Huraian Fiqh Sunnah: Membaca Surah Qaf Dan Berkhutbah Secara Berdiri

Kata Syed Sabiq RH:

وعن أم هشام بنت حارثة بن النعمان رضي الله عنها قالت: ما أخذت (ق والقرآن المجيد) إلا عن لسان رسول الله ﷺ يقرؤها كل جمعة على المنبر إذا خطب الناس. رواه أحمد ومسلم والنسائي وأبو داود، وعن يعلى بن أمية قال سمعت رسول الله ﷺ يقرأ على المنبر: (ونادوا يا مالك) متفق عليه. وعن ابن ماجه عن أبي أن الرسول قرأ يوم الجمعة (تبارك) وهو قائم يذكر بأيام الله.

Maksudnya: “Daripada Ummu Hisham binti Harithah bin al-Nukman RA katanya: “Tidak aku mengambil surah ق والقرآن المجيد melainkan dari lidah Rasulullah SAW, baginda membacanya setiap Jumaat di atas mimbar apabila menyampaikan khutbah kepada orang ramai.” Riwayat Ahmad, Muslim, al-Nasai’e dan Abu Daud. Daripada Ya’la bin Umaiyyah yang berkata: “Daku mendengar Rasulullah SAW membaca di atas mimbar (ayat al-Quran dari surah al-Zukhruf: 77) وَنَادَوْا يَا مَالِكُ .” Muttafaqun ‘Alaih. Daripada Ibn Majah, daripada Ubai yang berkata: “Bahawa Rasulullah membaca pada hari Jumaat (surah) تبارك (al-Mulk), baginda berdiri memperingatkan Ayyamillah.”   

 

Huraian:

            Membaca surah ق والقرآن المجيد termasuk dalam sunnah Nabi SAW dalam berkhutbah. Bahkan ia termasuk dalam kebiasaan khutbah baginda SAW. Pemilihan surah Qaf dibaca dalam khutbah adalah kerana surah tersebut mengandungi peringatan berkaitan catatan setiap ucapan yang dilafazkan oleh manusia. Selain itu dalam surah Qaf juga terdapat peringatan berkaitan kematian dan kebangkitan semula, tentang syurga dan neraka yang termasuk dalam perkara yang terpenting untuk diperingatkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam 2/585 oleh al-Bassam)

Ibn Qayyim al-Jauziyyah RH dalam Zad al-Ma‘ad 1/424 menyatakan termasuk perkara yang dilakukan oleh baginda dalam khutbah Jumaat ialah banyak membaca ayat al-Quran dan surah Qaf. Ibn Kathir RH dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim 7/367 menyatakan Rasulullah SAW akan membaca surah Qaf dalam perhimpunan-perhimpunan besar seperti (khutbah) hari raya dan khutbah Jumaat disebabkan ia mengandungi peringatan tentang permulaan ciptaan makhluk, hari kebangkitan semula dan perhimpunan di mahsyar juga hisab. Demikian juga terdapat peringatan berkaitan syurga dan neraka, pahala dan dosa, anjuran melakukan kebaikan dan ancaman dari melakukan kejahatan.

Selain membaca surah Qaf, Nabi SAW juga membaca ayat-ayat lain dari al-Quran seperti riwayat yang disebut oleh Syed Sabiq RH. al-Imam al-Nawawi RH dalam Syarh Muslim 6/410 berkata:

فيه القراءة في الخطبة وهي مشروعة بلا خلاف، واختلفوا في وجوبها، والصحيح عندنا وجوبها، وأقلها آية». قوله: «ما حفظت (ق) إلا من فِيّ رسول الله - ﷺ - يخطب بها كل جمعة» قال العلماء: «سبب اختيار ق أنها مشتملة على البعث، والموت، والمواعظ الشديدة، والزواجر الأكدية، وفيه دليل للقراءة في الخطبة كما سبق، وفيه استحباب قراءة (ق) أو بعضها في كل خطبة

Maksudnya: “Perkara ini bukti ada bacaan al-Quran dalam khutbah dan ia suatu yang disyariatkan tanpa ada perbezaan pendapat (dalam kalangan ulama). Cuma para ulama berbeza pandangan tentang hukumnya. Pandangan al-Sahih di sisi kami (ulama mazhab Syafi‘e) membaca ayat al-Quran dalam khutbah adalah wajib, sekurang-kurangnya satu ayat. Perkataan sahabat: “Aku tidak menghafaz surah Qaf melainkan (kerana mendengar) dari mulut Rasulullah SAW, baginda berkhutbah dengan membaca surah Qaf tersebut pada setiap Jumaat.”… padanya terdapat bukti bacaan ayat al-Quran dalam khutbah seperti yang telah dijelaskan dan padanya juga terdapat anjuran membaca surah Qaf atau sebahagiannya dalam setiap khutbah.”

 

Kata Syed Sabiq RH:

وفي الروضة الندية: ثم اعلم أن الخطبة المشروعة هي ما كان يعتاده ﷺ من ترغيب الناس وترهيبهم، فهذا في الحقيقة روح الخطبة الذي لاجله شرعت، وأما اشتراط الحمد لله أو الصلاة على رسوله أو قراءة شئ من القرآن فجميعه خارج عن معظم المقصود من شرعية الخطبة، واتفاق مثل ذلك في خطبته ﷺ لا يدل على أنه مقصود متحتم وشرط لازم، ولا يشك منصف أن معظم المقصود هو الوعظ دون ما يقع قبله من الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله. وقد كان عرف العرب المستمر أن أحدهم إذا أراد أن يقوم مقاما ويقول مقالا شرع بالثناء على الله وعلى رسوله ﷺ وما أحسن هذا وأولاه، ولكن ليس هو المقصود، بل المقصود ما بعد، ولو قال: إن من قام في محفل من المحافل خطيبا ليس له باعث على ذلك إلا أن يصدر منه الحمد والصلاة لما كان هذا مقبولا، بل كان طبع سليم يمجه ويرده. إذا تقرر هذا عرفت أن الوعظ في خطبة الجمعة هو الذي يساق إليه الحديث فإذا فعله الخطيب فقد فعل الامر المشروع إلا أنه إذا قدم الثناء على الله وعلى رسوله أو استطرد في وعظه القوارع القرآنية كان أتم وأحسن.

Maksudnya: “Dalam al-Raudhah al-Nadiyyah dinyatakan: “Ketahuilah bahawa khutbah yang disyari‘atkan adalah menurut khutbah yang dilazimi oleh Rasulullah SAW terdiri memberi anjuran dan peringatan kepada orang ramai. Inilah hakikat ruh khutbah yang dikehendaki dari pensyariatannya. Adapun menjadikan syarat perlu hamd Allah (melafazkan pujian kepada Allah), selawat ke atas Rasulullah dan membaca sesuatu dari ayat al-Quran, semuanya terkeluar dari tujuan utama pensyariatan khutbah. Berlaku semua perkara seumpama ini dalam khutbah baginda SAW tidak menunjukkan ia dimaksudkan memberi hukum wajib dan satu syarat yang mesti. Seorang yang insaf tidak akan ragu lagi bahawa maksud utama dari khutbah ialah peringatan, bukan apa yang diucapkan sebelum peringatan tersebut terdiri dari pujian kepada Allah, berselawat dan salam ke atas Rasulullah. Kerana semengnya termasuk dalam kebiasaan orang Arab yang berterusan bahawa apabila salah seorang mahu berdiri menyampaikan ucapan, dia akan mulakan dengan mengungkapkan pujaan kepada Allah dan Rasul-Nya SAW, alangkah baik dan betapa utamanya perkara ini. Namun ia bukan tujuan utama, bahkan tujuan utama adalah apa yang akan disampaikan selepas itu. Jika seseorang berkata: “Siapa yang berdiri dalam sesuatu majlis untuk berkhutbah (menyampaikan ucapan, ceramah atau khutbah), tiada sesuatu yang mendorongnya bangun melainkan untuk mengucapkan pujian kepada Allah (al-Hamd) dan berselawat ke atas Nabi SAW, perkara ini tidak akan dapat diterima bahkan akan ditolak oleh jiwa yang sejahtera. Jika ini hakikatnya, maka ketahuilah anda bahawa peringatan dalam khutbah Jumaat adalah yang dimaksudkan leh hadis. Maka jika seseorang khatib melakukannya (menyampaikan peringatan dalam khutbah), maka dia telah melakukan sesuatu yang disyariatkan. Jika dia adakan pendahuluan dengan ucapan pujaan kepada Allah dan ke atas Rasulullah atau mendatangkan ayat-ayat quran yang dapat memberi peringatan maka ia adalah lebih sempurna dan lebih baik.” 

 

Huraian:

            Nukilan perkataan al-Syeikh Siddiq Hasan Khan RH ini menguatkanlah lagi untuk dikatakan al-Syeikh Syed Sabiq RH berpandangan al-Hamd kepada Allah, ucapan selawat ke atas Rasulullah SAW, demikian juga membaca ayat al-Quran bukanlah satu yang wajib dalam khutbah. Pandangan ini bertepatan dengan mazhab Hanafi dan Maliki.

            Syed Sabiq juga memasukkan mau‘izah atau memberi peringatan kepada orang ramai dalam khutbah sebagai satu yang sunat. Inilah pandangan Siddiq Hasan Khan yang dinukilkan oleh Syed Sabiq dalam kitab beliau ini, yang dapat difahami beliau juga memegang pandangan yang sama. Pandangan ini juga adalah pandangan al-Hasan al-Basri, satu riwayat dari Imam Malik dan Ibn Hazm.  Pandangan ini bertentang dengan pandangan majoriti ulama.

 

Kata Syed Sabiq RH:

مشروعية القيام للخطبتين والجلوس بينهما جلسة خفيفة، فعن ابن عمر رضي الله عنهما قال: كان النبي ﷺ يخطب يوم الجمعة قائما ثم يجلس ثم يقوم كما يفعلون اليوم. رواه الجماعة. وعن جابر ابن سمرة رضي الله عنه قال: كان النبي ﷺ يخطب قائما ثم يجلس ثم يقوم فيخطب قائما، فمن قال انه يخطب جالسا فقد كذب، فقد والله صليت معه أكثر من ألفي صلاة رواه أحمد ومسلم وأبو داود. وروى ابن أبي شيبة عن طاوس قال: خطب رسول الله ﷺ قائما وأبو بكر وعمر وعثمان، وأول من جلس على المنبر معاوية. وروى أيضا عن الشعبي أن معاوية إنما خطب قاعدا لما كثر شحم بطنه ولحمه. وبعض الائمة أخذ وجوب القيام أثناء الخطبة ووجوب الجلوس بين الخطبتين استنادا إلى فعل الرسول ﷺ وصحابته، ولكن الفعل بمجرده لا يفيد الوجوب.

Maksudnya: “Disyariatkan berdiri untuk dua khutbah dan duduk seketika antara keduanya. Daripada Ibn ‘Umar RA katanya: “Dahulunya Nabi SAW akan berkhutbah pada hari Jumaat dalam keadaan berdiri, kemudian baginda akan duduk sepertimana yang mereka (para khatib) lakukan pada hari ini.” Riwayat al-Jama‘ah. Daripada Jabir bin Samurah RA katanya: “Dahulunya Nabi SAW berkhutbah dalam keadaan berdiri kemudian baginda duduk, kemudian berdiri semula dan berkhutbah dalam keadaan berdiri. Sesiapa yang berkata bahawa baginda berkhutbah secara duduk, maka orang itu telah berdusta. Demi Allah, daku telah solat bersama baginda lebih dari 2000 solat (fardhu).” Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud. Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Tawus yang berkata: “Rasulullah SAW berkhutbah dalam keadaan berdiri. Demikian juga Abu Bakar, Umar dan Uthman. Orang pertama duduk di atas mimbar (menyampaikan khutbah) ialah Mu‘awiyah.” Beliau juga meriwayatkan daripada al-Sya’bi bahawa Mu‘awiyah hanya berkhutbah secara duduk ketika mana berbadan besar.” Sebahagian para imam (ulama ikutan) berpandangan wajib berdiri ketika menyampaikan khutbah, dan wajib duduk antara dua khutbah bersandarkan dengan perbuatan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Akan tetapi perbuatan semata-mata tidak menatijahkan hukum wajib.” 

 

Huraian:

            Para ulama berbeza pandangan tentang hukum berdiri menyampaikan khutbah Jumaat. Pandangan pertama menyatakan berdiri menyampaikan khutbah Jumaat adalah satu syarat khutbah Jumaat bagi yang mampu. Inilah pandangan al-Sahih dan al-Masyhur ulama mazhab Syafi‘e (Lihat al-Mamu’ 4/268 dan Raudhah al-Talibin 2/26). Salah satu riwayat daripada Imam Ahmad dan menjadi pandangan pilihan para Ashab Imam Ahmad (Lihat al-Mughniy 3/16.

al-Imam al-Nawawi  dalam Syarah Sahih Muslim 6/150 mendakwa ada nukilan telah berlaku ijmak dalam perkara ini oleh Ibn ‘Abd al-Barr. Beliau berkata:

وحكى بن عَبْدِ البَرِّ إجْماعَ العُلَماءِ عَلى أنَّ الخُطْبَةَ لا تَكُونُ إلّا قائِمًا لِمَن أطاقَهُ

Maksudnya:  “Ibn ‘Abd al-Barr menghikayatkan kesepakatan ulama, khutbah tidak boleh dilakukan melainkan mesti dalam keadaan berdiri bagi sesiapa yang mampu.”

Namun dakwaan ini tidak tepat. al-Imam al-Nawawi sendiri setelah beliau menukilkan pandangan Ibn ‘Abd al-Barr ini, beliau nyatakan pandangan Abu Hanifah dan Malik yang berbeza.

            Pandangan kedua menyatakan menyampaikan khutbah secara berdiri adalah sunat. Inilah pandangan Abu Hanifah (lihat al-Mabsuth 2/42) dan sebahagian ulama mazhab Maliki (Lihat Mawahib al-Jalil 2/166). al-Rafi‘e menghikayatkan ia juga merupakah satu wajh di sisi ulama mazhab Syafi‘e. Namun al-Nawawi menyatakan pandangan ini syaz, lemah dan batil. (Lihat al-Majmu’ 4/514). Pandangan ini juga merupakan riwayat masyhur daripada Imam Ahmad, pandangan al-Sahih dari al-Mazhab di sisi Ashab Ahmad. Inilah pandangan majoriti ulama. (Lihat al-Mughniy 3/16)

            Padangan ketiga: Berdiri menyampaikan khutbah adalah wajib. Jika khatib menyampaikan khutbah secara duduk dalam keadaan mampu berdiri, khutbah tetap sah. Inilah pandangan kebanyakan ulama mazhab Maliki (lihat Hasyiah al-Dusuqi 1/379)

            Pandangan pertama yang mengatakan berdiri menyampaikan khutbah termasuk dalam satu syarat khutbah Jumaat berdalilkan perbuatan Nabi SAW yang tidak pernah menyampaikan khutbah secara duduk walaupun sekali. Perkataan Jabir bin Samurah dalam hadis yang disertakan oleh Syed Sabiq di atas menjadi dalil akan hal ini.

Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam Syarah Sahih Muslim 6/126; وفي هذه الرواية دليل لمذهب الشافعي والأكثرين أن خطبة الجمعة لا تصح من القادر على القيام إلا قائمًا في الخطبتين maksudnya:  “Riwayat ini merupakan dalil bagi mazhab Syafi‘e dan kebanyakan ulama yang mengatakan khutbah Jumaat tidak sah disampaikan oleh orang mampu berdiri, melainkan hendaklah secara berdiri pada dua khutbahnya.” Demikian juga berdasarkan perbuatan para sahabat yang berterusan menyampaikan khutbah secara berdiri. Perkara ini menjadi asas kepada hukum kewajipan ini. (Lihat ‘Aridhah al-Ahwazi 2/295-296)

Selain itu sabit bukti dalam kalangan sahabat yang membantah tindakan khatib yang berkhutbah secara duduk. Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya, satu hari Ka‘ab bin Ujrah (كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ) masuk ke dalam masjid:

وعَبْدُ الرَّحْمَنِ ابْنُ أُمِّ الحَكَمِ يَخْطُبُ قاعِدًا، فَقالَ: «انْظُرُوا إلى هَذا الخَبِيثِ يَخْطُبُ قاعِدًا، وقالَ اللهُ تَعالى: ﴿وإذا رَأوْا تِجارَةً أوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إلَيْها وتَرَكُوكَ قائِمًا﴾

Maksudnya: “Manakala ‘Abdul Rahman bin al-Hakam sedang menyampaikan khutbah dalam keadaan duduk. Kata Ka‘ab bin Ujrah: “Lihatlah seorang yang keji ini, dia berkhutbah dalam keadaan duduk, sedangkan Allah Taalah berfirman: “Dan ketika mereka melihat rombongan perniagaan dan permainan, mereka bersurai meninggalkan kamu (wahai Muhammad) dalam keadaan berdiri (sedang menyampaikan khutbah).” (al-Jumu ‘ah: 11)

Kata al-Qadha ‘Iyadh dalam Ikmal al-Mu’lim 3/257:

هذا الذم وإطلاق الخبيث عليه يشير إلى أن القيام عندهم كان واجبًا

Maksudnya:  “Celaan ini dan lontaran seorang yang keji terhadap ‘Abdul Rahman bin al-Hakam menunjukkan berdiri menyampaikan khutbah di sisi para sahabat adalah suatu kewajipan.”  

Dr. al-Hujailan dalam bukunya Khutbah al-Jumu‘ah, 68 menyatakan bukti-bukti perbuatan Nabi SAW dan para sahabat menunjukkan khutbah Jumaat disampaikan berterusan dalam keadaan berdiri. Bahkan wujud pengingkaran dari para sahabat kepada mereka yang menyampaikan khutbah Jumaat secara duduk. Ini menunjukkan pandangan yang mengatakan berdiri ketika menyampaikan khutbah Jumaat adalah salah satu daripada syarat sah khutbah bagi yang berkemampuan adalah lebih kuat. Akan tetapi untuk menjadikannya satu syarat sah bagi yang berkemampuan, memerlukan bukti lain yang jelas dan bukti tersebut tidak ada berdasarkan pemerhatian beliau. Seterusnya beliau menyatakan, ini menunjukkan pandangan mazhab Maliki adalah lebih kuat, iaitulah pandangan yang mengatakan berdiri ketika menyampaikan khutbah adalah wajib bagi yang berkemampuan. Jika tidak, ia dikira berdosa, namun khutbah tetap sah.


Cetak  
Wallahu a'lam