Bulan melalui lapan fasa selama peredarannya mengelilingi bumi dalam masa sebulan. Bermula fasa al-Hilal, setelah itu membesar sehingga masuk ke fasa al-Badr atau bulan purnama. Setelah itu kembali berkurangan dan mengecil sehingga menjadi seperti al-‘Urjun al-Qadim (tandan yang kering), seterusnya kembali gelap dan tidak kelihatan bercahaya.
Berikut ini adalah fasa-fasa yang berlaku pada permukaan bulan sepanjang perjalanannya mengelilingi bumi selama sebulan:
Pertama: al-Hilal (الهلال)
Fasa pertama bulan dinamakan sebagai al-Hilal. Masyarakat Melayu menterjemahkan al-Hilal sebagai anak bulan atau bulan sabit. Fasa ini memungkin bulan di lihat dalam tempoh yang seketika sebelah ufuk barat selepas matahari tenggelam beberapa ketika. Ia kelihatan berbentuk bulan sabit yang halus dan berkilat. Ia tidak kekal lama di ufuk, sebaliknya akan tenggelam ke bawah ufuk.
Kedua: al-Tarbi’ al-Awwal (التربيع الأول)
Pada hari ketujuh bulan-bulan qamariah, akan masuk ke fasa al-Tarbi’ al-Awwal. Pada ketika ini bulan dapat dilihat selepas tenggelam matahari, dalam keadaan separuh daripada bulan dilitupi cahaya matahari.
Ketika bulan berada pada fasa ini bermakna, bulan telah menyempurnakan 1/4 pusingan sekitar bumi.
Ketiga: al-Ahdab al-Mutazayid (الأحدب المتزايد)
Pada hari kelapan kawasan dilitupi cahaya di permukaan bulan semakin bertambah. Pada fasa ini bulan dapat dilihat setelah matahari tenggelam, dan akan kelihatan lebih hampir ke ufuk timur. Ketika ini bulan dinamakan al-Ahdab al-Mutazayid.
Keempat: al-Badr atau Bulan Pernama (البدر)
Setelah 14 hari, 18 jam, bulan akan memasuki fasa al-Badr atau bulan purnama, di mana seluruh permukaan bulan dilitupi cahaya. Pada ketika ini bulan berada pada kedudukan menghadap matahari.
Apabila sampai pada fasa ini, setiap hari bulan akan semakin lewat menampakkan dirinya selama 50 minit. Di samping itu, cahaya yang berada di permukaannya juga semakin terselindung.
Kelima: al-Ahdab al-Mutanaqis (الأحدب المتناقص)
Selepas 18 hari, 10 jam, terbentuk pemisah atau garis melengkung antara bahagian bercahaya dengan bahagian gelap di permukaan bulan. Fasa ini dinamakan sebagai al-Ahdab al-Mutanaqis.
Keenam: al-Tarbi’ al-Thani (التربيع الثاني)
Setelah 22 hari, cahaya di permukaan bulan semakin berkurangan. Pada fasa ini bulan semakin lewat keluar menyerlahkan dirinya sekitar lima jam setelah tenggelam matahari. Ia dinamakan fasa tarbi’ thani.
Ketujuh: Hilal Thani (الهلال الثاني)
Selepas 25 hari, bulan akan masuk ke fasa Hilal Thani. Ketika ini cahaya yang meliputi permukaan bulan hanya sedikit di bahagian sisi hujungnya.
Kelapan: al-Muhaq (المحاق)
Pada hari akhir bulan qamari, bulan akan kembali ke titik permulaan. Bulan kembali berada di antara bumi dan matahari dalam satu garis lurus. Permukaan bulan ketika ini akan dilitupi kegelapan secara sempurna atau keseluruhannya. Bulan akan tenggelam ke bawah ufuq ketika matahari tenggelam. Fasa ini dinamakan sebagai al-Muhaq. Ketika matahari, bulan dan bumi berada dalam satu garis lurus, ia dinamakan sebagai waktu al-Iqtiran atau al-Ijtima’.