Fasa-Fasa Perubahan Bulan
Bermula seperti benang nipis (الخيط الدقيق), kemudian beransur berubah menjadi hilal (الهلال) – al-Tarbi’ (التربيع الأول) – al-Badr (البدر) – al-Tarbi’ (التربيع الثاني) – al-Hilal (الهلال) – al-Khait al-Daqiq (الخيط الدقيق) – Muhaq (المحاق).
Ibn ‘Asakir meriwayatkan dengan sanad yang dhaif daripada Ibn ‘Abbas RA dan Tha’labah bin Ghanamah yang bertanya kepada Nabi SAW:
ما بالُ الهِلالِ يَبْدُو ويَطْلُعُ دَقِيقًا مِثْلَ الخَيْطِ، ثُمَّ يَزِيدُ حَتّى يَعْظُمَ ويَسْتَوِيَ ويستدير، ثُمَّ لا يَزالُ يَنْقُصُ ويَدِقُّ حَتّى يَعُودَ كَما كانَ لا يَكُونُ عَلى حالٍ واحِدٍ؟ فنزلت: يَسْئَلُونَكَ عَنِ الأهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَواقِيتُ لِلنّاسِ فِي حِلِّ دَيْنِهِمْ، ولِصَوْمِهِمْ، ولِفِطْرِهِمْ، وعِدَدِ نِسائِهِمْ، والشُّرُوطِ الَّتِي إلى أجَلٍ
Maksudnya: “Mengapa hilal terserlah dan terbit dengan halus seperti benang, kemudian bertambah sehingga membesar dan penuh menjadi bulat. Setelah itu terus berkurangan dan menjadi halus pula sehingga kembali seperti bentuk sebelumnya, ia tidak berada dalam keadaan yang sama terus-menerus. Lalu turun ayat al-Quran: “Mereka bertanya kepadamu tentang bulan-bulan. Katakan bulan-bulan itu menandakan waktu-waktu untuk manusia berkaitan hill al-Dain, puasa, hari raya, iddah para wanita dan syarat-syarat sehingga waktu yang ditetapkan.” (Disebut oleh al-Suyuthi dalam al-Durr al-Manthur 1/367 dan berkata: Diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir dengan sanad yang dhaif daripada Ibn ‘Abbas)
Makna Hilal
Dari sudut bahasa kalimah (هَلَّ) menunjukkan ketinggian suara. Jika dikatakan أهَلَّ بِالحَجِّ maksudnya: “mengangkat suara dengan mengungkapkan talbiah.”
Anak bulan pula dinamakan sebagi hilal, kerana manusia akan mengangkatkan suara dengan bertakbir dan berdoa ketika melihatnya. Hilal adalah untuk keadaan bulan pada malam pertama, kedua dan ketiga. Setelah itu dinamakan qamar. (Lihat Maqayis al-Lughah 6/11)
Dalam Taj al-‘Urus 31/144 oleh Murtadha al-Zabidi dinyatakan, al-Hilal (الهِلالُ) adalah (غُرَّةُ القَمَرِ) Ghurrah al-Qamar (tanda cerah pada bulan). Ia berlaku pada malam pertama (setiap bulan qamari). Hilal boleh juga merujuk kepada dua malam pertama setiap bulan qamari. Setelah itu tidak dinamakan lagi sebagai hilal, sehinggalah ia kembali semula pada bulan berikutnya. Atau hilal itu merujuk kepada keadaan bulan sehingga malam ketiga setiap bulan qamari. Setelah itu (pada malam berikutnya) bulan dinamakan sebagai qamar. Atau dinamakan sebagai hilal sehingga malam ketujuh. Hampir dengan maksud ini adalah perkataan mereka yang mengatakan, dinamakan hilal sehingga cahaya bulan mula menerangi kegelapan malam. Keadaan ini tidak berlaku melainkan pada malam ketujuh. Kata Abu Ishak: “Pada pandanganku dan pandangan terbanyak, dinamakan hilal adalah pada dua malam pertama, kerana pada malam ketiga cahaya bulan telah jelas kelihatan.”
Kata Abu al-‘Abbas: “Dinamakan hilal kerana orang ramai akan mengangkat suara memberitahu tentangnya.”
Dalam al-Tahzib daripada Abi al-Haitham (أبي الهَيْثَم) yang menyatakan dua malam pertama setiap awal bulan, dinamakan sebagai hilal. Demikian juga dua malam terakhir setiap bulan juga dinamakan hilal, iaitulah pada malam 26 dan 27. Malam-malam yang lain dinamakan sebagai qamar. Seterusnya Abu al-Haitham menyatakan, syeikhnya juga ada menyatakan, terdapat pandangan yang menyebut malam ke 28 tidak dinamakan hilal lagi, kerana bagi bulan yang naqis (29 hari), bulan tidak kelihatan lagi pada malam terakhir.
Dari sudut istilah, hilal ialah apa-apa (cahaya) yang dilihat pada bulan di malam pertama atau ia adalah bulan pada awal bulan qamari, sehinggalah malam ketujuh dan dari malam ke-26 sehingga ke akhirnya. (lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha’ oleh Muhammad Ruwas Qal‘azi, hal: 494)
Hilal Pada Istilah Falak
Berdasarkan prinsip Kepler, bulan (qamar) beredar mengelilingi bumi pada orbit elips (مدار إهليلجي). Ada ketika ia menghampiri bumi, ada ketika menjauhinya. Bulan akan semakin laju ketika menghampiri bumi bagi mengelak dari ditarik ke bumi dan bertempung dengannya. Manakala kelajuannya akan berkurangan apabila menjauhi bumi, agar tidak terkeluar dari graviti (الجاذبية) bumi yang akan menjadikannya terkeluar dari peredarannya. Berdasarkan prinsip Kepler juga, dalam masa yang sama, bumi juga beredar mengelilingi matahari di orbit elips.
Ketika berlaku ijtimak, iaitulah ketika matahari, bulan dan bumi berada pada satu garis lurus, di mana tidak terdapat reflek atau pantulan cahaya matahari pada mana-mana sisi bulan, maka ketika itu ia dinamakan al-Iqtiran. Dinamakan juga sebagai keberadaan pusat bulan pada garis iqtiran (وقوع مركز القمر على خط الاقتران), iaitulah garis yang menyambung antara pusat bumi dan pusat matahari. Keadaan ini menjadikan kawasan yang disinari cahaya matahari pada permukaan bulan tidak dapat dilihat sama sekali oleh seseorang pencerap dari bumi. Atau boleh dikatakan juga ketika fasa ijtimak, atau ketika matahari, bulan dan bumi berada pada satu garis lurus, matahari akan menutup bulan secara keseluruhannya, di mana tiada sebarang cahaya matahari yang terimbas di permukaan bulan. Setelah itu akan berlaku wiladah al-Hilal dalam tempoh yang singkat selepas itu.
Ketika fasa iqtiran ini, bulan tidak dapat dilihat kerana bahagian bulan yang disinari cahaya matahari berada di arah menghadap matahari. Apabila bulan ditinggalkan oleh matahari, menjadikan matahari berada di hadapan bulan sebelah barat, dan bulan di sebelah timur, menjadikan terzahir cahaya matahari pada sisi bulan sebelah barat, maka berlakulah al-Wiladah. Ia adalah permulaan pemisahan titik pusat bulan dari garis lurus iqtiran. Ia juga merupakan permulaan kemungkinan pemantulan atau imbasan cahaya matahari pada sisi bulan yang dapat dilihat dari arah bumi, sekalipun cahaya yang dilihat itu amat sedikit, di mana seseorang dari bumi melihat anak bulan ditinggalkan matahari sehingga berlakunya al-Wiladah dengan terdapat cahaya matahari yang sedikit pada sisi permukaan bulan.