Susunan dan olahan semula oleh binSahak dari tulisan Muhammad Syaukat 'Audah yang disiarkan dalam islamonline.net dengan tajuk الهلال بين الحساب الفلكي والرؤية (siri 2)
----------------
Para ulama berbeza pandangan dalam permasalah bolehkah penentuan hari baharu untuk bulan baharu hijri berdasarkan perhitungan falak? Secara ringkasnya adalah seperti berikut:
1. Harus menggunakan hisab falaki bagi penafian. Maksudnya; jika datang seseorang membuat dakwaan melihat anak bulan baharu, namun berdasarkan hisab falaki penampakan anak bulan pada hari tersebut adalah mustahil atau tiada kemungkinan berlaku, maka penyaksian kenampakan anak bulan dari orang tersebut ditolak. Inilah pandangan Taqiyuddin al-Subki dari kalangan tokoh ulama mazhab Syafie. Beliau berkata: لأن الحساب قطعي والشهادة والخبر ظنيان، والظني لا يعارض القطعي، فضلا عن أن يُقَدم عليه Maksudnya: “Ditolak penyaksian penampakan anak bulan pada waktu mustahil dan ghaiyr mumkin) kerana hisab adalah suatu yang pasti, manakala perkhabaran dari dua orang yang mendakwa melihat anak bulan adalah suatu yang dhazn. Suatu yang dhaznni tidak boleh menolak suatu yang pasti, apatah lagi untuk mendahuluinya.” (Fatawa al-Subki 1/209)
Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Qarafi dan Ibn Rushd juga menyatakan pandangan ini. Di kalangan ulama kemudian yang sependapat dengan pandangan ini ialah al-Syeikh Muhammad Mustafa al-Maraghi, al-Syeikh ‘Ali al-Tantawi dan al-Syeikh ‘Abdullah bin Mani'.
2. Harus menggunakan hisab bagi nafi dan ithbath. Jika perhitungan falak menunjukkan wujudnya bulan di ufuk selepas tenggelam matahari dengan dalam kedudukan boleh dilihat anak bulan, maka perkiraan falak itu diambil. Jadilah hari berikutnya hari baharu untuk bulan baharu dalam kelendar qamari atau hijri tanpa syarat mesti dilihat dengan mata. Dalam kalangan ulama yang menyatakan pandangan ini ialah Mutarrif bin ‘Abdillah dari kalangan tokoh tabi’en, Abu al-‘Abbas bin Suraij dari kalangan tokoh besar mazhab Syafi’e dan Ibn Qutaibah. Dalam kalangan ulama kemudian pula seperti al-Syeikh Ahmad Syakir, al-Syeikh Mustazfa al-Zarqa dan Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
3. Tidak boleh menggunakan hisab falaki, sama ada bagi nafi mahupun ithbath. Jika terdapat seseorang mengaku menyaksikan anak bulan, maka penyaksiannya tersebut diterima, sekalipun perhitungan falak menunjukkan pada hari tersebut menyatakan ketiadaan bulan di langit pada waktu tersebut. Antara yang menyatakan pandangan ini ialah al-Syeikh Ibn Baz. Pandangan ini mungkin disebabkan sangkaan perhitungan falak bukan suatu yang pasti atau disebabkan menyamakan ahli falak dengan ahli nujum.
Suatu yang perlu diberi perhatian iaitulah sebahagian ahli falak berpandangan, perkiraan falak yang menunjukkan bulan tenggelam beberapa minit selepas tenggelamnya matahari dan perkara itu berlaku setelah berlakunya ijtimak atau iqtiran beberapa minit, lalu hari berikutnya dianggap sebagai hari baharu untuk bulan baharu adalah tidak benar. Ini kerana para fuqaha yang mengharuskan menggunakan perkiraan falak bagi mengithbatkan keberadaan hilal memaksudkan bulan yang telah berada pada fasa hilal. Mereka tidak memaksudkan bulan pada fasa muhaq. Ini kerana semata-mata dengan berlakunya ijtimak atau iqtiran yang dinamakan juga sebagai muhaq atau kelahiran hilal, tidak semestinya bulan telah memasuki pada fasa hilal (bulan sabit). Bahkan bulan masih berada pada fasa muhaq atau bulan baru berada di kemuncak fasa muhaq dan setelah itu baru masuk ke fasa hilal.
Untuk berubah dari fasa muhaq ke fasa hilal, bulan memerlukan masa sekitar 12 – 18 jam. Tiada seorangpun dalam kalangan fuqaha yang berpandangan boleh memulakan hari baharu untuk bulan baharu hijri semata-mata dengan telah berlakunya iqtiran atau ijtimak (fasa muhaq).
Jika perhitungan seperti ini diterima, bermakna penentuan hari baharu untuk bulan baharu hijri bergantung kepada keberadaan bulan pada fasa muhaq bukan pada fasa hilal. Sedangkan ayat al-Quran dengan jelas mengaitkan mawaqit umat Islam dengan al-Hilal bukan dengan al-Muhaq. Allah SWT berfirman:
يسألونك عن الأهلة قل هي مواقيت للناس والحج
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang anak bulan. Katakanlah ia (anak bulan itu) mawaqit (penentuan waktu untuk manusia terutamanya ibadat haji.” (al-Baqarah: 189)
Hisab Atau Rukyah?
Pandangan yang menerima penentuan bulan baharu hijri berdasarkan rukyah, dalam ertikata menerima pengakuan seseorang yang mendakwa telah melihat anak bulan baharu, sekalipun ilmu yang yakin menunjukkan berlaku kesalahan pada pengakuan tersebut, atau menerima pengakuan seseorang yang mendakwa telah melihat anak bulan pada tanggal 28 seperti yang berlaku di negara Saudi pada tahun 1984M, pandangan ini akan menjadikan dalam banyak keadaan ia menyalahi hadis Nabi SAW: لا تصوموا حتى تروا الهلال، ولا تفطروا حتى تروه؛ فإن غُمّ عليكم فاقدروا له
maksudnya: “Jangan kamu berpuasa sehinggalah melihat anak bulan (Ramadan) dan jangan kamu berhari raya sehinggalah melihat anak bulan Syawal. Jika terhalang anak bulan dari kamu (dengan awan), maka hitunglah Syaban menjadi 30 hari.”
Berpada dengan pengakuan seseorang yang mendakwa telah melihat anak bulan, sedangkan bukti pasti menunjukkan anak bulan belum ada di langit ketika dakwaan penampakan adalah suatu perbuatan yang bertentang dengan hadis ini. Hal ini sedemikian kerana orang yang membuat pengakuan tersebut terdedah kepada kesilapan di mana yang dilihatnya adalah cahaya matahari di sisi planet lain seperti planet al-Zahrah atau boleh jadi juga yang dilihatnya itu adalah objek lain, lalu disangka sebagai anak bulan.
Jalan Penyelesaian Adalah Dengan Menggabungkan Kaedah Hisab Dan Rukyah
Tidak dinafikan, terdapat sebahagian ahli falak yang melampau dan mendesak permulaan bulan baharu semata-mata dengan berlakunya al-Iqtiran (al-Muhaq atau kelahiran hilal) sebelum matahari tenggelam. Perkara ini jelas bertentang dengan perintah Allah SWT yang mengaitkan mawaqit umat Islam dengan hilal dan bukan muhaq (al-Iqtiran atau kelahiran hilal).
Berdasarkan penjelasan sebelum ini menunjukkan, penentuan anak bulan baharu dengan menggabungkan antara kaedah hisab dan rukyah adalah satu keperluan dan kemestian. Bagaimana mungkin untuk diterima pengakuan seseorang yang mendakwa melihat anak bulan, sedangkan ilmu yang yakin menyatakan bulan telahpun tenggelam sebelum tenggelamnya matahari?
Demikian juga, bagaimana dimulakan bulan baharu sedangkan anak bulan belum kelihatan di mana-mana negara Islam?