkan fasa muhaq atau iqtiran telah berlaku dalam tempoh yang seketika sebelum tenggelam matahari. Ketika itu, sewaktu tenggelam matahari, bulan tersebut belum terserlah jauh dari matahari di langit, dalam jarak yang memadai untuk jelas kelihatan di sisinya cahaya matahari, sehingga dapat dilihat dalam bentuk hilal atau bulan sabit.
- Jika diperhatikan ke arah barat ketika matahari tenggelam, Kita akan melihat cahaya senja yang kuat berhampiran kawasan di mana matahari terbenam. Jika bulan berada di kawasan tersebut, sudah pasti cahaya senja akan menghalang dari penampakan cahaya bulan sabit.
- Keberadaan kening bulan berhampiran dengan kening matahari pada waktu matahari tenggelam juga menunjukkan kedudukan bulan yang amat hampir dengan ufuq ketika cerapan anak bulan dilakukan. Kedudukan ini akan menjadikan cahaya yang membentuk bulan sabit pada anak bulan itu jika ada, akan tersembunyi. Selain itu cahaya ketika matahari tenggelam agak lemah disebabkan sinarannya ketika itu jauh dari atmosfera, menjadikan ia lemah dan berselerak. Cahaya yang sampai kepada kita hanya sedikit. Perkara yang sama berlaku kepada anak bulan, menjadikan ia sukar untuk dilihat.
Kenyataan ini menatijahkan kesimpulan bahawa bagi memungkinkan penampakan bulan sabit atau anak bulan, hendaklah diketahui ketinggian tertentu bagi kedudukan bulan dari ufuq barat, di samping jarak jauhnya dari matahari hendaklah pada jarak bulan mendapat cahaya yang jelas dari matahari dan jauh dari sinaran senja.
Jika berlakunya iqtiran atau ijtimak sebelum tenggelam matahari, setelah itu disusuli dengan tenggelamnya bulan, namun dalam keadaan yang tidak memungkinkan penampakan anak bulan disebabkan wujud salah satu dari tiga sebab yang dinyatakan ini, maka keboleh nampakkan anak bulan ketika itu dinamakan sebagai ghair mumkinah atau tiada kemungkinan nampak.
Sebab Perbezaan Negara Umat Islam Dalam Penentukan Awal Bulan
Terdapat beberapa sebab yang membawa kepada perbezaan ini, antaranya:
- Sebahagian negara umat Islam menyeru rakyat mereka melakukan cerapan anak bulan. Jika salah seorang daripada mereka membuat pengakuan melihat anak bulan, maka penyaksiannya tersebut diterima sekalipun pada hari penampakan anak bulan menurut ahli falak adalah mustahil atau tiada kemungkinan.
- Pada sebahagian negara yang lain pula tidak menerima penyaksian seorang yang mendakwa melihat anak bulan pada waktu mustahil keboleh nampakkan anak bulan, namun menerima penyaksian seorang yang melihat anak bulan pada waktu tiada kemungkinan penampakan anak bulan. Perkara ini diamalkan di Kerajaan Arab Saudi bermula dari tahun 1419H.
- Terdapat pula negara umat Islam yang tidak menerima penentuan bulan baharu dengan melihat anak bulan. Sebaliknya hanya berpada dengan syarat-syarat ahli falak tertentu. Contohnya di negara Libya secara rasminya. Bahkan permulaan bulan baharu di Libya apabila berlaku iqtiran sebelum terbit fajar.
- Lebih malang apabila kebanyakan negara umat Islam tidak melakukan cerapan hilal secara rasmi, sebaliknya berpada dengan seruan kepada setiap individu masyarakat agar melakukan cerapan mereka sendiri.
Satu-satunya negara Arab yang melakukan cerapan anak bulan pada setiap bulan secara rasmi, hasil cerapan yang dilakukan di sekitar 270 tempat cerapan seluruh negara itu pula, akan diisytiharkan melalui saluran-saluran rasmi negara kepada orang ramai ialah Maghribi. Perkara yang hampir sama dilakukan di Oman. Namun apa yang dilakukan di Maghrib adalah lebih tersusun dan teratur.
Selain dari itu, kebanyakan negara Arab yang lain menyeru orang ramai untuk melakukan cerapan anak bulan sendiri. Pihak pemerintah akan menerima penyaksian melihat anak bulan dari orang ramai tanpa mengambil kira apakah orang yang melakukan penyaksian tersebut memiliki ilmu atau tidak berkaitan dengan waktu, tempat dan bentuk anak bulan. Pernah berlaku di Saudi pada tahun 1984M, jutaan umat Islam Saudi menunaikan puasa selama 28 hari sahaja kerana penyaksian seseorang yang mendapat melihat anak bulan Syawal, sedangkan yang dilihatnya adalah cahaya sabit pada planet Utarid dan Zuhrah yang disangkanya anak bulan.
Ini menunjukkan cerapan anak bulan yang dilakukan secara berkumpulan amat-amat dituntut. Ia dapat meminimumkan kesalahan ketika melihat anak bulan.
- Sebahagian negara umat Islam yang lain pula, ada yang menggunakan prinsip kesatuan matali’ (اتحاد المطالع). Jika diketahui mana-mana negara umat Islam mengisytiharkan penampakan anak bulan, maka mereka segera menurutinya, sepertimana yang diamalkan di Jordan.
Berbeza pula dengan Saudi yang menerima prinsip yang bertentangan dengan negara Jordan, di mana bulan baharu berbeza menurut perbezaan matali’. Saudi tidak menerima pengisytiharan bulan baharu melainkan dari dalam negaranya sahaja. Pada tahun 1420H, negara Yaman telah mengisytiharkan penampakan anak bulan pada 7-12-1999M, menjadikan keesokan harinya iaitulah 8-12-1999 sebagai hari pertama bulan Ramadan di Yaman. Yaman juga menyenaraikan nama-nama secara rasmi pegawai dan individu yang menyaksikan anak bulan tersebut yang sebahagiannya adalah dari kalangan imam masjid. Namun negara Arab Saudi tidak menghiraukan pengisytiharan dari negara Yaman yang berjiran dengannya sebaliknya puasa di Saudi pada tahun tersebut bermula pada 9-12-1999M.
Perkara yang sama berlaku pada tahun 1424H, di mana Yaman, Jordan, Palestin dan Mesir mengisytiharkan penampakan anak bulan Ramadan pada 25-10-2003, menjadikan 1 Ramadan jatuh pada keesokan harinya 26-10-2003. Namun Saudi tidak menghiraukan pengisytiharan dari empat negara tersebut, sebaliknya 1 Ramadan di Saudi pada tahun tersebut bermula pada 26-10-2003M.