Soalan:
Bagaimana rambut wanita yang gugur? Apakah masih ada hukum-hakam aurat?
Jawapan:
Para ulama berbeza pandangan berkaitan rambut wanita yang gugur atau yang telah terpisah dari badan. Ulama mazhab Syafi‘e berdasarkan pandangan al-Asah menurut al-Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin 7/26 menyatakan rambut yang telah terpisah dari badan seorang wanita, sama hukumnya dengan rambut yang masih bersambungan dengannya. Beliau berkata:
ما لا يَجُوزُ النَّظَرُ إلَيْهِ مُتَّصِلًا كالذَّكَرِ وساعِدِ الحُرَّةِ وشَعْرِ رَأْسِها وشَعْرِ عانَةِ الرَّجُلِ وما أشْبَهَها، يَحْرُمُ النَّظَرُ إلَيْهِ بَعْدَ الِانْفِصالِ عَلى الأصَحِّ. وقِيلَ: لا، وقالَ الإمامُ احْتِمالًا لِنَفْسِهِ: إنْ لَمْ يَتَمَيَّزِ الْمُبانُ مِنَ المَرْأةِ بِصُورَتِهِ وشَكْلِهِ عَمّا لِلرَّجُلِ: كالقُلامَةِ، والشَّعْرِ، والجِلْدَةِ، لَمْ يَحْرُمْ. وإنْ تَمَيَّزَ، حَرُمَ. قُلْتُ: ما ذَكَرَهُ الإمامُ، ضَعِيفٌ، إذْ لا أثَرَ لِلتَّمْيِيزِ، مَعَ العِلْمِ بِأنَّهُ جُزْءٌ يَحْرُمُ نَظَرُهُ. وعَلى الأصَحِّ: يَحْرُمُ النَّظَرُ إلى قُلامَةِ رِجْلِها دُونَ قُلامَةِ يَدِها، ويَدِهِ ورِجْلِهِ. - واللَّهُ أعْلَمُ
Maksudnya: “Apa-apa yang tidak boleh melihatnya dalam keadaan bersambungan dengan badan seperti zakar, lengan wanita merdeka, rambutnya, bulu kemaluan lelaki dan seumpamanya. Haram juga melihatnya setelah ia terpisah (dari badan) berdasarkan pandangan al-Asah. Dikatakan juga (satu pandangan lain) tidak haram. Berkata al-Imam (al-Rafi‘e) berdasarkan pendapatnya: “jika tidak dapat lagi dibezakan apa-apa yang terpisah itu, sama ada dari seorang wanita pada rupa dan bentuknya, dengan apa yang terpisah dari seseorang lelaki, seperti potongan kuku, rambut dan kulit, tidak haram (lagi). Jika dapat dibezakan atau dikenali (dari serang perempuan atau lelaki) maka haram.” Daku (al-Nawawi) mengatakan: “Apa yang disebut oleh al-Imam (al-Rafi‘e) adalah lemah. Di mana dapat membezakannya tidak memberi kesan, dalam keadaan diketahui bahawa bahagian tersebut adalah haram dilihat. Maka berdasarkan pandangan al-Asah: diharamkan melihat potongan kuku kaki wanita, tidak haram potongan kuku tangan wanita, (tidak haram) potongan kuku tangan dan kaki seorang lelaki.”
Seterusnya al-Nawawi berkata: وَيَنْبَغِي لِمَنْ حَلَقَ عَانَتَهُ ، أَنْ يُوَارِيَ الشَّعْرَ ، لِئَلَّا يَنْظُرَ إِلَيْهِ أَحَدٌ maksudnya: “Dan hendaklah bagi sesiapa yang mencukur bulu kemaluannya, menanamkan bulu tersebut agar tidak dilihat oleh sesiapapun.”
Pandangan ini berbeza dengan pandangan sebahagian ulama lain. Antaranya seperti yang terdapat dalam kitab Nail al-Marib bi Syarh Dalil al-Talib 2/138 dari mazhab Hambali menyatakan:
فلا يجوز لهُ) أي: للرَّجُلِ (نظرُ شيءٍ منها، حتى شعرها المتصل،) أما الشعرُ المنفصلُ من الأجنبيةِ فيجوزُ لمسُهُ والنَّظَرُ إليه، وإن كان من محلِّ العورَةِ لزَوَالِ حُرْمَتِهِ بالانفصال
Maksudnya: “Maka tidak boleh bagi seorang lelaki melihat sesuatu dari wanita (yang ajnabiah) sehinggakan rambutnya yang masih bersambungan dengannya. Adapun rambut yang terpisah dari seorang wanita ajnabiah, maka harus menyentuh dan melihatnya, sekalipun (bahagian yang terpisah itu) dari kawasan aurat, kerana telah gugur pengharamannya dengan berlaku pemisahan.”
Oleh itu, sesiapa yang berpegang dengan pandangan ulama mazhab Syafi‘e, dia memilih pandangan yang lebih berhati-hati. Manakala sesiapa yang berpegang dengan mazhab Hambali, dia masih di bawah bimbingan ulama dan pandangan ini lebih memberi kemudahan dan kelapangan kepada masyarakat.